3 Ogos 2023, 10:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kepatuhan kepada ubat-ubatan penting untuk pesakit memperoleh kesan rawatan yang optimum selain membantu dalam mengawal penyakit dan seterusnya mengurangkan risiko berlakunya komplikasi. Kepatuhan kepada ubat-ubatan juga membantu mempercepat penyembuhan gejala yang dialami.

Namun begitu, terdapat beberapa faktor yang mungkin menyebabkan ketidakpatuhan pesakit terhadap ubat-ubatan. Antaranya termasuklah masalah kognitif pesakit seperti mudah lupa dan sukar memahami arahan pengambilan ubat. Situasi ini kerap berlaku dalam kalangan pesakit warga emas.

Kebaikan Menggunakan Kotak Pil

Secara umumnya, pengurusan ubat secara berkualiti menekankan bahawa ubat-ubatan hendaklah disimpan di dalam bekas asal. Hal ini dikatakan demikian kerana semua maklumat penting seperti nama pesakit, nama dan kekuatan ubat, dos dan kekerapan ubat yang perlu diambil, cara serta masa pengambilan ubat terdapat pada label ubat. Semua maklumat ini membantu pesakit dalam pengambilan ubat yang betul.

Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, penggunaan bekas penyimpanan ubat atau kotak pil disyorkan. Terdapat pelbagai jenis kotak pil komersial yang terdapat dalam pasaran. Pemilihan kotak pil ini bergantung pada beberapa faktor seperti kos, kesesuaian dan keselesaan pesakit untuk menggunakannya. Kotak pil yang berpatutan, ringan dan mudah dibawa sering menjadi pilihan pesakit.

Penggunaan kotak pil sangat bermanfaat kepada pesakit warga emas yang tinggal sendirian atau pesakit yang sering terlupa untuk mengambil ubat. Ubat yang perlu diambil boleh dimasukkan ke dalam ruangan yang terdapat dalam kotak pil mengikut masa dan hari pengambilannya.

Ruangan yang khusus pada setiap waktu pengambilan ubat dapat mengelakkan pesakit tertinggal dos. Hal ini dikatakan demikian kerana baki ubat yang terdapat di dalam setiap ruangan menunjukkan bahawa ubat tersebut belum diambil oleh pesakit pada masa yang sepatutnya.

Bukan itu sahaja, penggunaan kotak pil juga sangat membantu pesakit yang kerap mempunyai tugasan luar atau sedang bercuti. Apabila menggunakan kotak pil, pesakit tidak perlu lagi membawa bekalan ubat yang banyak. Cara penyimpanan ubat pula menjadi lebih tersusun dan seterusnya memudahkan pengambilan ubat-ubatan.

Panduan Penggunaan Kotak Pil

Beberapa perkara perlu dititikberatkan apabila menggunakan kotak pil untuk memastikan kualiti dan keberkesanan ubat-ubatan yang dimasukkan ke dalamnya tidak terjejas. Penggunaan kotak pil yang betul juga penting untuk mengelakkan risiko kesilapan pengubatan.

  • Tempoh penggunaan yang bersesuaian

Tempoh penggunaan kotak pil merupakan antara perkara yang harus diberikan keutamaan. Walaupun kotak pil membantu pengambilan ubat-ubatan, namun penggunaannya hanya disarankan bagi tempoh yang singkat, contohnya untuk seminggu. Selepas semua ubat-ubatan habis diambil mengikut aturan, ubat untuk dos minggu yang berikutnya perlu dimasukkan ke dalam kotak pil.

Penggunaan kotak pil bagi suatu tempoh yang panjang dan berterusan tidak digalakkan. Hal ini adalah untuk mengelakkan ubat menjadi rosak dalam kuantiti yang banyak sekiranya ubat yang telah dimasukkan ke dalam kotak pil bagi tempoh yang panjang disimpan dengan cara yang tidak sepatutnya.

Selain itu, kekerapan memasukkan ubat ke dalam kotak pil pada setiap minggu dapat membantu pemantauan kepatuhan pesakit dengan lebih baik.

  • Ubat dikekalkan dalam pek pembungkusan asal

Ubat tablet yang dimasukkan ke dalam kotak pil tidak seharusnya dikeluarkan daripada pembungkusan asal (blister pack). Maklumat berkaitan nama ubat, kekuatan dan tarikh luput ubat yang dicetak pada pembungkusan asal adalah penting untuk rujukan pesakit, penjaga atau ahli profesional kesihatan apabila diperlukan.

Selain itu, mengekalkan ubat di dalam pembungkusan asal dapat mengelakkan interaksi fizikal yang mungkin berlaku antara tablet yang berlainan jenis. Interaksi fizikal ini dapat mempengaruhi kestabilan dan keberkesanan ubat tersebut.

