27 Julai 2023, 18:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Berikutan kerisauan rakyat Malaysia berkenaan dengan isu keterjaminan makanan, sesi Ruang Bicara yang bertajuk Malaysia Madani: Cukup dan Terjamin anjuran Bernama TV telah diadakan dengan menampilkan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YBhg. Datuk Badrul Hisham Mohd selaku pembicara yang akan mengupas topik tersebut dengan lebih lanjut.

Susulan daripada pelancaran Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI yang bertemakan “Ekonomi MADANI Memperkasakan Rakyat” oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, segala aspirasi dan matlamat yang ingin dicapai menjadi satu cabaran kepada pelbagai agensi dan kementerian yang berkaitan termasuklah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

“Ekonomi MADANI merupakan satu gagasan merevolusikan MADANI dalam kehidupan rakyat Malaysia yang menjadi satu garapan idea dan hasrat kerajaan untuk melakukan transformasi, terutamanya memberikan tumpuan kepada pengukuhan semula ekonomi,” kata YBhg. Datuk Badrul Hisham Mohd ketika ditemu bual dalam sesi Ruang Bicara itu.

Menurut beliau, kerajaan mengambil berat akan isu krisis makanan dengan mengumumkan pendekatan baharu menerusi konsep Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan memberikan tumpuan kepada SDG yang kedua, iaitu Kelaparan Sifar.

Oleh hal yang demikian, peruntukan sebanyak tiga bilion telah diumumkan akan diberikan untuk menambah baik infrastruktur pengairan bagi membolehkan bekalan beras di dalam negara mencukupi ekoran ekosistem pengairan yang kurang efektif memberikan kesan terhadap penghasilan bekalan beras negara.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YBhg. Datuk Badrul Hisham Mohd (kanan) ketika ditemu bual dalam sesi Ruang Bicara anjuran Bernama TV.

Dalam konteks agromakanan di Malaysia, KPKM memberikan tumpuan khusus kepada sektor tertentu dan kebanyakan sektor tersebut mempunyai pemain industri yang terdiri daripada pelbagai lapisan kaum dan berpeluang memantapkan keterjaminan bekalan makanan untuk seluruh rakyat Malaysia.

Jelas beliau, selain memastikan bekalan makanan mencukupi, kualiti bahan makanan yang dihasilkan juga haruslah baik dan berkualiti untuk keperluan masyarakat.

Mengulas dengan lebih lanjut, Dasar Agromakanan Negara telah digarap untuk memastikan ketersediaan bekalan makanan dengan menepati teras yang telah ditetapkan, misalnya pemerkasaan pasaran domestik dapat meningkatkan bekalan makanan di dalam negara ini serta bakat baharu dalam pertanian turut diberikan perhatian bagi memastikan ekosistem bekalan makanan sentiasa berada dalam keadaan baik.

Rakyat perlu memahami dan mengetahui segala kaedah dan konsep yang dibawakan oleh KPKM dengan mengambil tahu pelbagai inisiatif yang telah dilakukan bagi mengisi ruang agromadani untuk memastikan keperluan makanan mencukupi, misalnya menerusi penawaran harga makanan yang berpatutan serta jualan agromadani yang dilaksanakan di seluruh negara.

Sebelum sesi perkongsian berakhir, beliau menegaskan bahawa pelbagai perubahan turut dilakukan oleh KPKM terhadap ekosistem makanan bagi menghadapi krisis makanan dengan adanya bermacam-macam program disusun dengan kerjasama agensi di bawah KPKM bagi memastikan dasar kerajaan berkaitan dengan pertanian dan keterjaminan makanan berjaya mencapai matlamatnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.