10 Julai 2023, 15:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sejak kebelakangan ini, penggunaan produk pelindung suria dilihat semakin menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat. Produk ini menjadi satu daripada produk kosmetik yang sering dibeli dan digunakan, terutamanya oleh pengguna wanita.

Penggunaan produk pelindung suria sememangnya memberikan manfaat kepada pengguna seperti mengelakkan selaran matahari (sunburn), membantu melambatkan tanda penuaan dan mengurangkan risiko kanser kulit.

Namun begitu, manfaat ini hanya dapat diperoleh sekiranya produk pelindung suria digunakan dengan cara yang betul dan bersesuaian dengan keperluan khusus pengguna. Oleh sebab itu, pengguna harus mengetahui kaedah yang tepat untuk memilih produk pelindung suria dan cara yang betul untuk menggunakan produk tersebut.

Pemilihan Produk Pelindung Suria

Pengguna disarankan agar mengambil kira beberapa faktor apabila memilih produk pelindung suria bagi memastikan produk tersebut memberikan kesan yang optimum. Antara faktor tersebut termasuklah:

  • Bentuk sediaan dan kandungan produk pelindung suria

Produk pelindung suria yang terdapat dalam pasaran boleh didapati dalam beberapa bentuk sediaan seperti krim, losen dan penyembur. Selain bentuk sediaan, produk ini juga mungkin berbeza dari segi kandungan bahan. Pemilihan bentuk sediaan dan kandungan yang bersesuaian dengan jenis kulit pengguna dapat meningkatkan keberkesanan produk pelindung suria.

Sebagai contohnya, pengguna yang mempunyai kulit kering dicadangkan untuk memilih produk dalam bentuk krim yang mengandungi bahan bersifat pelembap seperti ceramide, gliserin dan asid hialuronik.

Produk dalam bentuk sediaan gel atau losen yang berasaskan air pula lebih bersesuaian untuk kulit jenis berminyak. Kulit jenis ini juga boleh memanfaatkan produk yang mengandungi bahan-bahan seperti teh hijau, minyak tea tree atau niacinamide.

  • Spektrum liputan produk pelindung suria

Secara mudahnya, spektrum liputan bermaksud kebolehan sesuatu produk pelindung suria melindungi kulit pengguna daripada sinaran ultraungu (UV). Dua jenis sinaran UV yang perlu dielakkan ialah ultraungu A (UVA) dan ultraungu B (UVB) kerana kedua-duanya memberikan kesan yang tidak diingini kepada kulit.

Oleh sebab itu, pengguna disarankan untuk menggunakan produk pelindung suria dengan spektrum liputan yang luas kerana produk ini dapat melindungi kulit daripada sinaran UVA dan UVB.

  • Kandungan faktor pelindung suria

Satu daripada perkara yang mempengaruhi keberkesanan produk pelindung suria ialah kandungan faktor pelindung suria (SPF). Secara ringkasnya, SPF merujuk tempoh perlindungan daripada produk pelindung suria sebelum kulit mengalami selaran matahari.

Misalnya, produk yang mempunyai nilai SPF 30 dapat mengelakkan selaran matahari sebanyak 30 kali lebih lama berbanding dengan tempoh selaran matahari tanpa sebarang perlindungan kepada kulit.

Pemilihan SPF bergantung pada jangka masa seseorang itu terdedah kepada sinaran matahari. Pakar dermatologi menyarankan penggunaan produk pelindung suria dengan SPF sekurang-kurangnya 30 untuk perlindungan yang lebih baik. Individu yang perlu berada lebih lama di bawah sinaran matahari harus memilih produk dengan SPF yang lebih tinggi.

  • Kandungan yang memberikan kesan kalis air

Apabila produk pelindung suria yang disapukan pada kulit terdedah kepada air, keberkesanannya akan mula berkurang. Walau bagaimanapun, terdapat produk yang diformulasikan agar produk ini bersifat kalis air bagi suatu tempoh tertentu. Tempoh ini dinyatakan pada label pembungkusan dan kebanyakan produk mempunyai tempoh kalis air dalam julat antara 40 minit hingga 80 minit.

Selepas tempoh ini berakhir, produk pelindung suria perlu disapukan semula untuk mengekalkan perlindungan kulit. Pengguna yang terdedah kepada sinaran matahari dan pada masa yang sama berada di lokasi yang memungkinnya terkena air yang banyak seperti di pantai atau sungai, disarankan menggunakan produk dengan formulasi kalis air ini.

Perkara ini juga haruslah diberi perhatian oleh individu yang mudah berpeluh. Hal ini dikatakan demikian keran peluh yang banyak dapat mengurangkan keberkesanan produk pelindung suria.

Cara Penggunaan Produk Pelindung Suria

Selain faktor pemilihan produk yang perlu diambil kira, keberkesanan produk pelindung suria turut dipengaruhi oleh cara penggunaannya. Antara cara penggunaan produk pelindung suria yang digalakkan termasuklah:

  1. Produk pelindung suria hendaklah disapukan pada kulit antara 15 minit hingga 30 minit sebelum seseorang itu terdedah kepada sinaran matahari. Cara ini dapat memberikan masa untuk produk meresap ke dalam kulit dan menghasilkan perlindungan yang maksimum.
  2. Sapu kuantiti produk pelindung suria yang secukupnya kepada keseluruhan kulit muka dan tubuh, termasuklah bahagian badan yang tersorok.
  3. Penggunaan produk pelindung suria pada setiap hari sangat digalakkan. Produk ini juga hendaklah disapukan pada setiap dua jam hingga tiga jam selepas sapuan pertama untuk memastikan keberkesanan yang berterusan.

Nasihat kepada Pengguna dan Orang Awam

Pengguna hendaklah memastikan produk pelindung suria yang yang digunakan bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Pengguna dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi produk yang hendak digunakan pada fungsi Product Search melalui laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) atau aplikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turun dalam telefon pintar.

Di samping itu, untuk mengekalkan kestabilan kandungan yang terdapat dalam produk pelindung suria, produk ini perlu disimpan dengan cara yang betul, iaitu jauh daripada cahaya matahari dan suhu yang terlalu tinggi.

Produk pelindung suria yang hendak digunakan juga harus dipastikan tidak melepasi tarikh luput yang dicetak pada label. Produk yang telah luput dikhuatiri telah menjadi tidak stabil dan berkemungkinan tidak dapat memberikan perlindungan seperti yang dikehendaki.

Pengguna boleh mendapatkan nasihat dan pandangan daripada ahli profesional kesihatan seperti doktor dan ahli farmasi sekiranya mempunyai persoalan tentang cara memilih, menggunakan atau menyimpan produk pelindung suria. Keberkesanan yang optimum dapat diperoleh dengan pemilihan dan penggunaan produkĀ  yang betul.

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).

 

Penulis: Mohd Shahiri Abd Ghapar, Pegawai Farmasi, Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Disemak oleh: Siti Nurul Fathiah Baharudin, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Penggunaan Ubat Berkualiti, Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.