15 Ogos 2023, 15:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada kebiasaannya, tempat letak kereta bagi golongan orang kurang upaya (OKU) dapat dibezakan melalui beberapa ciri seperti papan tanda pemberitahuan, warna tempat letak kereta yang biasanya berwarna biru, merah ataupun kuning, mempunyai logo kerusi roda di petak tempat letak kereta tersebut, lokasi berdekatan dengan premis serta ruang petak yang lebih luas daripada petak tempat letak kereta yang lain.

Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya lebih empati dan sedar akan keperluan sosial dan kebolehcapaian golongan OKU demi keharmonian sejagat. Antara faktor yang menyebabkan seseorang itu tidak dibenarkan untuk meletakkan kenderaan di tempat letak kereta OKU termasuklah:

Tidak Menghormati Hak OKU

Meletakkan kenderaan di tempat letak kereta OKU bermakna menghalang kebolehcapaian mereka untuk menjalani urusan kehidupan seharian seperti urusan di bank, pejabat kerajaan, menghadiri janji temu ataupun bekerja. Walaupun hanya sebentar, alasan tersebut bukanlah tiket untuk seseorang itu mengambil tempat letak kereta OKU tanpa kebenaran.

Hal ini juga bermakna bahawa seseorang yang menggunakan tempat letak kereta OKU tanpa kebenaran tidak menghormati hak mereka untuk mendapatkan kebolehcapaian yang diperlukan. Tempat letak kereta OKU hanyalah untuk golongan yang bergelar OKU selama tujuh hari dan 24 jam seminggu.

Melanggar Undang-undang

Seseorang yang menggunakan tempat letak kereta OKU tanpa izin boleh dianggap sebagai melanggar undang-undang. Tayar kenderaan itu berkemungkinan akan dikunci oleh pihak penguat kuasa tempatan.

Jika situasi ini berlaku, pemilik kenderaan biasanya perlu membayar sejumlah wang untuk melunaskan denda yang dikenakan sebelum tayar yang dikunci itu dapat dibuka semula. Keadaan ini merugikan masa dan berlaku pembaziran wang disebabkan oleh kecuaian diri sendiri.

Mengganggu Pergerakan OKU

Kebanyakan OKU fizikal seperti yang mengalami kelumpuhan atau kesukaran berjalan akan menggunakan kerusi roda sebagai alat bantu untuk bergerak dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain. Oleh sebab itu, OKU memerlukan ruang tempat letak kereta yang lebih luas bagi memberikan ruang yang cukup agar kerusi roda tersebut dapat dipindahkan keluar dan masuk daripada kenderaan.

Malangnya, jika tempat letak kereta OKU itu telah digunakan oleh orang lain dan tempat letak kereta OKU juga terhad, mereka tidak dapat meletakkan kenderaan di tempat yang sepatutnya. Akibatnya, mereka perlu menunggu sehingga tempat letak kereta OKU itu kosong, sekali gus menyebabkan gangguan dan kelewatan dalam melaksanakan urusan yang hendak diselesaikan. Hal ini akan menjejaskan produktiviti, kebajikan dan kualiti kehidupan golongan OKU.

Mencetuskan Ketidakharmonian Komuniti

Ketenteraman sosial ialah elemen penting dalam memastikan keharmonian komuniti. Golongan OKU ialah golongan yang inklusif dalam masyarakat. Seseorang yang menggunakan tempat letak kereta OKU tanpa izin akan menyebabkan kekesalan kepada golongan OKU dan gangguan di persekitaran tempat letak kereta tersebut. Situasi ini akan memberikan kesan negatif dan imej yang buruk kepada komuniti sosial, terutamanya jika perkara ini tular dalam media sosial.

Sikap mementingkan diri oleh individu yang menggunakan tempat letak kereta OKU tidak seharusnya berlaku jika mereka mempunyai nilai murni dalam diri seperti hormat-menghormati sesama insan tanpa mengira apa-apa golongan. Mematuhi peraturan tempat letak kereta OKU ialah satu daripada tindakan yang menunjukkan penghargaan terhadap kepentingan bersama dalam kalangan anggota masyarakat.

Memberikan Teladan Buruk kepada Generasi Muda

Jika golongan yang lebih tua menunjukkan sikap mementingkan diri dengan sering menggunakan tempat letak kereta OKU tanpa izin, tidak mustahil perbuatan ini menjadi normal pada masa hadapan. Golongan muda pasti mengikuti tindakan yang ditunjukkan kepada mereka dan akhirnya membentuk golongan pelapis yang tidak beretika dalam masyarakat.

Bagi mengatasi perkara tersebut, tindakan yang perlu dilakukan haruslah bermula dengan diri sendiri. Sikap hormat-menghormati dan kasih sayang kepada golongan OKU perlu diterapkan di dalam diri.

Selain itu, kempen kesedaran, pindaan akta atau polisi berkenaan dengan hak OKU juga perlu dipertingkatkan oleh kerajaan bagi memupuk kesedaran yang tinggi terhadap golongan OKU.

Sebagai kesimpulannya, mengambil sesuatu yang bukan hak, tidak kira apa-apa jua perkara ialah tindakan yang tidak bermoral dan menjejaskan kehidupan OKU, sekali gus mencetuskan pelbagai perkara negatif dalam masyarakat. Oleh hal yang demikian, setiap individu perlu bertanggungjawab dalam memastikan perkara seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan demi kesejahteraan sejagat.

Dr. Noor Hafifi Noorhisham, Pensyarah, Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas (ICaRehab), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.