21 Ogos 2023, 14:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Bersempena dengan Program Semarak Kemerdekaan STEM @Merdeka, Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan telah menganjurkan sesi bual bicara berkenaan dengan hala tuju pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di Perpustakaan Awam Kelantan, hari ini.

Program yang bertajuk Bicara STEM: Hala Tuju Pendidikan STEM itu menampilkan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mulong, Encik Mohd Nazri Muhammad bagi membicarakan cabaran dan masa hadapan pendidikan STEM dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Pengetua SMK Mulong, Encik Mohd Nazri Muhammad ketika menyampaikan sesi perkongsiannya tentang pendidikan STEM dan TVET di Perpustakaan Awam Kelantan.

Sesi perkongsian tersebut adalah berdasarkan kecenderungan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada masa ini yang dilihat tidak menjadikan mata pelajaran STEM, sama ada Sains, Teknologi, Kejuruteraan ataupun Matematik sebagai pilihan utama dalam pembelajaran mereka.

“Isu penggangguran siswazah di Malaysia berlaku disebabkan oleh peluang pekerjaan yang ditawarkan adalah berbeza dengan bidang pengajian di universiti serta perkembangan dunia pendidikan STEM kini memerlukan hasil bimbingan dan pengajaran terbaik daripada guru yang menguasai bidang berkenaan bagi melahirkan pelajar yang berkemahiran dan berkualiti,” kata Encik Mohd Nazri Muhammad ketika memulakan tirai perkongsiannya.

Tambah beliau, pendidikan STEM yang diperkenalkan adalah dalam dwibahasa, iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu menyebabkan graduan dalam bidang tersebut yang gagal berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik berpotensi tinggi mengalami kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan.

Pada tahun 1960-an, UNESCO menyarankan agar pelaksanaan pendidikan TVET dalam sistem pendidikan bersepadu yang menekankan kepentingan budaya serta menumpukan kemahiran teknikal dan vokasional.

Lanjutan daripada itu, pendidikan TVET telah diperkenalkan oleh Rupert Evans pada tahun 1971 bagi melahirkan keperluan tenaga kerja, mewujudkan pelbagai jenis pendidikan dan pilihan individu yang berminat untuk mempelajari pendidikan TVET.

Menurut beliau, pengajian Ijazah Sarjana Muda TVET di Malaysia ditawarkan di Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaysia Perlis dan Institut Pendidikan Guru, manakala pengajian TVET pada peringkat diploma dan sijil ditawarkan di Institut Kemahiran MARA, Institut Kemahiran Belia Negara, Institut Latihan Perindustrian, Management and Science University, kolej komuniti dan giat mara.

Berdasarkan kajian perbandingan pendidikan TVET di Rusia dengan pendidikan TVET di Malaysia yang dijalankan oleh beliau menunjukkan bahawa terdapat lima kategori perkembangan dalam pendidikan TVET di Rusia seperti pendidikan vokasional rendah, pendidikan vokasional menengah, pendidikan vokasional tinggi, pendidikan vokasional ijazah dan pendidikan vokasional tambahan.

Sementara itu, pendidikan TVET di Malaysia berkembang dalam empat peringkat, iaitu bermula era Revolusi Perindustrian 1.0, Revolusi Perindustrian 2.0 Revolusi Perindustrian 3.0 dan Revolusi Perindustrian 4.0.

Kegagalan dalam memartabatkan pendidikan STEM dan TVET di negara ini disebabkan oleh kekurangan kemahiran teknologi dan kemahiran digital, kebergantungan kepada sistem kehidupan terdahulu termasuklah pengabaian terhadap pendidikan tersebut di sekolah.

Walau bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa proses kesinambungan dalam memperkasakan pendidikan STEM dan TVET pada peringkat sekolah rendah bermula dengan menjadikan mata pelajaran Sains, Matematik serta Reka Bentuk dan Teknologi sebagai mata pelajaran teras.

Sebelum mengakhiri sesi perkongsiannya, beliau menegaskan bahawa gred purata sekolah dalam peperiksaan SPM tidak dinilai berdasarkan pencapaian yang diperoleh oleh pelajar aliran sains sahaja, malah dinilai berpandukan kehebatan pedagogi dan pengajaran guru mata pelajaran STEM yang terlibat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.