19 Jun 2023, 16:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Program Jerayawara Bersiri Kumpulan Pegawai Sains (K-Sains) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bil.1/2023 telah diadakan dengan kerjasama Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PERTADI), UKM di Auditorium Akademi Siber Teknopolis, UKM.

Program yang julung-julung kalinya diadakan sejak penubuhannya pada 18 Mac 2005 yang lalu telah dicetuskan oleh barisan jawatankuasa tertinggi dan exco K-Sains yang dilantik bagi sesi 2023-2025 sebagai platform untuk menerangkan tentang misi, visi, objektif dan hala tuju yang jelas berkaitan dengan K-Sains serta mendapatkan maklumat tentang peranan dan tugas hakiki dalam Skim Perkhidmatan Sains (Skim C) di UKM, keterlibatan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan perkhidmatan di universiti penyelidikan tersebut.

Fokus utama K-Sains ialah pemerkasaan profesionalisme Pegawai Sains bagi melahirkan lebih banyak Pegawai Sains yang mempunyai sijil profesional seperti sijil keahlian badan profesional, sijil kompeten, sijil tauliah, sijil berwibawa atau lesen kepada sesuatu bidang sains.

Selain itu, K-Sains juga memberikan tumpuan terhadap aktiviti jangkauan seperti program sangkutan agensi atau syarikat tersohor, program pada peringkat akar umbi yang melibatkan pelajar sekolah atau orang awam dalam bidang sains dan teknologi, perkhidmatan sains yang melibatkan pengurusan makmal pengajaran dan penyelidikan, perkhidmatan instrumentasi, pengurusan keselamatan dan kesihatan tempat kerja serta pengurusan makmal klinikal di hospital.

Penerangan aktiviti K-Sains yang telah dijalankan.

Dalam program ini juga, exco tertinggi K-Sains sesi 2023-2025 dan data taburan Pegawai Sains UKM diperkenalkan dan hasil perbincangan bersama-sama PERTADI UKM dibentangkan kepada semua ahli K-Sains oleh YBrs. Ts. Dr. Idris Zulkifle selaku Pengerusi K-Sains sesi 2023-2025 merangkap Pegawai Sains Kanan, Fakulti Sains dan Teknologi, UKM.

Sesi pembentangan berkaitan dengan K-Sains oleh Pengerusi K-Sains sesi 2023-2025 merangkap Pegawai Sains Kanan, Fakulti Sains dan Teknologi, UKM, YBrs. Ts. Dr. Idris Zulkifle.

Program jerayawara ini memfokuskan pelaksanaannya di tujuh institut di kampus UKM, Bangi, iaitu di Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Institut Sel Fuel (SELFUEL), Institut Biologi Sistem (INBIOSIS), Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN), Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI), Institut Perubahan Iklim (IPI), Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) serta dua pusat perkhidmatan, yakni Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal UKM (ALAF-UKM) dan Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH-UKM).

Antara ahli yang hadir dalam Program Jerayawara Bersiri K-Sains UKM Bil.1/2023.

Pada masa yang sama, penerangan tentang latar belakang dan matlamat penubuhan PERTADI UKM serta objektif penubuhannya dalam mengukuhkan sokongan terhadap naratif baharu universiti watan telah disampaikan oleh Presiden PERTADI UKM merangkap Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar UKM, Tuan Haji Zanudin Mohd. Daud.

“Keanggotaan PERTADI UKM melibatkan staf Pengurusan dan Profesional daripada pelbagai skim dan pusat tanggungjawab di UKM dan berperanan dalam memperkasakan pentadbir pada peringkat universiti awam dalam lima aktiviti utama, iaitu jaringan strategik, penerbitan, webinar dan percambahan minda, sukan dan rekreasi serta kebajikan,” kata Presiden PERTADI UKM, Tuan Haji Zanudin Mohd. Daud.

Selain itu, beliau juga menerangkan kelebihan dan manfaat yang akan diperoleh oleh ahli yang menyertai PERTADI UKM dan berkongsikan pengalaman beliau mengenai kelebihan berpersatuan dalam membawa isu berkaitan dengan tugas dan permasalahan ke peringkat pengurusan universiti.

Presiden PERTADI UKM, Tuan Haji Zanudin Mohd. Daud memberikan penerangan tentang PERTADI UKM.

Pada akhir sesi jerayawara kali ini, berlangsungnya sesi soal jawab kepada ahli yang hadir bagi memberikan peluang untuk menyatakan permasalahan atau isu yang berlaku di pusat tanggungjawab masing-masing termasuklah melibatkan perjawatan dan kenaikan pangkat Pegawai Sains di institut, program sangkutan Pegawai Sains, subject matter expert (SME), tadbir urus Pegawai Sains serta skop tugas Pegawai Sains di institut yang berlatarbelakangkan bidang sains sosial.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.