21 Jun 2023, 12:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menganjurkan Latihan Pengukuhan Program Pemakanan Warga Emas kepada Pegawai Sains Pemakanan, KKM yang melibatkan sebanyak 33 orang pegawai di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras, Kuala Lumpur.

Latihan pengukuhan tersebut diadakan berikutan peningkatan populasi warga emas yang mencecah 15 peratus atau lebih daripada jumlah penduduk di Malaysia sekali gus menunjukkan bahawa negara ini bakal menjadi negara menua menjelang tahun 2030.

Berdasarkan kajian terkini yang dijalankan, satu daripada 10 warga emas di Malaysia mengalami masalah sekuriti makanan dan berlakunya peningkatan peratusan warga emas yang mengalami kekurangan berat badan serta berisiko mengalami malpemakanan.

“Garis panduan pemakanan untuk warga emas berada pada fasa akhir sebelum diterbitkan yang merangkumi saranan pengambilan makanan, pengekalan berat badan yang sihat, saranan untuk kekal aktif, pengambilan air yang mencukupi, kaedah penyediaan makanan yang sihat dan amalan keselamatan makanan semasa membeli, menyediakan dan menyimpan makanan,” kata Timbalan Pengarah, Bahagian Pemakanan KKM, Puan Zaiton Daud ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Timbalan Pengarah, Bahagian Pemakanan KKM, Puan Zaiton Daud ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Beliau juga menyatakan bahawa garis panduan tersebut boleh menjadi rujukan kepada individu yang terlibat dalam bidang kesihatan.

Dalam program tersebut, Dr. Nurhayati Mardhiah Haji Manut berkongsikan maklumat tentang demografi dan taburan masalah pemakanan dalam kalangan warga emas di Malaysia serta membentangkan pelbagai dasar dan pelan yang telah dibentuk oleh KKM.

Menurut beliau, pelan tindakan kesihatan warga emas dari tahun 2023 hingga tahun 2030 yang terdiri daripada lima teras telah digubal oleh pihak kerajaan.

Seterusnya, pengisian tentang pemakanan untuk warga emas telah dikendalikan oleh Dr. Hanis Mastura Yahya dengan menjelaskan kepentingan pemakanan sihat dan saranan nutrien khusus untuk warga emas.

Beliau turut membincangkan masalah pemakanan warga emas serta cara untuk mengatasinya dengan mencadangkan agar Piramid Makanan Malaysia 2020 dan konsep Pinggan Sihat Malaysia digunakan sebagai rujukan dalam pengambilan makanan bagi warga emas.

Antara topik perbincangan lain yang dibincangkan dalam program tersebut termasuklah perubahan fisiologi, psikologi dan sosial dalam kalangan warga emas yang disampaikan oleh Dr. Nurul Fatin Malek Rivan.

Peserta mengumpulkan maklumat warga emas.

Selain itu, sesi penerangan tentang teknik penentuan status pemakanan untuk warga emas diikuti dengan sesi demonstrasi dan latihan dalam kumpulan juga dilaksanakan bagi mengukuhkan ilmu Pegawai Sains Pemakanan dalam melakukan penilaian status pemakanan pada peringkat komuniti, khususnya dalam kalangan warga emas.

Pada masa yang sama, demonstrasi dan penerangan tentang khasiat dan nutrien dalam menu masakan sihat, terutamanya untuk warga emas telah dilakukan oleh pelajar daripada Universiti Kebangsaan Malaysia yang menekankan kepelbagaian rasa, aroma dan tekstur untuk menggalakkan pengambilan makanan sihat dalam kalangan warga emas.

Demonstrasi masakan menu hidangan sihat untuk warga emas.

Latihan ini diteruskan lagi dengan sesi khidmat masyarakat, misalnya edaran makanan, hebahan mesej pemakanan sihat dan pengukuran antropometri warga emas yang dilakukan dengan kerjasama Kechara Soup Kitchen.

Sesi latihan pengukuran antropometri bersama-sama warga emas.

Secara keseluruhannya, latihan seumpama ini dapat membantu mengukuhkan ilmu dan kemahiran Pegawai Sains Pemakanan untuk menjalankan program yang melibatkan warga emas dan dapat digunakan dalam pembentukan garis panduan serta intervensi khusus untuk warga emas bagi memastikan kesejahteraan hidup mereka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.