16 Jun 2023, 14:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menerusi aplikasi TikTok yang menjadi fenomena di seluruh dunia pada ketika ini, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) edisi ke-40 yang telah berakhir pada 4 Jun 2023 meluaskan promosinya kepada khalayak pengguna dan pembaca yang dikatakan mencecah berjuta-juta tontonan.

Lebih menarik lagi, pada tahun ini, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan PBAKL melancarkan Pertandingan Resensi Buku melalui aplikasi TikTok dengan tanda pagar #BookTokMalaysia dan #KLIBF2023 beserta slogan “Temui pembaca di mana jua!” yang membawa maksud sesiapa sahaja boleh menyertainya. Hadiah yang ditawarkan juga agak menarik buat peminat buku, iaitu baucar buku TikTok Shop.

Kesan atau pengaruh daripada pertandingan tersebut dan kempen promosi PBAKL menerusi TikTok, tanda pagar #BookTokMalaysia telah berjaya mengumpul lebih daripada 160 juta tontonan. Usaha ini sudah tentu menjadi antara faktor peningkatan kehadiran pengunjung ke PBAKL yang sangat ketara.

Dilaporkan bahawa jumlah pengunjung yang hadir dalam acara pada dua hari terawal bagi tahun ini mencatatkan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya. Pada tahun ini, PBAKL 2023 mencatatkan jumlah kehadiran pengunjung sebanyak 1.5 juta orang, yakni melepasi sasaran awal penganjur, iaitu sebanyak 1.3 juta orang.

Sebenarnya, pengaruh TikTok terhadap jualan buku memang diakui dan terbukti sangat efektif. Kajian yang dijalankan oleh organisasi analisis data seperti Nielsen pada tahun 2022, misalnya mendapati bahawa seorang daripada empat pembeli buku merupakan pengguna TikTok. Pengguna aplikasi ini juga telah menyumbang kepada pembelian sebanyak 90 juta unit buku pada tahun tersebut sebagaimana yang dilaporkan oleh Alice Kemp-Habib dalam The Bookseller pada 22 Mac 2023.

TikTok menjadi pilihan pemasaran yang utama dalam mana-mana acara pesta buku antarabangsa yang berlangsung mutakhir ini. Pilihan pemasaran ini mampu memberikan impak atau pengaruh yang besar kepada peminat buku dan masyarakat tanpa memerlukan belanja yang besar.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Pengurus Besar Pesta Buku Paris, Jean-Baptiste Passé, TikTok membiayai kurang daripada lima peratus daripada belanjawan yang diperlukan untuk mempromosikan acara tersebut. TikTok juga menarik lebih ramai golongan muda hadir ke The Grand Palais des Champs-Élysées, sebuah bangunan bersejarah yang menempatkan dewan pameran dan kompleks muzium seperti yang dilaporkan The Limited Times pada 21 April 2023.

Dalam Festival Hay, acara perbukuan tahunan yang diadakan di Hay-on-Wye, Powys, Wales, buku yang dipertontonkan menerusi TikTok dengan tiba-tiba menjadi popular bagi edisi tahun 2022 dan pendekatan yang sama juga digunakan bagi edisi tahun 2023. Menerusi BookTok, peminat buku, khususnya dalam kalangan orang muda yang mesra teknologi mudah mendapatkan maklumat tentang sesuatu buku yang disyorkan dan merancang untuk membuat pembelian.

Selain itu, kemudahan capaian menerusi elektronik dan mudah alih juga membantu memudahkan pembaca dan penulis berkomunikasi antara satu sama lain yang bukan sahaja mencambahkan input yang positif, malah membantu jualan buku.

Format biasa bagi TikTok yang terdiri daripada video pendek dengan kesan visual atau muzik, pastinya tidak sesuai dengan kritikan sastera tradisional, namun sangat berkesan untuk mempersembahkan sesuatu karya sehinggakan mampu meningkatkan populariti tersebut.

Dengan pengaruh #BookTok, Pesta Buku Frankfurt yang merupakan acara perbukuan terbesar di dunia turut menjadikan TikTok sebagai satu daripada rakan kongsi program ini. Trend ini bukan sahaja memberikan pulangan yang baik kepada penganjur, dari segi promosi dan memberikan nilai tambah kepada penulis untuk mengukuhkan penulisan pada masa akan datang menerusi ulasan dan syor yang telah diberikan oleh pembaca.

Dalam kalangan penerbit dan penjual buku, fenomena #BookTok dapat menggandakan kesan jualan dan peluang yang lebih besar untuk mendapatkan pelanggan baharu. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap komen, cadangan, ulasan ataupun syor daripada pengguna TikTok yang berasaskan platform visual sangat berkesan dalam mempercepat trend sehingga melonjakkan jualan dengan nilai yang mungkin tidak terfikir sebelumnya.

Sebagai contohnya, terdapat buku yang tidak pernah dibeli oleh sesiapa sebelum ini dengan tiba-tiba melonjak jualannya hasil ulasan seorang pengguna TikTok yang berkongsi minat yang sama dalam rangkaian sosial.

TikTok juga menjadi popular kerana menjadi penghubung kepada individu yang mengalami masalah kesunyian atau terasing melalui hobi membaca dengan berkongsikan minat tersebut dengan individu lain. Bilangan pembaca akan terus meningkat tanpa batasan masa dan tempat yang menjadi faktor utama kepada peningkatan jualan buku di mana-mana sahaja.

