26 Jun 2023, 12:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Batu karang di dalam pundi kencing ialah salah satu punca kepada sekatan pada saluran kencing kucing, terutamanya kucing jantan. Apabila berlakunya sekatan di saluran kencing, kucing akan mengalami kesakitan akibat tekanan daripada pengumpulan air kencing di dalam pundi kencing.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh penyelidik di Universiti Chiangmai, sebanyak 2.2 peratus daripada kucing yang datang ke hospital universiti menghidapi masalah batu karang di dalam pundi kencing.

Batu karang di dalam pundi kencing tergolong dalam kategori feline lower urinary tract disease (FLUTD) dan bersifat obstruktif. Terdapat banyak lagi penyakit di bawah kategori FLUTD seperti feline idiopathic cystitis (pundi bengkak), jangkitan bakteria, kanser atau ketumbuhan dan lain-lain lagi. Namun begitu, hanya batu karang di dalam pundi kencing yang mendominasi peratusan kes dengan mencapai sebanyak 58 peratus daripada keseluruhan kes di bawah FLUTD.

Penyakit batu karang di dalam pundi kencing dianggap sebagai penyakit yang berpotensi membawa maut dalam perubatan veterinar. Penyakit ini boleh dirawat secara berkesan jika kucing segera dibawa berjumpa dengan doktor veterinar dan boleh dikawal melalui preskripsi diet dan ubat-ubatan.

Bagaimanakah batu karang terhasil?

Kandungan mineral berlebihan di dalam air kencing berupaya untuk berkumpul menjadi kristal mineral yang halus. Apabila terdapat banyak kristal halus di dalam pundi, karang akan mula terbentuk akibat pemendakan kristal halus ini. Karang boleh terbentuk di mana-mana bahagian sistem urin, termasuklah di buah pinggang (karang buah pinggang), pundi kencing dan saluran kencing lalu menyebabkan sekatan.

Batu karang mempunyai pelbagai jenis hasil daripada gabungan lebih daripada satu bahan mineral kompleks. Antara batu karang yang biasa dikenal pasti dan menyebabkan sekatan air kencing termasuklah karang struvit, kalsium oksalat dan karang urat.

Batu karang ini boleh terbentuk dalam beberapa keadaan, sama ada terjadi akibat ketidakseimbangan mineral atau masalah kekurangan bahan kimia yang bertindak sebagai agen antikarang. Keadaan lain seperti diet tidak seimbang, masalah penghadaman, jangkitan kuman di pundi kencing, genetik, keradangan pundi sedia ada dan isi padu air kencing yang sedikit turut menyumbang kepada pembentukan karang pundi kencing.

Pada kebiasaannya, kencing kucing bersifat asidik dan hal ini boleh menyebabkan peningkatan risiko penghasilan batu karang apabila terdapat mineral berlebihan atau kekurangan bahan untuk menghalang pembentukannya. Dari sudut anatomi, bahagian tengah batu karang adalah keras dan dikelilingi dengan lapisan mineral yang menyaluti di bahagian luar.

Apabila batu karang terjadi, batu ini akan membesar hari demi hari akibat pergandaan lapisan luar oleh mineral yang berlebihan. Batu karang yang besar boleh terbentuk selepas berminggu hingga berbulan lamanya dan mampu menyekat air kencing. Tanda kritikal mula ditunjukkan oleh kucing apabila batu karang menjadi terlalu besar dan menutupi saluran air kencing

Gejala

Batu karang yang bersaiz kecil kebiasaannya tidak menunjukkan gejala kecuali apabila batu karang tersebut membentuk plag di uretra dan menyebabkan sekatan di bahagian saluran air kencing. Apabila batu karang bersaiz besar berada di dalam pundi kencing, batu ini akan menekan saraf dan mencederakan lapisan di dalam pundi atau saluran kencing.

Pada mulanya, kucing akan mula menunjukkan kesukaran kencing dan air kencing menjadi warna merah (kencing berdarah). Kucing akan kelihatan resah, kerap berulang-alik ke bekas kencing dan mengambil masa yang lama ketika kencing. Kucing juga akan mengeluarkan bunyi bising ketika hendak membuang air kerana sakit.

Apabila saluran kencing telah sepenuhnya tersekat, kucing akan muntah, kehilangan selera makan dan minum, lemah dan sakit di bahagian abdomen serta kucing tidak berupaya untuk berjalan jika tekanan terlalu tinggi berlaku di pundi kencing.

