23 Jun 2023, 22:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sesi perkongsian dapatan penyelidikan Consortium on Mobility and Transportation in an Ageing Society (CoMTAS) bersama-sama pemegang taruh bagi mengenal pasti keperluan pengangkutan dan mobiliti untuk warga emas telah diadakan di The Everly Hotel, Putrajaya, semalam.

CoMTAS ialah projek kerjasama di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang terdiri daripada tiga institusi penyelidikan, iaitu Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeingTM) Universiti Putra Malaysia (UPM), Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-Care) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan USM Initiatives on Ageing (USIA).

CoMTAS berperanan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam penyelidikan tentang penyelesaian untuk mengemudi pengangkutan dan mobiliti yang inklusif, boleh diakses dan selamat digunakan serta membangunkan sains bagi memahami keperluan pengangkutan dan mobiliti dalam kalangan warga emas.

Projek tersebut diketuai oleh YBrs. Profesor Dato’ Dr. Tengku Aizan Tengku Abdul Hamid daripada MyAgeingTM, YBrs. Profesor Dr. Devinder Kaur Ajit Singh daripada H-Care dan pihak USIA yang diwakili oleh YBrs. Dr. Abdul Rais Abdul Latiff.

Program dimulakan dengan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MyAgeingTM UPM dengan Ketua Pegawai Eksekutif Urbanice Malaysia, TPr. Ts. Norliza Hashim serta pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara UPM, UKM dengan USM.

Sesi perkongsian dapatan penyelidikan Consortium on Mobility and Transportation in an Ageing Society (CoMTAS) bersama-sama pemegang taruh.

Wakil CoMTAS daripada USIA, iaitu Profesor Dr. Saidatulakmal Mohd. menyatakan bahawa dapatan kajian menunjukkan warga emas di Lembah Klang masih bergantung pada kenderaan persendirian, namun mereka menghadapi beberapa kekangan apabila memandu sendiri ke perkhidmatan, terutamanya ke perkhidmatan kesihatan, iaitu masalah ketersediaan, kebolehcapaian dan kemampuan tempat letak kereta.

Menurut beliau lagi, pengangkutan awam tidak menjadi pilihan utama bagi warga emas disebabkan oleh kebolehcapaian, ketersediaan, ketersambungan, kebolehterimaan dan tidak mesra umur.

Tambah beliau, walaupun perkhidmatan e-panggilan (e-hailing) dapat memenuhi keperluan pintu ke pintu, namun perkhidmatan tersebut dianggap mahal bagi warga emas.

Dari perspektif pemegang taruh dan pembekal perkhidmatan pengangkutan pula, isu utama untuk memenuhi keperluan pengangkutan bagi warga emas ialah ketiadaan dasar spesifik untuk pengangkutan warga emas, infrastruktur reka bentuk yang tidak mencukupi, penyedia perkhidmatan tidak mempunyai maklumat komprehensif mengenai keperluan pengangkutan warga emas dan keperluan libat sama pelbagai pihak.

Sekitar sesi perbincangan cadangan pengukuhan tata kelola perkhidmatan pengangkutan dan mobiliti.

Seterusnya, barisan perwakilan daripada setiap agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan usahawan sosial masing-masing menyuarakan kebolehlaksanaan cadangan pengukuhan tata kelola dalam sesi perbincangan cadangan pengukuhan tata kelola perkhidmatan pengangkutan dan mobiliti bagi masyarakat menua di negara ini.

Berdasarkan sesi perkongsian tersebut, didapati bahawa terdapat beberapa kekangan yang dihadapi dalam pelaksanaan penyediaan perkhidmatan pengangkutan warga emas, terutamanya dari segi tata kelola dan keperluan pengkhususan warga emas dalam dasar pengangkutan.

Antara pemegang taruh yang turut hadir dalam program berkenaan termasuklah wakil daripada Urbanice Malaysia, Agensi Pengangkutan Awam Darat, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pertubuhan Keselamatan Sosial, Majlis Pusat Kebajikan Semenanjung Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, MakCik Travels, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Bahagian Warga Emas, Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.