6 Julai 2023, 12:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tanjung Karang – Sebanyak 36 orang pelajar daripada Program Sains Bioperubatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyertai kerja lapangan entomologi untuk memahami kehidupan dan ekologi serangga di habitatnya secara lebih terperinci.

Fokus utama bagi kerja lapangan di bawah Kursus Kaedah Parasitologi dan Entomologi Perubatan adalah untuk mempelajari teknik pengumpulan dan pengenalpastian larva, pupa dan nyamuk dewasa aedes sebagai vektor pembawa penyakit demam denggi.

Sesi permulaan kerja lapangan berkenaan dimulakan dengan taklimat oleh Penyelaras Kursus Kaedah Parasitologi dan Entomologi Perubatan, YBrs. Profesor Dr. Hidayatulfathi mengenai teknik pengumpulan sampel larva nyamuk dengan menggunakan abate yang merupakan larvisid. 

Proses penangkapan nyamuk di sesuatu kawasan adalah sangat penting dalam kajian entomologi untuk menentukan vektor yang terdapat di kawasan itu dan mengkaji bionomik nyamuk tersebut.

Seterusnya, para pelajar ditugaskan untuk mengenal pasti kawasan pembiakan nyamuk aedes seperti tempayan, pasu bunga, baldi plastik, tayar, bekas yang terbiar, tempurung, botol dan tin kosong dengan bimbingan dua orang Pensyarah Kanan Sains Bioperubatan, iaitu YBrs. Dr. Nantha Kumar Jeyaprakasam dan YBrs. Dr. Shirley Tang Gee Hoon.

Pelajar sedang mengumpulkan larva nyamuk aedes dengan menggunakan dulang putih dan pipet.
Aktiviti pengenalpastian kawasan pembiakan nyamuk aedes sedang dijalankan sambil mengutip sampah sarap yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk.
Pelajar memasukkan abate, iaitu ubat pembunuh larva nyamuk bagi mengelakkan pembiakan nyamuk di tempat tersebut.

Proses penangkapan nyamuk yang dilakukan antara pukul 6.00 petang hingga pukul 11.00 malam menggunakan dua kaedah, iaitu kaedah human landing catch (HLC) dan kaedah perangkap cahaya CDC.

Pelajar memerhatikan nyamuk yang telah terperangkap dalam perangkap cahaya CDC yang menggunakan cahaya mentol dan sumber karbon dioksida daripada ais kering sebagai umpan untuk menangkap nyamuk.
Nyamuk yang telah dipinkan untuk penentuan spesies berdasarkan morfologi nyamuk tersebut.

Semasa kerja lapangan itu dijalankan, YBrs. Dr. Nantha Kumar Jeyaprakasam berkesempatan menerangkan perbezaan antara nyamuk tiruk (Anopheles), aedes dengan Culex pada setiap peringkat kitaran hidupnya.

Ketiga-tiga jenis nyamuk ini adalah penting kerana kesemuanya merupakan vektor untuk pelbagai jenis penyakit di Malaysia. Misalnya, nyamuk tiruk merupakan vektor bagi penyakit malaria dan filariasis, nyamuk aedes sebagai vektor bagi penyakit demam denggi, manakala nyamuk Culex ialah vektor bagi penyakit ensefalitis Japanese di negara ini.

Sesi kerja lapangan berakhir dengan ucapan oleh YBrs. Profesor Dr. Hidayatulfathi yang berharap agar para pelajar dapat memperoleh ilmu dalam bidang entomologi menerusi aktiviti sedemikian yang boleh diguna pakai pada masa hadapan apabila pelajar menceburi bidang yang berkaitan.

Entomologi perubatan ialah suatu cabang ilmu tentang serangga yang berfungsi sebagai vektor pembawa penyakit.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.