Apabila terdapat tanda awal yang ditunjukkan oleh kucing peliharaan, segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut bagi mengelakkan masalah lebih besar seperti pundi kencing pecah dan tekanan yang tinggi kepada buah pinggang yang berpotensi menyebabkan kerosakan buah pinggang.

 

Diagnosis

Melalui pemeriksaan keseluruhan dan keterangan daripada penjaga kucing, doktor veterinar akan mengenal pasti umur, jantina kucing, sejarah penyakit lain, diet dan pola pemakanan kucing. Doktor akan memeriksa pundi kencing dan akan cuba mengeluarkan air kencing secara manual dengan memberikan tekanan kepada pundi kencing.

Jika air kencing tidak keluar dan pundi kelihatan besar, kucing berkemungkinan mempunyai batu karang. Sampel darah akan diambil untuk mengenal pasti fungsi lain, terutamanya fungsi buah pinggang dan kandungan urea di dalam darah.

Selepas itu, imbasan ultrasonik akan dilakukan bagi melihat keadaan dinding pundi kencing dan mengenal pasti kehadiran batu karang. Pemeriksaan sampel air kencing akan diambil untuk mengukur kadar pH air kencing, kandungan gula, graviti spesifik air kencing dan mengenal pasti jenis batu karang yang terdapat di dalam air kencing.

Imbasan radiografi kontras juga akan dilakukan untuk melihat kedudukan dan saiz batu karang. Jika terdapat kebengkakan pundi kencing dan air kencing tidak dapat dikeluarkan secara manual, doktor akan terus melakukan prosedur asas dengan memasukkan tiub ke dalam punding kencing untuk menghilangkan sekatan.

Pada kebiasaannya, batu karang di dalam pundi kencing sering kali dilihat berlaku kepada kucing jantan kerana saluran pundi kencing bagi kucing jantan adalah lebih panjang dan sempit berbanding dengan kucing betina yang sedikit pendek, besar dan tidak mudah tersekat. Batu karang ini biasanya tersekat pada bahagian sambungan pundi kencing ke saluran kencing atau bahagian tengah dan hujung pundi kencing.

Rawatan

Kaedah rawatan batu karang adalah mengikut jenis batu karang. Batu karang kalsium oksalat dan struvit ialah jenis batu karang yang sering dikenal pasti berlaku kepada kucing. Rawatan awal bagi masalah ini adalah sama, iaitu dengan memasukkan tiub ke dalam saluran kencing untuk sementara bagi membantu pengaliran keluar air kencing yang tersekat di dalam pundi kencing dan membolehkan warna air kencing diperhatikan. Kucing juga akan dimasukkan ke dalam wad bagi memantau keadaan.

Bagi kucing yang mempunyai batu karang jenis kalsium oksalat, rawatan sama akan dilakukan dan kucing akan diberikan diet yang mempunyai magnesium untuk mengurangkan pH air kencing (berasid). Magnesium ialah perencat kepada penghasilan batu karang kalsium oksalat.

Selain itu, tiada rawatan ubat yang sesuai untuk kalsium oksalat. Jika batu karang kalsium oksalat terlalu besar, pembedahan pundi kencing akan dilakukan untuk membuang ketulan batu karang bagi mengelakkan berulangnya kes pundi kencing tersumbat.

Untuk batu karang struvit pula, terdapat tiga jenis batu karang struvite. Antaranya termasuklah struvit yang berlaku akibat pemakanan yang digelar sterile struvite dan struvit akibat jangkitan kuman. Tidak seperti karang kalsium oksalat yang memerlukan pembedahan, karang struvit boleh larut apabila mengambil makanan yang telah dipreskripsi yang akan menurunkan pH air kencing dan melarutkan batu karang struvit.

Terdapat banyak makanan khas yang terdapat di klinik veterinar. Kucing yang mempunyai masalah batu karang perlu mengambil makanan preskripsi ini sekurang-kurangnya selama enam bulan bagi mengelakkan penghasilan semula batu karang. Selain itu, rawatan secara simptomatik juga akan diberikan seperti antibiotik, pengendur otot, supplemen untuk darah dan ubat tahan sakit.

Apabila kucing tidak dirawat, pundi kencing akan mengembang pada tahap maksima dan boleh pecah akibat tekanan berlebihan. Apabila pundi pecah, air kencing terkumpul akan memasuki kaviti abdomen.

Pada masa ini, kucing tidak lagi menunjukkan tanda sakit kerana pundi kencing tidak lagi memberikan tekanan kepada saraf. Namun demikian, dalam masa beberapa jam, jangkitan kuman akan berlaku ke seluruh badan yang akhirnya akan menyebabkan berlakunya kegagalan jantung dan kematian.

