9 Ogos 2023, 18:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Sebagai tanda menyokong Dasar Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran Pekerjaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), iaitu menyediakan sumber, sistem dan latihan yang mencukupi bagi meningkatkan kesedaran dan kompetensi pekerja untuk bekerja dengan selamat, program Hari Keselamatan Kimia 2023 telah dianjurkan oleh Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH-UKM) dan kumpulan Penaksiran Risiko Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan Secara Kendiri (SeCHRA) di UKM Zon Bangi, hari ini.

Penganjuran program tersebut ialah hasil kerjasama dengan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal UKM, Institut Penyelidikan Tenaga Suria, Institut Sel Fuel, Institut Perubahan Iklim, Institut Biologi Sistem, Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik serta Institut Alam Sekitar dan Pembangunan.

Kefahaman tentang bahan kimia berbahaya menjadi fokus utama dalam program berkenaan dengan memberikan pendedahan kepada kakitangan UKM akan risiko pendedahan bahan kimia terhadap kesihatan dan keselamatan diri.

Dalam program tersebut, peserta diberikan penerangan berkaitan dengan kepentingan Daftar Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan dan cara untuk mengisi borangnya serta diperkenalkan dengan Panduan Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya kepada Peraturan Kesihatan 2000 oleh Pegawai Sains Kanan, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), UKM, ChM. Noor Jannah Awang.

Pegawai Sains, FST, UKM, ChM. Noor Jannah Awang memberikan penerangan berkenaan dengan Daftar Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan.

Seterusnya, sesi penerangan tentang SeCHRA disampaikan oleh Ketua Pegawai Sains ROSH-UKM, Puan Siti Rahimah Umar yang memberikan peluang kepada para peserta mengenali borang SeCHRA sebagai satu kaedah kawalan dalaman UKM bagi mengenal pasti risiko bahan kimia berbahaya kepada kesihatan pengguna.

Sesi penerangan tentang SeCHRA disampaikan oleh Ketua Pegawai Sains ROSH-UKM, Puan Siti Rahimah Umar.

Aktiviti latihan dalam kumpulan juga dilakukan pada sesi akhir program yang memerlukan para peserta mengisi borang Daftar Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan dan borang SeCHRA berdasarkan situasi dan maklumat bahan kimia yang diberikan dan seterusnya membentangkan hasil kerja masing-masing dan diulas oleh fasilitator bagi menguji kefahaman para peserta tentang bahan kimia berbahaya.

Aktiviti latihan dalam kumpulan dilakukan bagi menguji kefahaman para peserta tentang bahan kimia berbahaya.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.