3 Julai 2023, 16:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak 30 orang mahasiswa daripada Universitas Diponegoro (UNDIP), Indonesia yang terdiri daripada pelajar prasiswazah dan siswazah Fakulti Kesihatan Awam, UNDIP serta empat orang pensyarah pengiring telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Insektarium dan Makmal Entomologi, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mendapatkan pendedahan terhadap entomologi, khususnya vektor serta cara pengawalan denggi dan malaria.

Dalam sesi lawatan tersebut, Pensyarah Entomologi Perubatan, UKM, YBrs. Profesor Dr. Hidayatulfathi Othman telah berkongsikan ilmu pengetahuan dan cabaran yang dihadapi oleh beliau semasa mengadakan program pendidikan dan promosi pencegahan denggi dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

“Penyakit demam denggi ialah suatu penyakit bawaan vektor terpenting di negara ini dan menjadi masalah kesihatan awam yang utama pada peringkat negara dan global,” kata YBrs. Profesor Dr. Hidayatulfathi Othman dalam sesi lawatan itu.

Selain itu, beliau turut berkongsikan pengalamannya dalam menjalankan pelbagai kerjasama dengan pihak kerajaan, universiti dan industri tempatan untuk memantapkan usaha pengawalan dan pencegahan penyakit demam denggi dalam kalangan komuniti serta mengurangkan beban penyakit dan kematian akibat demam denggi di Malaysia.

Sesi perkongsian oleh Pensyarah Entomologi Perubatan, UKM, YBrs. Profesor Dr. Hidayatulfathi Othman kepada mahasiswa dan pensyarah daripada Universitas Diponegoro (UNDIP), Indonesia.

Sesi lawatan berkenaan diteruskan dengan perkongsian oleh Pensyarah Kanan, Program Sains Bioperubatan, Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan (CORE), YBrs. Dr. Nantha Kumar Jeyaprakasam berkaitan dengan kajiannya dalam bidang entomologi, terutamanya vektor malaria, Anopheles spp. yang terlibat dalam penyebaran penyakit malaria knowlesi.

Pada masa yang sama, kajian mengenai bionomik vektor utama di Malaysia yang dapat membantu dalam merangka strategi untuk pengawalan vektor pembawa penyakit malaria yang kini semakin mendapat perhatian orang ramai disebabkan oleh peningkatan kes malaria zoonotik turut dikongsikannya.

Pensyarah Kanan, Program Sains Bioperubatan, Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan (CORE), YBrs. Dr. Nantha Kumar Jeyaprakasam berkongsikan hasil kajian penyelidikannya dalam bidang malaria zoonotik kepada mahasiswa dan pensyarah daripada Universitas Diponegoro (UNDIP), Indonesia.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Program Sains Bioperubatan, CORE, YBrs. Dr. Shirley Tang Gee Hoon juga membentangkan hasil kajian beliau tentang penggunaan produk semula jadi sebagai larvisid dan adultisid bagi vektor denggi, Aedes spp. kepada mahasiswa UNDIP, Indonesia.

“Sesetengah insektisid yang digunakan untuk mengawal pembiakan nyamuk mungkin berbahaya kepada alam sekitar dan manusia serta penggunaannya yang berterusan akan menyebabkan nyamuk menjadi kebal terhadap insektisid,” ujar YBrs. Dr. Shirley Tang Gee Hoon.

Beliau juga berkongsikan kajiannya yang menilai keberkesanan sebatian kimia dalam minyak pati tumbuhan yang boleh digunakan dalam pengawalan pembiakan nyamuk aedes.

Perkongsian hasil penyelidikan dalam bidang produk semula jadi sebagai agen membunuh nyamuk aedes oleh Pensyarah Kanan, Program Sains Bioperubatan, CORE, YBrs. Dr. Shirley Tang Gee Hoon.

Mahasiswa UNDIP, Indonesia telah didedahkan dengan peralatan dan fasiliti entomologi serta kaedah pengkolonian nyamuk aedes dan Anopheles yang boleh digunakan untuk kajian entomologi semasa sesi lawatan ke Insektarium dan Makmal Entomologi FSK, UKM.

Sangkar nyamuk yang digunakan untuk pengkolonian nyamuk aedes di Insektarium, FSK, UKM.

Program lawatan sambil belajar tersebut juga dialu-alukan oleh Timbalan Dekan Siswazah FSK, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Mohd ‘Izzuddin Hairol.

Sesi penyampaian cenderamata kepada Timbalan Dekan Siswazah FSK, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Mohd ‘Izzuddin Hairol oleh pihak UNDIP, Indonesia.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.