1 Ogos 2023, 15:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kanser ialah penyakit yang berkaitan dengan pertumbuhan dan replikasi sel yang tidak normal di dalam badan. Pertambahan sel yang tidak normal ini seterusnya boleh menyebabkan ketumbuhan yang tidak normal yang dipanggil tumor.

Tumor terbahagi kepada dua kategori, iaitu tumor bukan barah (benigna) atau barah (malignan). Kanser juga boleh bermaksud pertumbuhan sel yang tidak normal, tetapi tidak menyebabkan tumor seperti penyakit leukemia.

Bagi pesakit kanser, kebanyakan rawatan akan dilakukan secara pembedahan, kemoterapi atau radioterapi. Rawatan tersebut bergantung pada jenis kanser yang dihidapi, umur pesakit, bahagian badan yang dihidapi kanser dan tahap sebaran kanser tersebut.

Kemoterapi didefinisikan sebagai rawatan kanser yang menggunakan ubat konvensional dengan cara membunuh sel kanser, manakala radioterapi ialah rawatan kanser yang menggunakan radiasi bertenaga tinggi untuk membunuh sel kanser.

Kesan Sampingan Rawatan Kanser

Kaedah rawatan seperti kemoterapi dan radioterapi disarankan oleh doktor bagi mengurangkan risiko penyebaran sel kanser. Namun begitu, terdapat beberapa kesan sampingan yang boleh menyebabkan masalah pemakanan kepada pesakit kanser.

Antara kesan sampingan rawatan kanser termasuklah mulut kering atau berlakunya ulser mulut, loya atau muntah, masalah usus seperti sembelit atau cirit-birit, perubahan deria rasa atau bau, sakit tekak dan hilang selera makan. Kesan sampingan ini boleh menyebabkan penurunan kadar pengambilan makanan dan seterusnya menyebabkan kekurangan tenaga ketika menjalani rawatan.

Jika masalah kesan sampingan ini tidak dapat dibendung, pesakit kanser berisiko untuk mendapat gejala malpemakanan seperti kehilangan berat badan yang tidak disengajakan. Hal ini seterusnya boleh menyebabkan komplikasi kanser kakeksia, iaitu kehilangan jisim otot atau lemak yang menyebabkan kemerosotan fungsi badan secara progresif.

Kepentingan Nutrisi

Oleh itu, keperluan untuk mendapatkan nutrisi yang mencukupi adalah sangat mustahak bagi pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan. Selain mengehadkan perubahan berat badan untuk mengelakkan gejala malpemakanan, nutrisi juga diperlukan bagi membantu proses penyembuhan daripada kesan kemoterapi dan radioterapi serta luka pembedahan.

Selain itu, nutrisi juga diperlukan bagi memastikan anggota badan memiliki tenaga yang cukup selain meningkatkan imuniti bagi melawan kanser dan penyakit lain.

Berbanding dengan individu sihat yang perlu mengamalkan konsep suku suku separuh seperti yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, pemakanan bagi pesakit kanser adalah berlainan. Pesakit kanser memerlukan protein dan kalori yang secukupnya bagi melawan penyakit di samping mengekalkan kesihatan mereka dan menangani kesan rawatan.

Keperluan protein dan kalori yang mencukupi ini adalah penting bagi menggantikan tisu yang rosak atau tercedera, mengurangkan jangkitan kuman berbahaya, mengekalkan berat badan yang sesuai serta mengekalkan dan memperbaik sistem pertahanan badan yang baik. Namun begitu, keperluan protein dan kalori ini haruslah berdasarkan saranan doktor yang bertauliah serta pegawai dietetik.

Dalam situasi lain, pengawalan pemakanan berkalori ini tidak terpakai kepada makanan yang terproses atau makanan rapu kerana makanan tersebut berisiko untuk memberikan kesan mudarat kepada pesakit kanser. Kajian daripada University of Paris pada tahun 2019 mendapati bahawa sebanyak 10 peratus makanan yang terproses dikaitkan dengan 12 peratus risiko kanser secara keseluruhan dan 11 peratus risiko kanser payudara.

