14 Ogos 2023, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Makmal Bioserasi Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal Universiti Kebangsaan Malaysia (ALAF-UKM) bakal menjadi hab utama pengujian bagi keselamatan produk termasuklah peranti perubatan, farmaseutik, racun perosak, suplemen, kosmetik dan pelbagai lagi produk industri pasaran dalam dan luar negara.

Makmal bioserasi ALAF-UKM merupakan makmal berakreditasi di UKM yang telah lama wujud dan kini berjaya memperoleh akreditasi utama antrabangsa, iaitu pengiktirafan Organisation for Economic Co-operation and Development – Good Laboratory Practice (OECD–GLP) daripada Jabatan Standard Malaysia dan Bahagian Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan.

Makmal ini menawarkan pelbagai perkhidmatan yang berkaitan dengan kesan mudarat atau kesan toksikologi produk dan telah berjaya membantu pelbagai industri dari dalam dan luar negara.

Makmal bertaraf antarabangsa dengan kekuatan kakitangan sebanyak 12 orang yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Razinah Sharif telah berjaya menganjurkan bengkel latihan tentang OECD–GLP kepada 65 orang peserta dengan kerjasama dari dua badan regulatori kebangsaan, iaitu Jabatan Standard Malaysia (DSM) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Peserta yang terdiri dari pelbagai latar belakang dan industri yang terlibat dalam pengujian OECD–GLP telah diberikan pengetahuan melalui kuliah dan aktiviti berkumpulan oleh Puan Fariza Wan Abdullah (DSM), Profesor Dr. Nor Fadilah Rajab (UKM) dan Puan Fadhilah Hasbullah (NPRA). Kebanyakan peserta memberikan maklum balas positif dan bersedia membantu industri untuk pengujian bertaraf OECD–GLP.

Puan Fariza selaku penceramah memberikan kuliah dalam Bengkel OECD–GLP 2023.

Pengujian OECD–GLP ini menjadi penanda aras kepada mana-mana produk yang menjalankan pengujian ini, produk tersebut boleh dipasarkan ke pasaran antarabangsa misalnya Eropah yang memerlukan produk diuji dengan pengakreditasian OECD–GLP.

“Jika sebelum ini kita perlu menghantar produk ke makmal luar seperti di India, kini produk Malaysia boleh dihantar ke makmal di Malaysia sahaja,” ujar Profesor Madya Dr. Razinah Sharif.

Peserta Bengkel OECD–GLP 2023 yang diadakan di Bangi pada 9 Ogos hingga 10 Ogos 2023.

Pengujian sebegini penting bagi produk untuk mengelakkan implikasi kepada masyarakat dan kesihatan. Pengujian kesan ketoksikan sebenarnya sangat kritikal sebelum setiap produk dipasarkan kepada populasi.

“Banyak pengeluar hanya mahu mengaut keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kesan keselamatan produk terhadap persekitaran dan paling penting kepada manusia,” tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kuliahnya dalam Bengkel OECD–GLP 2023 yang memberikan latihan kepada pengendali makmal dan ahli teknologi makmal yang berkecimpung dalam pengujian yang berkaitan dengan ujian keselamatan produk.

Peserta tekun dalam aktiviti berkumpulan dalam Bengkel OECD–GLP 2023.

Makmal bioserasi ALAF-UKM telah berjaya menyokong dasar kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menyediakan perkhidmatan setaraf SIRIM Malaysia yang dapat memberikan impak kepada masyarakat dan mempunyai daya pasaran yang tinggi untuk dikomersialkan sehingga ke peringkat global di samping membantu industri peranti perubatan Malaysia menyediakan produk berdaya saing sehingga boleh memasuki pasaran Amerika Syarikat dan Eropah.

Permintaan yang tinggi dari dalam negara dan antarabangsa bagi perkhidmatan Makmal Bioserasi ALAF-UKM juga merupakan peluang dan mempunyai potensi yang besar dalam meningkatkan penjanaan kewangan dan keserlahan UKM pada peringkat antarabangsa selain menjadi langkah strategik UKM untuk meningkatkan kebolehpasaran produk industri ke pasaran global.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.