14 Julai 2023, 17:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Bersempena dengan Hari Kesedaran Jerung yang disambut di seluruh dunia bagi mendidik masyarakat akan kepentingan ikan yu di laut, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menasihatkan orang ramai agar tidak memilih sirip yu sebagai pilihan makanan serta memelihara dan memulihara ikan yu yang mempunyai fungsi penting dalam ekosistem laut.

Perlindungan bagi ikan yu telah dikuatkuasakan oleh DOF di bawah Peraturan-peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan yang Terancam) 1999, Akta Perikanan 1985.

“Sebahagian daripada usaha konservasi ikan yu di negara ini adalah melalui inisiatif yang dilaksanakan oleh DOF menerusi kempen yang sedia ada seperti kempen “Tak Nak Sirip Ikan Yu” yang dilancarkan bersempena dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018,” kata Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, YBhg. Dato’ Adnan Hussain dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, antara ikan yu yang dilindungi ialah yu tukul parang (Sphyrna mokarran), yu tukul palang (Eusphyra blochii), yu tukul (Sphyrna zygaena), yu sirip putih besar (Carcharhinus longimanus) dan yu paus (Rhincodon typus).

Sebanyak 68 spesies ikan yu telah ditemukan dalam perairan Malaysia dan negeri yang paling banyak menerima pendaratan ikan yu ialah Sarawak kerana memiliki kawasan tangkapan ikan yang luas dan habitat yang sesuai.

Pengurusan sumber yang cekap, ekosistem marin dan kawasan pesisiran pantai yang subur turut menyumbang kepada kelestarian hidupan ikan yu di Malaysia.

Berdasarkan penyelidikan yang dijalankan oleh DOF sejak tahun 2018 hingga Mac 2021, perairan Kuala Pahang telah dikenal pasti sebagai habitat pembiakan semula jadi bagi tiga spesies yu dan 13 spesies pari, iaitu daripada order Orectolobiformes (famili Hemiscyllidae) dan order Myliobatiformes (famili Dasyatidae dan Gymnuridae).

Kawasan berkenaan akan dicadangkan sebagai Zon Konservasi, yakni tidak ada sebarang aktiviti menangkap ikan dijalankan di kawasan sekitarnya.

Secara umumnya, pendaratan ikan yu pada tahun 2022 adalah tidak melebihi 0.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pendaratan ikan marin, iaitu 4578 tan metrik daripada 1.3 juta tan metrik sekali gus menunjukkan ikan yu bukanlah spesies ikan yang disasarkan dalam tangkapan, sebaliknya terperangkap melalui penggunaan alat tangkapan seperti pukat tunda.

Terdapat pelbagai pameran ikan hiasan termasuklah ikan yu di Pusat Ikan Hiasan Port Dickson yang diselia oleh DOF dan orang ramai boleh mengunjunginya bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 4.30 petang secara percuma.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.