Pembungkusan asal juga berfungsi melindungi ubat daripada haba, kelembapan atau udara yang mungkin dapat menjejaskan keadaan fizikal dan kualitinya.

  • Dapatkan bantuan ahli farmasi atau individu lain

Pesakit warga emas atau individu yang sukar mengurus ubat-ubatnya sendiri disarankan untuk mendapatkan bantuan individu lain yang lebih arif apabila hendak menyusun dan memasukkan ubat ke dalam kotak pil.

Sebagai pilihan, pesakit boleh mendapatkan nasihat daripada ahli farmasi, sekiranya diperlukan. Selain ahli farmasi, ahli keluarga atau penjaga juga boleh membantu menyusun dan memasukkan ubat-ubatan pesakit ke dalam kotak pil dengan cara yang betul.

Senarai atau jadual pengambilan ubat bolehlah disediakan terlebih dahulu mengikut aturan pengambilan ubat yang telah dipreskripsi oleh doktor. Seterusnya, ubat-ubatan disusun dan dimasukkan ke dalam kotak pil mengikut senarai atau jadual berkenaan.

Namun begitu, pesakit atau penjaga hendaklah sentiasa menyemak kotak pil yang telah siap dimasukkan ubat-ubatan, terutamanya jika terdapat ubat yang kelihatan serupa (look-alike medicines) untuk mengelakkan kesilapan pengubatan yang tidak diingini.

  • Amalkan konsep “luput dahulu, keluar dahulu”

Sekiranya terdapat dua kumpulan ubat yang sama tetapi mempunyai tarikh luput yang berbeza untuk dimasukkan ke dalam kotak pil, pesakit hendaklah mengamalkan konsep “luput dahulu, keluar dahulu”.

Konsep ini membolehkan ubat dengan tarikh luput yang lebih awal digunakan dahulu dan mengelakkan kejadian pesakit termakan ubat yang telah luput. Selain itu, cara ini juga secara tidak langsung dapat mengurangkan kerugian akibat pembaziran ubat kerana telah luput di dalam simpanan.

  • Ambil tahu setiap perubahan rawatan

Pesakit atau penjaga dinasihatkan agar sentiasa mengambil tahu sebarang perubahan yang dilakukan oleh doktor yang merawat. Jadual pengambilan ubat yang disediakan untuk membantu penyusunan ubat ke dalam kotak pil boleh juga digunakan untuk memantau perubahan tersebut.

Pesakit atau penjaga boleh menulis maklumat penting yang berkaitan dengan rawatan semasa dalam jadual tersebut seperti nama, kekuatan, dos serta kekerapan pengambilan ubat dan tarikh ubat dimulakan oleh doktor. Maklumat ini perlu dikemas kini setiap kali berlakunya perubahan kepada ubat-ubatan yang dipreskripsikan oleh doktor. Ubat-ubatan yang telah dimasukkan ke dalam kotak pil harus disusun semula bersesuaian dengan perubahan yang dilakukan.

  • Simpan kotak pil yang berisi ubat dengan cara yang betul

Setelah memasukkan ubat ke dalam kotak pil, pesakit hendaklah menyimpan kotak pil tersebut pada suhu yang bersesuaian serta jauh daripada cahaya matahari, sumber haba, tempat yang berkelembapan tinggi dan capaian kanak-kanak.

Cara penyimpanan yang betul memastikan ubat tidak rosak serta kekal stabil dan berkesan. Bukan itu sahaja, kesilapan pengubatan yang tidak disengajakan juga dapat dielakkan.

Secara keseluruhannya, penggunaan kotak pil diharapkan dapat membantu meningkatkan tahap kepatuhan pesakit terhadap rawatannya. Pesakit daripada golongan tertentu disarankan agar menggunakan kotak pil untuk mengatur dos pengambilan ubat-ubatan mengikut dos dan kekerapan yang telah ditetapkan.

Walau bagaimanapun, kotak pil ini hendaklah digunakan dengan cara yang betul untuk memastikan ubat yang dimasukkan ke dalamnya kekal dalam keadaan baik dan tidak mengakibatkan kesilapan pengubatan. Kotak pil hendaklah disimpan dan digunakan bersama-sama senarai ubat yang lengkap dengan maklumat dos dan kekerapan supaya dapat dijadikan rujukan segera, terutamanya ketika berlakunya kecemasan.

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).

 

Penulis: Hazlin Syafinar Hussein, Pegawai Farmasi, Cawangan Amalan dan Perkembangan Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.

Disemak oleh: Siti Nurul Fathiah Baharudin, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Penggunaan Ubat Berkualiti, Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.