7 Ogos 2023, 12:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos 2023 sebagai hari pengundian bagi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan. Fenomena yang sepatutnya berlaku seiring dengan Pilihan Raya Umum ke-15 pada November tahun lalu berlaku sekali lagi pada tahun ini disebabkan oleh keengganan keenam-enam negeri tersebut untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dengan alasan ingin menghabiskan tempoh pentadbiran.

Pada ketika ini, pelbagai kempen sedang hangat dilaksanakan oleh parti politik yang bakal bertanding. Suasana meriah sedang menyelubungi setiap kawasan bandar dan kampung di enam buah negeri terbabit dengan hiasan bahan kempen seperti bendera, poster, sepanduk dan kain rentang parti politik yang berkaitan.

Boleh dikatakan hampir setiap ceruk di kebanyakan kawasan yang strategik akan dipenuhi dengan bendera, poster, sepanduk dan kain rentang parti politik. Kebanyakan bahan kempen yang digunakan itu hanyalah bersifat sementara. Oleh hal yang demikian, timbul persoalan apakah nasib bahan kempen tersebut selepas hari mengundi tamat?

Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) menyatakan bahawa bahan kempen yang dipamerkan atau dilekatkan hendaklah dibersihkan atau ditanggalkan oleh calon ataupun ejen pilihan raya dalam tempoh 14 hari selepas hari mengundi. Jika seseorang calon atau ejen pilihan raya itu tidak mematuhi akta ini, deposit yang dibayar hendaklah dilucutkan hak dan dibayar kepada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.

Pengarah PRN akan membersihkan bahan kempen dengan menggunakan wang deposit yang dilucutkan hak. Jika kos pembersihan bahan kempen melebihi deposit yang dibayar oleh calon, bakinya akan menjadi hutang dan calon perlu membayarnya kepada kerajaan.

Begitu juga jika bahan kempen yang dipasang, misalnya poster yang ditampal pada papan iklan dan papan iklan tersebut rosak atau dirosakkan serta membabitkan jumlah kerosakan yang besar, deposit tersebut berkemungkinan tidak akan dikembalikan.

Berdasarkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 Seksyen 24B (4), calon atau ejen pilihan raya hanya boleh mempamer, melekat, memasang, memberi dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya di tempat bertanding setelah membayar deposit bahan kempen kepada Pengarah PRN. Jumlah deposit yang dikenakan oleh SPR untuk bahan kempen adalah sebanyak RM3000 bagi calon DUN.

Lazimnya, dalam tempoh 14 hari selepas hari mengundi, kebanyakan bahan kempen pilihan raya dibersihkan dan ditanggalkan oleh pihak parti yang bertanding. Namun demikian, terdapat bahan kempen yang masih belum dibersihkan atau ditanggalkan selepas tamat tempoh tersebut.

Antara kawasan tumpuan bahan kempen yang sering tidak dibersihkan dan ditanggalkan termasuklah di persimpangan utama jalan, bahu jalan, bulatan jalan, lampu jalan, pagar jalan dan kawasan tanaman landskap jalan.

Keadaan sedemikian sudah pastinya mencacatkan pemandangan, malah boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan kemudahan awam. Orang ramai turut menyuarakan kebimbangan sekiranya bahan kempen pilihan raya tidak diturunkan boleh menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya.

Terdapat bendera parti yang bertanding jatuh dan koyak di jalan raya serta bendera yang dipasang diletakkan di kawasan yang mengehadkan penglihatan pemandu, terutamanya di simpang empat jalan atau di pembahagi jalan sekali gus membahayakan keselamatan pengguna yang berulang-alik di kawasan tersebut.

Bagi menangani masalah berkenaan, terdapat cadangan yang diutarakan agar proses mendapatkan mandat rakyat melalui pilihan raya pada masa akan datang tidak lagi menggunakan bahan kempen fizikal untuk mengelakkan risiko kemalangan dan sebagainya.

Selain itu, kempen amalan hijau yang lebih mesra alam perlu diamalkan sekali gus dapat mengelakkan kewujudan sisa pepejal baharu yang banyak dalam bentuk bahan kempen. Pada kebiasaannya, bahan kempen yang sudah rosak akan dihantar ke tapak pelupusan sampah, manakala bahan kempen yang masih elok tetapi tidak boleh digunakan dalam jangka masa panjang akan dihantar ke pusat kitar semula.

Walau bagaimanapun, tidak semua bahan kempen akan berakhir di tapak pelupusan sampah ataupun pusat kitar semula. Terdapat bahan kempen disumbangkan kepada golongan yang memerlukan seperti gelandangan dan rumah kebajikan untuk digunakan bagi tujuan lain seperti dijahit menjadi beg guna semula dan kain pengelap.

Di samping itu, bahan kempen seperti sepanduk dan kain rentang yang diminta oleh peniaga gerai dijadikan sebagai penghadang daripada pancaran terik cahaya matahari dan alas meja, manakala bahan kempen yang masih lagi elok akan disimpan untuk digunakan semula pada masa hadapan.

Dengan arus kehidupan pada masa ini yang banyak menggunakan media digital dan media sosial, bahan kempen pilihan raya boleh disampaikan menerusi laman sesawang, Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram bagi menggantikan bahan kempen fizikal.

Calon dan parti yang bertanding sebenarnya boleh menggunakan kuasa media digital dan media sosial untuk menyampaikan mesej mereka dengan cara yang kreatif seperti video dan infografik yang interaktif bagi menarik perhatian orang ramai untuk mengundi. Kempen secara digital dilihat lebih relevan dan tidak membazirkan wang serta tenaga sekali gus penggunaan bahan kempen fizikal dapat diminimumkan.

Pada masa yang sama, parti politik boleh mengambil inisiatif dengan menyebarluaskan peringatan kepada pihak yang terlibat agar kerja pembersihan dan penanggalan bahan kempen perlu dilakukan selepas tamat hari pengundian, sama ada menang ataupun kalah dalam pilihan raya tersebut.

Dengan adanya tindakan seumpama ini membuktikan bahawa parti politik memberikan komitmen terhadap usaha kerajaan ke arah mencapai matlamat kehidupan mesra alam dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mesra alam.

Kerjasama antara parti politik dengan pihak berkuasa tempatan juga boleh dilakukan bagi menjalankan kerja pembersihan dan penanggalan bahan kempen secara serentak dengan pihak kontraktor pembersihan yang dilantik oleh parti politik terbabit. Kemudahan lori sampah dan tempat pembuangan bahan kempen di lokasi sementara yang strategik juga perlu disediakan bagi memudahkan kerja pembersihan dilakukan dengan sistematik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.