23 Jun 2023, 17:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pegawai perubatan yang bakal menamatkan latihan siswazah atau khidmat wajib akan ditempatkan di fasiliti kesihatan tertentu secara berperingkat mulai Julai 2023 ekoran jangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan berlakunya kekurangan doktor buat sementara waktu berikutan isu pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi Iantikan kontrak ditawarkan pelantikan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Selaras dengan kekosongan jawatan pada tahun 2023, sebanyak 4263 orang pegawai perubatan, 335 orang pegawai pergigian dan 316 orang pegawai farmasi telah ditawarkan pelantikan tetap.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 4907 orang pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak telah melengkapkan urusan setuju terima melalui Sistem Tawaran Pelantikan Tetap (mySTP) SPA, manakala tujuh orang pegawai perubatan telah menolak pelantikan tetap berkenaan,” kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dr. Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, kesemua pegawai yang ditawarkan pelantikan tetap perlu membuat pemilihan penempatan bertugas menerusi aplikasi eHousemen, eDentist dan ePharmacist bagi memastikan pelaksanaan pelantikan yang telus dan saksama.

Pegawai pergigian dan pegawai farmasi dibenarkan untuk membuat pemilihan penempatan bertugas menerusi aplikasi eDentist dan ePharmacist mulai 6 Jun 2023 hingga 8 Jun 2023, manakala pegawai perubatan pula boleh membuat pemilihan penempatan secara berperingkat melalui aplikasi eHousemen dan mengikut lima fasa pelaksanaan mulai 9 Jun 2023.

Proses pemilihan penempatan bertugas tersebut telah memasuki Fasa Lima yang berakhir pada 24 Jun 2023.

Menurut beliau lagi, kesemua jawatan tetap di Semenanjung Malaysia telah dipilih sepenuhnya untuk perjawatan yang disediakan bagi Fasa Satu hingga Fasa Empat, manakala masih terdapat kekosongan jawatan di Sabah dan Sarawak yang tidak dipilih oleh pegawai menyebabkan kekosongan jawatan tersebut akan ditawarkan kepada calon simpanan.

Sementara itu, KKM telah menerima lebih daripada 1000 rayuan daripada pegawai untuk dikekalkan di penempatan semasa dengan alasan pegawai menghadapi masalah kesihatan diri dan keluarga, tidak bersetuju untuk berkhidmat di Sabah, Sarawak dan Labuan, penempatan menyebabkan pegawai terpaksa tinggal berjauhan dengan pasangan dan pegawai akan/atau memulakan pengajian kepakaran.

Oleh itu, bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan dapat diberikan secara cekap dan berkesan demi kesejahteraan rakyat, KKM sentiasa prihatin terhadap kelangsungan dan kesinambungan perkhidmatan di semua fasiliti kesihatan sejajar dengan konsep Malaysia MADANI.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.