Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangApakah yang sebenarnya berlegar-legar dalam kotak fikiran mereka apabila memperdebatkan peranan yang boleh dimainkan oleh hasil ciptaan terbaharu yang sememangnya mengegarkan alam sejagat? Pernahkan mereka menghalusi cadangan yang dilontarkan dengan mengambil kira kemusnahan yang akan melanda muka bumi? Adakah implikasi kepada alam semula jadi diambil kira? Apakah segerombolan saintis bersama-sama para birokrat tentera berhak menentukan masa depan muka bumi yang dibelenggu ancaman kemusnahan?
Persoalan sebegini timbul kerana sejarah persengketaan manusia yang penuh dengan rasa dengki jelas terserlah apabila nafsu segelintir birokrat tentera ingin menguasai dunia dengan menggunakan kekerasan yang tidak terhingga. Lebih-lebih lagi, hal ini berkaitan dengan kezaliman mereka untuk menghapuskan benteng pertahanan negara jiran berserta usaha menjajahi pemikiran mereka supaya sentiasa tunduk kepada nafsu kekerasan.
Namun begitu, yang amat menyedihkan ialah pengetahuan sains telah dimanipulasikan untuk mencipta sejenis senjata yang terlalu dahsyat dan sukar ditandingi oleh musuh terdekat. Dalam usaha menentang keganasan, para saintis mengembleng tenaga serta menaruh kepercayaan bahawa pihak musuh juga bertungkus-lumus mencari ikhtiar untuk mencipta senjata yang boleh menandingi ciptaan mereka dari segi tahap kemusnahan yang bakal berlaku.
Maka itu, perlumbaan tersebut merupakan titik hitam dalam sejarah sains secara keseluruhannya. Dalam hal ini, penyelidikan sains seharusnya digunakan untuk kebaikan alam sejagat, bukan untuk memusnahkan bumi yang tercinta.
Apakah dunia tidak akan menuju ke arah kemusnahan sekiranya Leo Szilard tidak menemukan idea tindak balas berantai di London pada tahun 1933? Sekiranya Marie Curie tidak memperlihatkan keazaman yang setinggi langit, apakah dia bersama suaminya, Pierre akan membuat penemuan tentang sinaran ganjil yang berasal daripada sampel eksperimen yang disediakan di dalam makmal mereka yang serba sederhana pada tahun 1898?
Apakah yang akan berlaku sebenarnya jika Enrico Fermi menemukan kegagalan dalam usaha menghasilkan tindak balas berantai yang terkawal (controlled chain reaction) di stadium bola sepak Universiti Chicago pada tahun 1942? Mengapakah golongan ini harus berjaya sekali gus memberikan laluan kepada ilmu sains disalahgunakan untuk kemusnahan alam sejagat?
Atas faktor motivasi menentang kezaliman yang ditonjolkan oleh pihak Jerman yang sepantas kilat menakluk Belanda pada tahun 1940 dan seterusnya menjajah Perancis tanpa sebarang tentangan hebat, maka para saintis daripada pelbagai negara bersekutu meneroka cara yang terbaik dengan menggunakan pengetahuan sains demi menentang penjajahan yang tidak diiktiraf dunia.
Idea Albert Einstein yang menelurkan persamaan terkenal, iaitu E = mc^2 pada tahun 1905 telah disalahgunakan untuk menghasilkan senjata yang paling dahsyat pernah dialami oleh penduduk muka bumi.
Leo Szilard memperkembang idea tersebut dengan menaruh kepercayaan kepada tindak balas berantai. Enrico Fermi pula bersama-sama Edward Teller menjunjung idea Leo Szilard dan cuba mempraktikkan idea itu sebagai realiti penyelidikan apabila mereka cuba mencapai tindak balas berantai terkawal.
Leo Szilard pula berjaya memujuk Albert Einstein untuk menurunkan tandatangan dalam surat yang ditujukan kepada Presiden Roosevelt pada tahun 1939 sebagai usaha mereka untuk memujuk Amerika Syarikat menyertai Perang Dunia Kedua yang dicetuskan oleh Jerman apabila mereka menakluk Belanda pada tahun 1940.
Namun begitu, Amerika Syarikat cuma memasuki gelanggang pertarungan dunia apabila pangkalan laut Pearl Harbor yang serba moden di Hawaii diserang secara mengejut oleh pihak Jepun pada tahun 1941.
Pada mulanya, Amerika Syarikat enggan campur tangan dalam persengketaan di Eropah apabila Jerman dengan sewenang-wenangnya menceroboh Belanda dan Perancis. Namun begitu, serangan mengejut tersebut terhadap Pearl Harbour menyemarakkan semangat mereka untuk menentang penjajahan yang berlaku di dunia Eropah dan benua Asia.
