20 Jun 2023, 17:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada Disember tahun lalu, Korea Selatan melaporkan kes pertama jangkitan Naegleria fowleri. Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) mengesahkan kematian warga tempatan yang berusia lingkungan 50-an selepas mangsa kembali daripada Thailand pada 10 Disember 2022, setelah menetap selama empat bulan di negara tersebut.

Lelaki itu dipercayai meninggal dunia pada 21 Disember 2022 selepas dijangkiti Naegleria fowleri yang merosakkan otak. Perkhabaran kematian itu menggemparkan dan menjadi heboh di seluruh dunia, lebih-lebih lagi selepas ancaman virus COVID-19.

Naegleria fowleri

Naegleria fowleri ialah spesies ameba atau ameba sel hidup bebas (organisma sel tunggal protozoa) yang boleh ditemukan di seluruh dunia. Pada kebiasaannya, ameba ini ditemukan di dalam air tawar yang panas (tasik, kolam, sungai dan mata air panas) dan di dalam tanah.

Naegleria fowleri juga dikenali sebagai ameba pemakan otak kerana berupaya menyebabkan kerosakan otak melalui jangkitan sistem saraf tunjang. Jangkitan ini berbahaya dan mampu membunuh mangsa dalam tempoh satu hingga 18 hari jangkitan.

Berdasarkan jurnal Infectious Diseases Society of America (IDSA), dianggarkan sebanyak 97 peratus kematian berlaku apabila hanya tujuh orang terselamat daripada 381 individu dijangkiti di Amerika Syarikat sejak tahun 1937 hingga tahun 2020.

Epidemiologi

Fowler dan Carter telah melaporkan jangkitan yang dikenali sebagai primary amoebic meningoencephalitis (PAM) pada tahun 1965 selepas empat orang meninggal dunia di Hospital Kanak-kanak Adelaide, Australia. Punca kematian dikaitkan dengan jangkitan Naegleria fowleri yang menyebabkan kerosakan dan keradangan yang teruk di dalam otak.

Sejak itu, PAM telah dilaporkan di beberapa negara dengan anggaran mangsa melebihi 400 mangsa di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, jumlah kes yang sebenar tidak diketahui dan mungkin lebih besar akibat diagnosis yang salah (misdiagnosis) atau kes yang tidak dilaporkan (unreported cases).

Menurut data terkini, sebanyak 39 negara telah melaporkan kes jangkitan ameba pemakan otak. Amerika Syarikat, Mexico, Australia dan Republic Czech adalah negara yang paling terjejas.

Di Asia, penyakit ini telah dilaporkan di Thailand, India, Pakistan, Iran dan China. Kesemua negara ini mungkin lebih terdedah kepada Naegleria fowleri kerana mempunyai suhu purata yang tinggi.

 Morfologi dan Kitaran Hidup Naegleria fowleri

Ameba pemakan otak dikenali dengan ciri yang disebut ameboflagellate, iaitu memiliki bentuk ameboid dan flagelat dalam kitaran hidupnya. Kitaran hidup Naegleria fowleri terdiri daripada tiga peringkat, iaitu sista, trofozoit (ameboid) dan flagelat.

Dalam persekitaran yang kondusif, Naegleria fowleri akan berubah menjadi trofozoit. Peringkat trofozoit ialah peringkat ameba yang aktif membiak dan makan. Sumber utama makanannya ialah bakteria, alga dan yis.

Dalam keadaan yang kurang sesuai, trofozoit akan bertukar sementara pada peringkat flagelat. Apabila keadaan tertekan seperti kekurangan sumber makanan dan suhu air yang sejuk, flagelat akan bertukar menjadi sista. Sista ialah peringkat ameba yang tidak aktif dan boleh bertahan dalam pelbagai jenis keadaan fizikal dan kimia, termasuklah suhu serendah empat darjah Celsius.

Habitat Naegleria fowleri

Naegleria fowleri tergolong dalam kumpulan termofilik (organisma yang menyukai haba) dan hidup di dalam air tawar yang hangat.

Ameba pemakan otak ini juga mampu hidup dalam keadaan suhu hingga mencecah 46 darjah Celsius, namun pakar parasitologi tidak menolak ameba ini juga mampu untuk hidup dalam keadaan air yang bersuhu 26 darjah Celsius.

Naegleria fowleri boleh ditemukan di:

  • Air tawar yang panas seperti tasik dan sungai.
  • Air geoterma (panas semula jadi) seperti mata air panas.
  • Pelepasan air suam daripada loji perindustrian atau jana kuasa.
  • Sumber air minuman geoterma (panas semula jadi) yang tidak dirawat.
  • Kolam renang, kawasan percikan air rekreasi, taman luncur air atau tempat rekreasi lain yang tidak diselenggara dengan baik atau tidak mempunyai cukup klorin di dalamnya.
  • Air paip.
  • Pemanas air.
  • Tanah, termasuklah sedimen di dasar tasik, kolam dan sungai.

