Oleh Rashid Ating
12 Julai 2023, 10:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Platform Terbuka Sains Malaysia (MOSP) telah dilancarkan secara rasminya pada 16 Mei 2023 oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Akademi Sains Malaysia (ASM). Usaha ini menandakan suatu lembaran baharu kepada aktiviti perkongsian data secara terbuka di Malaysia.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pergerakan data terbuka dilihat semakin berkembang. Hal ini adalah untuk menjadikan data penyelidikan dan kajian boleh diakses oleh segenap lapisan masyarakat. Tindakan ini juga selaras dengan prinsip antarabangsa untuk menjadikan sesuatu data itu mudah untuk dicari, dicapai, kebolehoperasian dan boleh digunakan semula.

Projek pembinaan platform ini telah dijalankan sejak tahun 2016 lagi yang bertitik-tolak dengan penyertaan ASM dalam sesi libat urus bersama Kerjasama Ekonomi Asia Pasific (APEC) berkenaan dengan inisiatif untuk menggalakkan aktiviti perkongsian data terbuka.

Setelah berusaha selama tujuh tahun, akhirnya pada Mei 2023, Malaysia mempunyai platform data terbuka untuk mengalakkan aktiviti perkongsian data antara agensi kerajaan dengan universiti, di samping menggalakkan aktiviti penyelidikan yang melibatkan pelbagai disiplin, menggalakkan kolaborasi antarabangsa, menjimatkan sumber dengan mengelakkan pertindihan dan pembiayaan kewangan kepada kajian yang sama.

Demi menggalakkan aktiviti perkongsian data dan kerjasama dalam kalangan pemegang taruh untuk aktiviti sains terbuka di Malaysia, Akademi Sains Malaysia (ASM) telah membentuk Pakatan Sains Terbuka Malaysia (MOSA) dengan penyertaan daripada beberapa kementerian dan universiti seperti yang berikut:

 

  • Akademi Sains Malaysia
  • Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi
  • Kementerian Pengajian Tinggi
  • Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim
  • Kementerian Kesihatan Malaysia
  • Institut Kesihatan Negara
  • Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia
  • Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia
  • Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia
  • Rangkaian universiti penyelidikan malaysia yang terdiri daripada lima universiti penyelidikan utama di Malaysia, iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Paparan antara muka laman sesawang MOSP.

Gambar di atas menunjukkan data yang dimuat naik oleh kementerian dan universiti yang terlibat dengan MOSP yang dapat dicapai oleh ahli penyelidik, komuniti masyarakat dan pemain industri untuk berkongsikan hasil penyelidikan dan peluang kerjasama dalam meningkatkan pembangunan kreativiti dan innovasi.

Selain itu, penyelidik yang mempunyai data berkenaan dengan sesuatu kajian juga boleh memuat naik data kajian tersebut melalui gedung data universiti yang terlibat atau melalui laman web Portal Data Terbuka Malaysia yang boelh dicapai di sini (data.gov.my). Pangkalan ini membekalkan data kajian yang yang boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat tanpa sebarang sekatan, baik bagi mereka yang berada di dalam negara mahupun yang berada di luar negara.

Pada masa ini, terdapat 10 bidang penyelidikan dipamerkan dalam MOSP yang merangkumi pelbagai bidang, iaitu kesihatan perubatan dan sains (109 data penyeldikan); iklim, alam sekitar dan biodiversiti (141 data penyelidikan); tenaga (19 data penyelidikan); fizik, kejuruteraan dan sains bahan (145 data penyelidikan); sains komputer, teknologi maklumat dan telekomunikasi (46 data penyelidikan); pertanian, veterinar dan sains makanan (79 data penyelidikan); kimia biologi dan sains matematik (195 data penyelidikan); pendidikan dan bahasa (81 data penyelidikan); sosial sains dan kemanusiaan (106 data penyelidikan); dan perniagaan, kewangan dan ekonomi (487 data penyelidikan).

Jika dilihat daripada jumlah intitusi, sebanyak lapan institusi yang menjadi penyumbang kepada gedung data MOSP, iaitu Portal Data Terbuka Malaysia (652 data penyelidikan); UTM (371 data penyelidikan); ASM (137 data penyelidikan); USM (95 data penyeldikan); UPM (82 data penyelidikan); UM (27 data penyelidikan); Pangkalan Data MOSTI Raw Data for Research and Sciences (RADARS) (26 data penyelidikan); dan UKM (18 data penyelidikan).

Ekosistem MOSP yang melibatkan beberapa kementerian dan universiti pada hari ini sebenarnya masih berada pada peringkat awal pelaksanaannya. Untuk mencapai hasil yang maksimum, diharapkan pada masa yang akan datang, lebih banyak universiti di Malaysia (kerajaan mahupun swasta), kementerian dan syarikat swasta turut serta dalam aktiviti data terbuka ini. Dengan lebih banyak penyertaan pemegang taruh dalam MOSP, lebih banyak data kajian dan penyelidikan dapat dikumpulkan dan digunakan dalam kajian yang melibatkan pelbagai disiplin.

Pada masa yang sama, diharapkan agar ASM terus menjadi barisan hadapan yang akan membawa idea agar MOSP dapat diteruskan pada peringkat yang lebih tinggi seperti pelibatan negara Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEA) agar perkongsian data kajian dan penyelidikan dapat dikongsikan secara langsung.

Laman sesawang MOSP boleh dicapai pada pautan ini.

 

Rashid Ating, Penyelidik di Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi dan Institut Pengajian Termaju, Universiti Malaya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.