18 Jun 2023, 10:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gangguan spektrum autisme (ASD) adalah sangat kompleks dan mempunyai pelbagai simptom yang berbeza antara penghidapnya. Antara simptomnya termasuklah ketidakupayaan dalam interaksi sosial, keengganan bertentangan mata dan menzahirkan ekspresi wajah.

Begitu jugalah situasi yang dialami oleh remaja ASD yang tinggi kefungsiannya atau disebut sebagai gangguan spektrum autisme berfungsian tinggi (HFASD). Meskipun mempunyai darjah kecerdasan (IQ) yang tinggi, namun kualiti hidup remaja HFASD terjejas kerana mereka mengalami  kekangan dari segi kefungsian emosi. Hal ini terjadi apabila mereka tidak dapat mengawal atau menunjukkan emosi yang sesuai dengan persekitaran.

Kekangan juga boleh berlaku dari segi kefungsian sosial apabila mereka kurang berupaya untuk memulakan perbualan yang memberikan kesan kepada komunikasi sosial dan persahabatan. Hal ini juga memberikan impak kepada perkembangan peribadi mereka dari segi pembelajaran dan pencapaian. Mereka boleh melanjutkan pengajian sehingga tahap tertinggi, namun kualiti kehidupan mereka akan sering terganggu.

Penggunaan Realiti Maya

Dalam hal ini, pembelajaran dengan menggunakan teknologi pemangkin Revolusi Perindustrian 4.0 seperti realiti maya (VR) dilihat sebagai satu daripada alternatif yang dapat membantu meningkatkan kualiti hidup remaja HFASD.

VR mempunyai kelebihan memberikan simulasi persekitaran sebenar secara immersive. Menerusi VR, remaja HFASD boleh mengamalkan kemahiran sosial bagi meningkatkan kefungsian sosial mereka seperti memulakan perbualan dan bersahabat. Selain itu, mereka mampu meningkatkan kefungsian emosi dengan menunjukkan hubungan mata apabila berbual dan mempamerkan ekspresi wajah mengikut situasi.

Mereka boleh mengamalkan kemahiran tersebut secara berulang kali tanpa memerlukan rundingan fizikal dengan ahli terapi di klinik atau hospital. Secara tidak langsung, VR membantu proses adaptasi sosial remaja HFASD dalam ruang keselesaan di rumah mereka sendiri kerana berasa selamat dan terkawal. Semua ini berupaya mengurangkan kegelisahan yang kebiasaannya mereka alami.

Peralatan VR.

Lebih menarik lagi, pelbagai teknik yang digunakan oleh ahli terapi boleh diadaptasikan dalam persekitaran VR yang immersive dan dinamik. Sebagai contohnya, elemen kognitif dan tingkah laku telah diguna pakai dalam persekitaran VR bagi membantu individu autisme mempelajari pelbagai kemahiran sosial dan komunikasi yang berkesan. Berdasarkan ciri tersebut, VR berpotensi menjadi terapi adjung bagi membantu mengatasi masalah kekurangan ahli terapi di negara ini.

Kajian Kebolehgunaan VR terhadap Golongan HFASD

Pasukan penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melaksanakan kajian kebolehgunaan VR terhadap golongan HFASD.

Kajian ini diketuai oleh Pakar Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Fakulti Perubatan UKM, Hospital Canselori Tunku Muhriz UKM, Profesor Madya Dr. Wan Salwina Wan Ismail; Ketua Projek VR dan Felow Penyelidik Kanan, Institut IR4.0, Profesor Madya Dr. Mohammad Nazir Ahmad; dan Ketua Projek Kualiti Hidup Remaja HFASD serta Pensyarah, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia (PsiTra), UKM, Profesor Madya Dr. Nur Saadah Mohamad Aun.

Pasukan penyelidik UKM yang menjalankan kajian kebolehgunaan VR terhadap golongan HFASD.

Dalam satu temu bual, Profesor Madya Dr. Wan Salwina Wan Ismail menegaskan bahawa mendigitalkan proses intervensi bagi pesakit autisme HFASD menerusi VR ialah kajian bagi memperkasakan keupayaan VR dalam bidang kesihatan mental.

Sementara itu, menurut Profesor Madya Dr. Mohammad Nazir Ahmad, membangunkan VR untuk bidang kesihatan mental mempunyai cabaran yang tersendiri dan hal ini perlu dilakukan bersama-sama pakar kesihatan mental.

Hal ini dikatakan demikian kerana proses intervensi dalam persekitaran VR perlu mampu meneroka bukan hanya keperluan yang bersifat objektif, malah meliputi perihal subjektif seperti emosi dan mimik muka yang tidak begitu ketara dalam surgikal atau perubatan VR yang lebih bersifat objektif.

Oleh hal yang demikian, kajian ini mempelopori intervensi VR untuk masalah kesihatan mental secara am dan autisme secara spesifik. Diharapkan kajian ini akan membuka laluan kepada banyak lagi kajian seumpamanya di samping memberikan manfaat kepada lebih banyak individu yang memerlukan di dalam negara mahupun di luar negara.

 

Profesor Madya Dr. Mohammad Nazir Ahmad, Felow Penyelidik Kanan, Institut IR4.0, Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.