Selain itu, terdapat juga makanan lain yang disarankan kepada pesakit kanser seperti pengambilan makanan berserat tinggi (bijirin, limau, pisang, tomato dan sayuran hijau), makanan yang kaya dengan vitamin D (ikan kembung dan cendawan) dan makanan yang mengandungi omega 3 (ikan kembung, ikan salmon, bayam dan kekacang). Makanan ini juga diperlukan bagi memastikan imuniti badan sentiasa ditingkatkan bagi pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan.

Matlamat Pengawalan Pemakanan

Matlamat pengawalan pemakanan yang sistematik memerlukan beberapa komponen lain yang penting seperti memastikan berat badan pesakit kanser mencapai berat badan yang sihat dan ideal. Hal ini bagi mengelakkan pengambilan kalori yang berlebihan yang boleh menyebabkan risiko obesiti dan penyakit kronik lain.

Selain itu, pesakit kanser juga perlu mengamalkan kebersihan seperti kerap mencuci tangan semasa membuat penyediaan makanan. Pesakit juga perlu mengelakkan diri daripada memakan makanan yang mentah bagi membendung jangkitan kuman yang berbahaya.

Di samping itu, pesakit kanser digalakkan untuk melakukan aktiviti fizikal sebanyak lima kali seminggu selama 30 minit bagi setiap sesi mengikut saranan dan nasihat doktor bagi meningkatkan fungsi kardiovaskular.

Pengambilan Glukosa

Terdapat beberapa kerisauan daripada orang ramai tentang pengambilan glukosa oleh pesakit kanser kerana beranggapan bahawa sel kanser memerlukan glukosa untuk membesar dan mereplikasi. Disebabkan hal itu, pesakit berandaian bahawa dengan tidak mengambil glukosa, sel kanser akan berhenti membesar dan mereplikasi.

Bagi menjawab persoalan ini, pengambilan glukosa adalah amat diperlukan bagi memastikan semua sel di dalam badan berfungsi dengan baik. Namun begitu, penggunaan glukosa di dalam badan juga secara tidak langsung akan melibatkan sel kanser.

Pengambilan glukosa merupakan keperluan yang penting di dalam badan. Sekiranya pesakit kanser tidak mengambil glukosa daripada karbohidrat secukupnya, badan akan menghasilkan glukosa daripada sumber lain, termasuklah protein dan lemak.

Pemecahan simpanan protein ini akan menyumbang kepada kehilangan jisim otot dan berisiko menyebabkan kekurangan zat makanan. Secara tidak langsung, hal ini akan menyebabkan penurunan berat badan secara tidak disengajakan dan akan memberikan kesan terhadap keupayaan dalam menjalani rawatan kanser.

Di samping itu, karbohidrat yang diambil secara terhad juga boleh menyebabkan makanan kehilangan sumber serat, vitamin dan mineral yang menyokong imuniti badan.

Makanan Tambahan dan Vitamin

Sesetengah pesakit kanser mungkin perlu mengambil makanan tambahan sekiranya pesakit tersebut mempunyai tahap nutrien yang rendah atau sesetengah kanser menghalang daripada penyerapan nutrien daripada makanan yang diambil.

Adakalanya pesakit kanser juga memerlukan makanan tambahan atau vitamin tersebut bersama-sama rawatan kanser seperti kemoterapi atau radioterapi bagi meningkatkan imuniti badan atas saranan doktor mengikut keadaan semasa dan pemakanan pesakit. Pengambilan makanan tambahan dan vitamin tanpa melalui rawatan kanser konvensional boleh merisikokan kesihatan pesakit kanser.

Selain itu, pengambilan makanan seumpama ini boleh mengurangkan peluang untuk menyembuhkan atau mengawal kanser pesakit. Oleh hal yang demikian, pesakit digalakkan untuk berbincang dengan perunding kesihatan profesional dan pegawai dietetik bagi mendapatkan nasihat tentang diet dan penggunaan makanan tambahan dan vitamin.

 

Dr. Wan Ahmad Syazani Mohamed, Pegawai Perubatan, Unit Pemakanan, Pusat Penyelidikan Pemakanan, Metabolik dan Kardiovaskular, Institut Penyelidikan Perubatan, Institut Kesihatan Negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.