Menurut Centers for Disease Control and Prevention (CDC), Naegleria fowleri tidak ditemukan di dalam air masin seperti lautan. Jangkitannya juga tidak boleh disebarkan sesama manusia.

Bagaimanakah Naegleria fowleri Menjangkiti Manusia?

Ameba ini berupaya untuk masuk ke dalam badan manusia melalui hidung semasa melakukan aktiviti berkaitan dengan air tawar (tasik atau sungai) seperti berenang, menyelam atau meletakkan kepala di dalam air tawar.

Ameba kemudiannya bergerak ke otak dan memusnahkan tisu otak dan menyebabkan jangkitan PAM yang seterusnya boleh membawa maut. Jangkitan Naegleria fowleri juga mungkin berlaku apabila seseorang itu menggunakan air paip yang tercemar untuk membersihkan hidung atau ketika mengambil wudhuk.

Jangkitan Naegleria fowleri turut boleh berlaku daripada air rekreasi yang tidak mempunyai klorin yang mencukupi. Walau bagaimanapun, jangkitan Naegleria fowleri tidak boleh berlaku dengan meminum air yang tercemar. Sehingga kini, tiada bukti jangkitan boleh merebak melalui wap air atau titisan aerosol.

 Simptom Jangkitan Ameba Pemakan Otak

Pada peringkat awal, gejala PAM menyerupai gejala meningitis yang disebabkan oleh bakteria dan virus lain seperti sakit kepala, demam, loya atau muntah. Gejala yang lebih serius seperti kekejangan leher, kekeliruan, kurang kesedaran terhadap orang serta sekeliling, sawan, halusinasi dan koma juga boleh berlaku.

Pada kebiasaannya, gejala ini muncul sekitar lima hari selepas jangkitan (tempoh inkubasi) dan boleh muncul seawal satu hari atau selewat-lewatnya 12 hari selepas dijangkiti.

Keadaan pesakit juga boleh bertambah teruk dengan cepat, iaitu dalam tempoh lima hari dan kematian boleh berlaku dalam tempoh satu hari hingga 18 hari setelah pesakit menunjukkan gejala.

Mendiagnosis Ameba Pemakan Otak

Bagi memastikan seseorang itu terkena jangkitan ini, pesakit perlu melakukan pemeriksaan makmal dengan pengambilan cecair serebrospina (CSF).

CSF dilakukan dengan mengambil sampel cairan di sekitar otak dan sumsum tulang belakang. Cairan tersebut akan diperiksa di makmal bagi mengenal pasti keberadaan ameba ini.

Selain CSF, doktor juga akan meminta pesakit untuk menjalani ujian tambahan seperti imbasan tomografi berkomputer (imbas CT) dan pengimejan resonans magnetik (MRI) untuk melihat gambaran jaringan otak secara lebih terperinci.

Rawatan Jangkitan Ameba Pemakan Otak

Rawatan bagi penyakit ini adalah dengan pemberian gabungan ubat-ubatan seperti Amphotericin B, Azithromycin, Fluconazole, Rifampicin, Dexamethasone dan Miltefosine yang dapat diberikan melalui suntikan di vena atau saraf tulang belakang.

Miltefosine merupakan ubat terbaharu yang terbukti dapat membunuh Naegleria fowleri serta mengurangkan pembengkakan otak akibat infeksi oleh ameba tersebut. Namun begitu, rawatan adalah sangat terhad disebabkan perkembangan penyakit ini berlaku sangat cepat.

Pencegahan Jangkitan Ameba Pemakan Otak

Sehingga hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiada kes jangkitan Naegleria fowleri direkodkan di negara ini. Namun begitu, rakyat Malaysia perlu berhati-hati dan mengambil langkah sewajarnya ketika melakukan aktiviti berkaitan dengan air tawar.

Antara langkah pencegahan yang boleh dilakukan termasuklah:

  1. Elakkan daripada menggali atau mengusik apa-apa sedimen yang berada di dasar tasik, kolam atau sungai memandangkan kawasan tersebut merupakan habitat ameba.
  2. Elakkan aktiviti seperti menyelam dan melompat ke dalam air yang mungkin dicemari oleh ameba yang boleh memasuki rongga hidung secara terus.
  3. Mencuci badan dengan air yang terawat dan sabun selepas melakukan aktiviti di dalam air.
  4. Segera mendapatkan rawatan apabila mengalami demam, sakit kepala, muntah atau kekejangan leher secara tiba-tiba, terutamanya selepas melakukan aktiviti di dalam air.

 

Profesor Madya Ts Dr. Tengku Shahrul Anuar Tengku Ahmad Basri, Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA, Kampus Puncak Alam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.