Program sulit senjata nuklear telah bermula pada tahun 1942 yang diketuai oleh Mejar Jeneral Leslie Groves dan Los Alamos Julius Robert Oppenheimer. Program berkenaan juga mendapat sokongan padu para saintis yang ingin menghasilkan senjata itu sebelum Jerman mencapai kejayaan.
Pakar mekanik kuantum, Werner Heinsenger pula mengetuai program senjata nuklear bagi pihak Jerman. Perlumbaan senjata yang tidak dijangka sama sekali itu berlarutan sehingga lebih daripada tiga tahun.
Pada tahun 1944, golongan saintis dalam Projek Manhattan mencipta bom atom pertama yang menampilkan kehadiran plutonium-240 yang tidak praktikal serta mungkin mengalami tindak balas berantai sebelum teras senjata sulit itu siap dipasang. Oleh hal yang demikian, satu pendekatan baharu yang dipelopori oleh John Von Neumann yang menggunakan idea senjata nuklear implosi (implosion) diterima sebagai cara terbaik untuk menghasilkan bom nuklear.
Bom nuklear yang mengunakan pendekatan tersebut dipanggil Fat Man. Satu lagi bom nuklear yang menggunakan uranium-235 pula diberikan nama Little Boy.
Perang Dunia Kedua sudah menampakkan kemungkinan besar kekalahan akan menimpa Axis Alliance yang diketuai oleh Jerman yang dibantu oleh Itali dan Jepun. Keazaman Jerman yang ingin menakluk Rusia menemukan jalan buntu dan membawa padah kepada semangat tentera yang berkecai begitu sahaja apabila mereka gagal mencapai kemenangan di tanah Rusia yang berlanjutan sehingga musim sejuk.
Cuaca dingin yang amat ekstrem tidak langsung diduga. Oleh sebab itu, tentera Jerman mengalami kekalahan yang begitu teruk.
Kekalahan yang menimpa pihak Jepun di Battle of Midway pada tahun 1942 menyakinkan Pakatan Bersekutu yang didukung oleh Amerika Syarikat, England, negara Eropah dan negara lain bahawa kejayaan mutlak sudah hampir menjadi kenyataan. Pada 6 Jun 1944, tentera Pakatan Bersekutu berjaya membuat pendaratan di persekitaran Normandy, Perancis yang mencerminkan keinginan pihak Pakatan Bersekutu untuk merampas kembali tanah yang dijajah pihak musuh apabila perang bermula pada tahun 1940.
Bom atom pertama yang diletupkan di padang pasir New Mexico pada pertengahan tahun 1945. Kesannya begitu menakutkan dan menghantui kotak fikiran kebanyakan saintis, termasuklah Oppenheimer tentang kesilapan dalam mengejar impian mempraktikkan idea tindak balas berantai untuk menghasilkan bom atom.
Terdapat juga segelintir saintis yang mengesyorkan supaya bom atom itu diletupkan di tempat yang terpencil sebagai amaran kepada pihak Jepun yang masih lagi enggan tunduk pada masa itu. Apabila ujian bom atom pertama dengan nama samaran Trinity dilakukan, pihak Jerman sudah menyerah kalah kepada pihak Pakatan Bersekutu yang telah menjejakkan kali di tanah Rhine, Jerman sejak beberapa bulan sebelum itu.
Bom atom pertama mengegarkan Hiroshima berlaku apabila kapal terbang Enola Gay menjatuhkan bom Little Boy pada 6 Ogos 1945 yang mencetuskan kemusnahan yang tidak pernah dilihat selama ini. Sebelum Jepun boleh mengambil sebarang tindakan, bom atom kedua, iaitu Fat Man dijatuhkan di bumi Nagasaki tiga hari selepas itu yang menyebabkan kemusnahan yang tidak terhingga.
Selepas kejadian tersebut, dunia berubah sama sekali. Perang Dingin menentang Rusia pula dicetuskan apabila Klaus Emil Julius Fuchs memberikan maklumat sulit tentang rahsia di sebalik penghasilan bom atom itu kepada Rusia.
Ternyata, keluhuran awal melalui idea para saintis untuk membenamkan Axis Alliance dengan mendahului dalam penghasilan bom atom hancur berkecai kerana hasil penat lelah mereka bukan sahaja digunakan untuk menundukkan pihak lawan, malah menyemarakkan Perang Dunia yang berputik antara Amerika Syarikat dengan Rusia.
Dalam hal ini, sains telah membuka lembaran baharu dalam persengketaan dunia yang tiada penghujungnya. Persoalan lain yang boleh difikirkan ialah apalah ertinya pencapaian sains yang berjaya diraih apabila akhirnya kecemerlangan itu membunuh ratusan ribu nyawa manusia?