23 Jun 2023, 14:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Buloh – Dalam usaha melibatkan golongan muda dan memperkenalkan bidang kesihatan persekitaran kepada murid sekolah sebagai generasi pelapis, program Gerakan Environmen Murid Sekolah (GEMS) telah dianjurkan oleh Pusat Pengajian Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Puncak Alam dengan usaha sama pihak industri dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Utama, Sungai Buloh.

Program GEMS yang akan menjadi program tahunan ini bertujuan memberikan pengetahuan asas kepada murid tentang penjagaan dan pemeliharaan alam sekitar untuk kesejahteraan pada masa hadapan.

“Pelaksanaan program tersebut diharapkan dapat memberikan pemahaman kepada murid tentang kebaikan pengkomposan dan seterusnya cakna akan isu kesihatan persekitaran serta menjadi agen perubahan dalam masyarakat tentang isu berkaitan dengan kelestarian alam sekitar,” kata Pengarah Program GEMS, Encik Mohd Izwan Masngut.

Program yang bertemakan “From Waste to Value” ini memberikan pendedahan kepada murid tentang teknik alternatif pengurusan sisa makanan yang boleh digunakan bagi mengurangkan kebergantungan pada pusat pelupusan.

Pameran SWCorp.

Sebagai pembuka tirai perkongsian program tersebut, sesi penerangan tentang pengkomposan sisa makanan menggunakan larva lalat askar hitam (BSF) telah disampaikan oleh Entomal Biotech Sdn. Bhd.

Penggunaan larva BSF sebagai alternatif dalam pengurusan sisa makanan semakin mendapat perhatian di seluruh dunia kerana bukan sahaja dapat mengurangkan pembaziran sumber sisa makanan dan pencemaran alam sekitar, malah dapat memajukan ekonomi setempat melalui penghasilan makanan alternatif untuk ternakan.

Selain itu, larva BSF mengandungi kandungan protein yang tinggi (40 peratus) dan lemak (32 peratus) yang menjadikannya sesuai sebagai makanan ternakan, terutamanya untuk ayam dan ikan dan hasil pengkomposannya juga boleh digunakan dalam aktiviti pertanian.

Ketika program berlangsung, murid dan guru yang terlibat diberikan peluang untuk menyentuh dan mengendalikan larva dan lalat dewasa.

Peserta program GEMS berpeluang melakukan demonstrasi larva BSF.

Seterusnya, program dilanjutkan lagi dengan penjelasan tentang pengkomposan sisa makanan menggunakan teknik Bokashi oleh TT Organic Sdn. Bhd., yakni kaedah pengkomposan yang melibatkan proses penguraian sisa makanan tanpa kehadiran oksigen.

Bahan yang digunakan dalam teknik Bokashi merupakan hasil daripada sisa dapur seperti lebihan makanan, sayur-sayuran yang hampir basi, kulit buah, sisa kopi dan teh, serpihan kertas dan bahan organik lain.

Dalam program tersebut juga, murid diberikan pendedahan secara praktikal tentang langkah pengkomposan menggunakan teknik Bokashi dengan bantuan mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran, UiTM.

Peserta menyediakan campuran Bokashi untuk tujuan pengkomposan.

Murid terlibat secara aktif dalam aktiviti penyediaan campuran Bokashi yang kemudiannya ditempatkan di dalam bekas yang tertutup rapat untuk mencegah pengoksidaan dan memastikan persekitaran tanpa oksigen serta dibiarkan selama dua minggu sebelum boleh digunakan.

Peserta melakukan pelbagai aktiviti sepanjang program GEMS berlangsung.

Pengkomposan menggunakan teknik Bokashi dapat menghasilkan baja berkualiti tinggi yang mengandungi nutrien penting bagi tanaman dan dapat menyuburkan tanah dengan meningkatkan kandungan bahan organik dan mikroorganisma yang bermanfaat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.