Oleh Mazlin Aman
5 Julai 2023, 15:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Setia Alam – Sebanyak tiga orang pelajar pascasiswazah Sarjana Kerja Khusus Sains Bioperubatan (Modul Penyakit Berjangkit), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan lawatan akademik ke Unit Virologi, Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai jenis dan kemahiran diagnostik yang sering diguna pakai oleh IMR dalam pendiagnosisan klinikal, terutamanya semasa berlakunya jangkitan virus.

Unit Virologi di IMR ialah satu daripada unit di Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit (IDRC) yang menjalankan kajian diagnostik dan penyelidikan mengenai COVID-19, denggi, Chikungunya, Zika, MERS-CoV, influenza, hepatitis B dan C, enterovirus termasuklah virus EV71, ekovirus dan Coxsackie.

Unit tersebut juga merupakan Makmal Kebangsaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk poliovirus dan Pusat Influenza Kebangsaan (NIC) WHO serta Makmal Rujukan Kebangsaan bagi virus novel.

“Kewujudan IMR ialah satu daripada institut penting yang berperanan sebagai pusat penyelidikan, pusat diagnostik, pembangunan teknologi terkini serta penyediaan latihan kepada pascakedoktoran di Malaysia,” kata Pegawai Perubatan merangkap penyelidik IMR, YBrs. Dr. Tan Chin Liong.

Dalam lawatan tersebut, beliau dan rakannya, YBrs. Dr. Kamal Haikal turut memberikan taklimat ringkas mengenai latar belakang penubuhan dan fungsi IMR serta penerangan tentang kaedah penyelidikan yang dijalankan di makmal kepada para pelajar.

Taklimat mengenai latar belakang dan fungsi Unit Virologi, IMR disampaikan oleh YBrs. Dr. Tan Chin Liong dan YBrs. Dr. Kamal Haikal.

Selepas sesi penerangan, para pelajar dan pegawai pengiring berkesempatan untuk melawat lima buah makmal yang menjalankan ujian makmal penting seperti Makmal Biologi Molekul, Makmal Hepatitis, Makmal Kultur Tisu, Makmal Jujukan Genom dan Makmal Biokeselamatan Kelas Tiga.

Sesi penerangan mengenai analisis keputusan ujian makmal jujukan asid deoksibonukleik (DNA) sampel yang diperoleh.

Lawatan yang diadakan dilihat sebagai satu daripada platform bagi para pelajar untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang cara suatu ujian makmal itu dijalankan oleh institut biomedikal tertua di negara ini sekali gus mendedahkan mereka terhadap teknologi terkini yang lebih pantas dalam mendapatkan keputusan ujian makmal.

Para pelajar diberikan penerangan ringkas mengenai pengurusan sampel di makmal penyediaan kultur tisu.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.