Jika pundi tidak pecah, tekanan pada pundi akan menyebabkan tekanan kepada buah pinggang dan mampu merosakkan buah pinggang. Apabila air kencing tidak dapat disalurkan keluar, toksik di dalam darah tidak dapat ditapis oleh buah pinggang ke dalam air kencing. Hal Ini akan menyebabkan pengumpulan toksik urea berlebihan di dalam darah dan akan menyebabkan kucing muntah, kemurungan, koma dan lemah.

Kematian juga akan berlaku dalam masa tiga hari jika tidak dirawat. Oleh sebab itu, kes melibatkan sekatan saluran kencing akibat daripada batu karang merupakan satu daripada kes kecemasan dan perlu diberikan perhatian serius.

Langkah Pencegahan

Antara langkah pencegahan bagi masalah ini termasuklah mengikut saranan diet yang dipreskripsikan oleh doktor bagi kucing yang pernah mengalami batu karang. Jika diet berubah, batu karang akan terbentuk semula dan sekatan pundi kencing akan terus berlaku.

Diet yang rendah garam serta berkualiti tinggi memainkan peranan yang amat penting. Bahan mineral yang berlebihan di dalam makanan kucing boleh mengalakkan pembentukan batu karang.

Selain itu, stres, kurang minum air dan pasir kencing kucing yang kotor juga boleh menyebabkan masalah batu karang. Apabila kucing stres, lapisan di dalam pundi kencing akan terkesan dan boleh menyebabkan radang pundi kencing.

Keradangan ini akan menyebabkan kucing kurang kencing. Air kencing yang bertakung di dalam pundi terlalu lama (akibat tahan kencing) dan air kencing yang pekat (akibat kurang minum air) boleh menghasilkan karang jika berterusan. Penjaga kucing disarankan untuk menukarkan air bersih pada setiap hari bagi menggalakkan pengambilan air dan meningkatkan isi padu air kencing supaya lebih cair.

Kucing sememangya dikenali sebagai haiwan yang pembersih. Apabila pasir kucing tidak dibersihkan, kucing akan menahan diri daripada kencing dan hal ini akan menyebabkan masalah air kencing bertakung dan seterusnya penyumbang kepada pembentukan batu karang.

Bagi isi rumah yang mempunyai banyak kucing, penjaga disarankan untuk mempunyai banyak bekas pasir pada nisbah satu bekas pasir untuk dua ekor hingga tiga ekor kucing sahaja.

Selain itu, kucing yang berpotensi besar untuk menghidap batu karang di dalam pundi kencing ialah kucing jantan yang telah dimandulkan. Apabila dimandulkan, kucing akan menjadi kurang aktif akibat kekurangan hormon seksual. Bagi kucing yang telah dimandulkan, penjaga perlu memastikan kucing jagaan mereka aktif dengan banyak bermain dan melakukan aktiviti bersama-sama. Dengan cara ini, si comel dapat mengurangkan stres dan mengurangkan risiko berlakunya batu karang di dalam pundi kencing.

Secara kesimpulannya, pada peringkat awal berlakunya batu karang, kucing mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala kerana batu karang masih lagi tidak menyekat pengeluaran air kencing. Penjaga perlu cakna dalam memerhati sebarang bentuk perubahan tingkah laku dan pola penggunaan tandas di samping perubahan warna air kencing.

Jika kucing terlalu kerap pergi ke bekas pasir atau mengambil masa yang lama untuk kencing atau mengeluarkan bunyi yang bising ketika kencing, segeralah bawa ke klinik veterinar untuk melakukan pemeriksaan. Kepekaan penjaga terhadap perubahan warna kencing serta tingkah laku kucing di tandas mampu mencegah batu karang di dalam pundi kencing daripada menjadi lebih teruk.

Penjagaan dari segi diet and gaya hidup juga memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah ini. Rawatan dari segi ubat-ubatan dan diet yang dipreskripsi amat berkesan pada peringkat awal, namun bagi jenis batu karang yang tidak dapat dilarutkan atau dihancurkan dengan diet dan bersaiz besar, pembedahan pundi kencing perlu dilakukan supaya tiada sekatan semula akan berlaku.

Pendek kata, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Oleh itu, pencegahan awal mampu menjamin kesihatan pundi kencing kucing dan mengurangkan kos perubatan bagi merawat masalah ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.