Oleh Fazlina Mustaffa
18 Julai 2023, 16:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ketika pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia pada tahun 2020, penjarakan sosial menjadi satu daripada langkah pencegahan yang amat penting bagi membendung wabak tersebut. Namun begitu, kaedah pencegahan awam ini bukanlah hanya diamalkan dalam kalangan manusia.

Kajian menunjukkan bahawa sifat semula jadi kelawar penghisap darah yang mengasingkan diri daripada populasinya apabila berasa sakit amat mencuri perhatian. Kajian tersebut melaporkan bahawa apabila kelawar jatuh sakit, haiwan itu akan melakukan penjarakan sosial serta mengelak daripada kelawar lain.

Kelawar merupakan sejenis mamalia daratan yang tersebar secara meluas di pelbagai pelosok negara. Terdapat lebih daripada 1300 spesies kelawar di seluruh dunia. Kelawar dikategorikan dalam order Chiroptera yang diambil daripada perkataan Greek yang bermaksud “sayap tangan”.

Kajian bagi meneliti sifat semula jadi kelawar yang menyendiri ketika sakit telah dijalankan oleh pasukan penyelidik yang diketuai oleh Dr. Simon Ripperger, penyelidik dalam bidang evolusi, ekologi dan biologi organisma daripada Universiti Ohio, Amerika Syarikat.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Behavioural Ecology keluaran Oktober 2020 itu dilakukan di makmal dan membuktikan hipotesis mereka bahawa kelawar melakukan penjarakan sosial ketika sakit.

Walau bagaimanapun, penyelidik menjalankan semula kajian ini dengan menggunakan habitat semula jadi kelawar tersebut, iaitu di lubang pokok bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai sifat kelawar ini.

Dalam kajian ini ini, penyelidik menggunakan sebanyak 31 kelawar betina yang tinggal di dalam pokok di daerah Lamanai, Belize, Amerika Syarikat. Enam belas ekor kelawar telah disuntikkan dengan histamin, iaitu sejenis molekul yang mengaruh pengaktifan sistem tindak balas badan dan menyebabkan haiwan itu jatuh sakit.

Lima belas ekor kelawar lain pula diberikan plasebo, iaitu air garam dan dijadikan sebagai kelawar kawalan. Plasebo perlu diberikan bagi mendapatkan perbandingan terhadap kumpulan kelawar yang diberikan ubat-ubatan.

Setelah suntikan dilakukan, kelawar ini dikembalikan ke dalam pokok. Penyelidik menganalisis kelakuan sosial kelawar ini di dalam komuniti mereka selama tiga hari.

Tiga parameter utama yang direkodkan oleh para penyelidik dalam kajian ini ialah bilangan kelawar yang diinteraksikan oleh kelawar yang sakit, masa yang diluangkan oleh kelawar yang sakit bersama-sama kelawar lain serta hubungan kelawar ini bersama-sama jaringan sosial kelawar daripada kumpulan lain. Dalam kajian ini juga, data bagi tingkah laku kelawar tersebut direkodkan oleh komputer mikro terubah suai yang dilekatkan pada bahagian badan kelawar.

Secara puratanya, setelah dibandingkan dengan kelawar kawalan, kelawar yang sakit berhubung dengan kelawar lain kurang daripada empat jam dalam tempoh enam jam selain menghabiskan masa kurang daripada 25 minit untuk berinteraksi dengan kelawar lain. Kajian ini juga mendapati bahawa aktiviti sosial kelawar yang sakit bertambah secara drastik dalam tempoh 48 jam suntikan diberikan.

Antara sebab utama kelawar ini mengasingkan dirinya termasuklah haiwan ini merasakan bahawa dirinya kurang sihat. Hal ini menjadikan wujudnya penjarakan sosial antara kelawar yang sakit dengan kelawar lain dalam populasi itu. Penjarakan sosial ini juga secara tidak langsung mengurangkan kadar kebolehjangkitan penyakit antara kelawar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.