Oleh Goh Ying Xian
5 Julai 2023, 12:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Demensia atau nyanyuk ialah situasi yang merujuk fungsi kognitif seseorang merosot kerana kecederaan, penyakit otak atau proses menua secara semula jadi. Demensia akan merosotkan keupayaan berfikir dan memori, lalu mempengaruhi kehidupan rutin seseorang.

Sebagai contohnya, keupayaan untuk mengingat, berfikir secara logik dan berbicara akan menurun dalam kalangan orang yang menghidap demensia. Tambahan pula, demensia akan mempengaruhi kemampuan untuk membuat keputusan dan mengendalikan emosi.

Walaupun orang yang menghidap demensia sentiasa sedar dan terjaga, demensia akan mempengaruhi keupayaan mereka untuk melakukan aktiviti harian dan sosial. Kesannya, kebergantungan mereka terhadap orang lain akan meningkat.

Misalnya, penghidap demensia akan mengalami perubahan tingkah laku dan psikologi, maka secara beransur-ansur, mereka tidak akan dapat menjaga kehidupan seharian. Akibatnya, ahli keluarga ataupun perkhidmatan rumah orang tua kadangkala diperlukan untuk menjaga kehidupan pesakit demensia.

Dari segi epidemiologi, kira-kira 50 juta orang di seluruh dunia terganggu akibat masalah demensia. Sebanyak 60 peratus individu demensia berada di negara yang berpendapatan rendah atau sederhana seperti di Malaysia. Dianggarkan juga sebanyak 10 juta kes demensia baharu akan berlaku pada setiap tahun.

Menurut Alzheimer’s Disease International, Malaysia mempunyai kira-kira 123 ribu pesakit demensia pada tahun 2015. Jumlah ini dianggarkan akan meningkat dan mencapai sekitar 261 ribu orang pada tahun 2030, seterusnya mencecah hingga 590 ribu orang pada tahun 2050.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2018 yang bertemakan kesihatan warga emas melaporkan bahawa prevalens demensia di Malaysia ialah sebanyak 8.5 peratus. Alzheimer ialah jenis demensia yang paling umum dan menyumbang sebanyak 60 peratus hingga 70 peratus jumlah kes demensia.

Protein tau dan beta amiloid ialah dua jenis protein yang sering dikaitkan dengan penyakit Alzheimer dan beberapa jenis demensia lain. Protein tau ialah sejenis protein yang terdapat di dalam sel saraf.

Di dalam sel saraf penghidap Alzheimer, protein tau ini akan berubah lalu menjadi tidak normal. Protein tau yang tidak normal ini akan membentuk gumpalan yang dipanggil kekusutan neurofibril (NFT).

Sel saraf, protein tau dan protein amiloid.

Beta amiloid ialah satu lagi jenis protein yang ditemukan di luar sel saraf. Protein beta amiloid juga dianggap sebagai satu daripada penyebab utama penyakit Alzheimer.

Sama seperti protein tau, protein beta amiloid dalam kalangan pesakit demensia juga akan berubah bentuknya dan menjadi tidak normal. Protein beta amiloid yang tidak normal ini akan berkumpul dan membentuk gumpalan sebatian yang dipanggil sebagai plak amiloid (amyloid plaque).

Kedua-dua NFT dan plak amiloid ini mampu mengganggu proses penghantaran mesej dan komunikasi antara sel saraf, lalu merosotkan fungsi otak. Kemerosotan fungsi otak yang berpanjangan kemudiannya akan menjadi demensia dan Alzheimer secara beransur-ansur.

Perbezaan antara otak yang sihat dengan otak penghidap Alzheimer. Protein tau dan plak amiloid beta terlibat dalam perkembangan Alzheimer.

Demensia dan penyakit Alzheimer juga akan mempengaruhi saiz otak. Walaupun penguncupan saiz otak ialah fenomena biasa dalam penuaan yang sihat, otak penghidap Alzheimer adalah jauh lebih kecil daripada yang sihat.

Dalam konteks ini, saiz otak penghidap Alzheimer akan mengecut sebanyak satu per tiga daripada saiz otak biasa dengan perkembangan penyakit tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana proses atrofi otak adalah lebih cepat dalam penghidap Alzheimer jika dibandingkan dengan individu yang sihat.

Atrofi otak ialah proses pengurangan jisim otak yang disebabkan oleh kemerosotan dan kehilangan neuron serta hubungan antara neuron dalam jumlah yang besar. Oleh sebab kebanyakan neuron tidak berfungsi dan hilang sambungan dengan neuron yang lain, maka demensia dan Alzheimer akan berlaku.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat banyak faktor yang mampu mempengaruhi perkembangan demensia dan Alzheimer. Tambahan pula, penyebab bagi demensia dan Alzheimer belum sepenuhnya difahami.

Oleh itu, kajian lanjut diperlukan untuk memahami patologi keadaan kognitif neuro ini supaya pengesanan awal dapat dilakukan. Pengesanan awal bagi masalah demensia dan Alzheimer turut penting untuk mengenal pasti langkah pencegahan dan perkembangannya.

Faktor risiko demensia.

Kekurangan pendedahan, ilmu dan pemahaman terhadap demensia akan menyumbang kepada penstigmaan dan penundaan diagnosis dan perawatan demensia. Kesan fizikal, psikologi, sosial dan ekonomi pesakit demensia terhadap penjaga, keluarga dan masyarakat juga isu yang sangat besar dan sering diabaikan.

Oleh sebab populasi Malaysia yang semakin menua, semua pihak yang berkepentingan harus memberikan tumpuan kepada isu ini. Orang ramai juga disarankan untuk mempersiapkan diri bagi mengharungi masalah kesihatan orang tua seperti demensia dan Alzheimer.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.