21 Ogos 2023, 12:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Berikutan kejadian nahas pesawat baru-baru ini, BERNAMA Radio berkesempatan mewawancara Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi), Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia merangkap Pakar Logistik dan Pengangkutan The Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia (CILTM), YBrs. Profesor Ts. Dr. Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein bagi mengulas dengan lebih lanjut isu yang diperkatakan oleh masyarakat tentang faktor yang mendorong berlakunya tragedi berkenaan.

Menurut YBrs. Profesor Dr. Muhammad Zaly Shah, antara faktor yang boleh menyebabkan berlakunya nahas termasuklah cuaca seperti hujan dan kabus, masalah mekanikal misalnya fungsi enjin dan radar terjejas, faktor sistem bagi menentukan kedudukan objek dengan bantuan satelit atau sistem kedudukan global (GPS) serta kecuaian manusia yang melibatkan juruterbang, petugas trafik udara atau mekanik yang menyelenggara pesawat.

Tambah beliau, elemen jenayah seperti pengganas, sabotaj dan khianat yang telah dirancang dilakukan terhadap pesawat juga menjadi faktor yang memberikan risiko kepada pengangkutan udara.

Kekurangan yang telah sedia ada pada pengangkutan udara menjadi punca utama kepada kegagalan sesebuah pesawat dan mendorong berlakunya nahas.

Ujar beliau lagi, sekiranya berlaku nahas seumpama ini, tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa penerbangan, khususnya pihak kerajaan adalah dengan menubuhkan suruhanjaya yang terdiri daripada pakar kejuruteraan pesawat dan agensi pengurusan penerbangan seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi membantu siasatan nahas tersebut secara terperinci.

Individu atau pihak yang memiliki video yang tular di media sosial turut dipanggil untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dengan nahas tersebut serta pihak penerbangan tidak terkecuali daripada disiasat.

Jelas beliau, kemungkinan hasil siasatan yang diperoleh ialah dua jenis alat utama dalam pesawat dapat ditemukan, iaitu perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit yang lebih dikenali sebagai kotak hitam.

Mengulas dengan lebih lanjut, bangkai pesawat yang hampir hancur menyukarkan penelitian atau penyiasatan akan faktor nahas tersebut dari sudut reka bentuk bagi mengenal pasti punca sebenar kegagalan pesawat berkenaan.

Laporan penyiasatan yang dihasilkan oleh suruhanjaya yang terlibat bukan sekadar laporan untuk membela mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut, malah laporan itu akan memperincikan faktor berlakunya nahas, kelemahan yang terdapat pada pesawat, pihak yang bertangunggjawab terhadap nahas yang berlaku dan menjadi panduan untuk mengelakkan nahas yang serupa daripada berulang.

Di akhir perkongsian, beliau menyatakan bahawa sekiranya nahas itu berlaku disebabkan oleh reka bentuk pesawat, sudah tentu lesen syarikat pengeluar pengangkutan udara berkenaan akan digantung.

Oleh hal yang demikian, kotak hitam pada pesawat yang memiliki daya tahan yang tinggi itu adalah amat penting untuk ditemukan bagi mengukuhkan faktor yang menyebabkan berlakunya nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Lebuhraya Guthrie berdekatan dengan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos 2023 lalu yang telah mengorbankan nyawa lapan orang penumpang, dua orang kru pesawat dan dua orang awam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.