Melalui pengaruh aplikasi TikTok, Bloomsbury sebuah syarikat penerbitan yang berpangkalan di Britain berjaya meledakkan peningkatan sebanyak 220 peratus keuntungan dalam jualan yang sebahagian besarnya disebabkan oleh fenomena BookTok. Pelekat TikTok edisi khas dicetak dan dilekatkan pada buku yang popular dalam BookTok sebagai alat pemasaran zaman baharu untuk Gen Z.

Dengan gelombang baharu ini juga, platform e-dagang Amazon telah mengambil peluang tersebut dengan memasukkan frasa “TikTok membuatkan saya membelinya!” untuk menarik perhatian peminat buku yang berkunjung ke platfrom tersebut untuk membuat pembelian.

BookTok ialah singkatan kepada Book TikTok yang merujuk komuniti pengguna di TikTok yang meminati buku dan sastera. Dengan membuat video yang menghiburkan yang berpusat di sekitar buku yang dibaca, maka satu daya cipta yang baharu atau boleh dikatakan cara yang inventif untuk membincangkan, menyemak dan mengesyorkan buku telah pun terbina, seterusnya merevolusikan komuniti sastera dan penerbitan.

BookTok bermula sebagai tanda pagar di TikTok oleh sekumpulan pencinta buku dan menjadi trend besar-besaran pada tahun 2020. Sebahagian besarnya ahli komuniti ini terdiri daripada remaja dan gadis yang berfokuskan kandungan bacaan bercorak fiksyen, fantasi dan percintaan. Mereka menggunakan platform TikTok untuk mempromosikan buku yang mereka gemari, memperkenalkan pengarang baharu dan mewujudkan perbualan dengan rakan pembaca yang lain.

Kini, BookTok menjadi satu daripada komuniti media sosial terbesar di dunia untuk acara perbukuan. BookTok mempunyai lebih daripada 29.1 bilion tontonan dan banyak pemain besar dalam industri perbukuan seperti Barnes & Noble telah menyediakan bahagian khas kepada komuniti BookTok.

Sesetengah pengarang juga telah menemukan kemasyhuran melalui BookTok seperti pengarang These Violent Delights, Chloe Gong, wanita muda yang hanya berusia 21 tahun ketika karyanya meletup di pasaran pada tahun 2020.

Beliau yang dilahirkan di Shanghai, China dan membesar di Auckland, New Zealand kemudiannya menimba ilmu di Pennsylvania, Amerika Syarikat mula menulis ketika berusia 13 tahun. Bukunya telah menjadi begitu popular di BookTok sehinggakan berada dalam The New York Times Best Seller List. Beberapa penjual buku juga memetik BookTok sebagai faktor utama yang menaikkan popularitinya.

Dalam konteks teknologi, BookTok mempunyai keupayaan mempercepat trend kerana enjin cadangan TikTok menggunakan teknologi kepintaran buatan untuk mengesyorkan kandungan yang paling sesuai kepada pengguna bagi membantu mereka mencipta video yang sempurna. Platform ini juga memiliki peningkatan teknologi lain seperti mencipta rakaman, membina tanda pagar, membuat tapisan dan algoritma pembelajaran mesin bagi membantu pengguna mencipta kandungan dengan mudah dan pantas.

Cara algoritma TikTok menyusun keutamaan adalah berdasarkan kepada dua perkara, iaitu interaksi pengguna dan maklumat video. Interaksi pengguna meliputi perkara yang sangat disukai, kandungan yang suka dikongsi, halaman yang suka diikuti dan komen yang diberikan. Maklumat video pula adalah berdasarkan kapsyen, suara (bunyi) dan tanda pagar. Perkara lain yang turut diberikan keutamaan ialah tetapan peranti dan akaun yang meliputi bahasa, negara dan jenis peranti yang digunakan.

Seni bina TikTok terdiri daripada tiga komponen utama, iaitu rangka kerja data besar, pembelajaran mesin dan seni bina perkhidmatan mikro. Rangka kerja data besar ialah titik permulaan sistem yang menyediakan pemprosesan penstriman data masa nyata, pengkomputeran data dan penyimpanan data.

Pembelajaran mesin pula diibaratkan seperti otak bagi sistem pengesyoran. Pelbagai algoritma dan teknik pembelajaran mesin serta pembelajaran mendalam digunakan untuk membina model dan menjana pengesyoran untuk disesuaikan dengan pilihan individu. Seni bina perkhidmatan mikro pula ialah infrastruktur bahagian bawah yang menjadikan keseluruhan sistem berfungsi dengan sangat pantas dan cekap.

Dari segi sejarah, TikTok dibina oleh Zhang Yiming yang asalnya mengikuti pengajian dalam bidang mikroelektronik, namun beralih arah kepada bidang kejuruteraan perisian di Universiti Nankai di Tianjin, China. Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah apabila aplikasi TikTok yang dibina itu berdiri atas gabungan pelbagai teknologi dan bahasa pengaturcaraan seperti Swift dan Jawa sehingga dapat menjadi sebuah perisian sosial video dengan pelbagai fungsi.

Idea membina TikTok tercetus apabila Zhang berpendapat bahawa pengguna telefon pintar China sedang bergelut untuk mencari maklumat dalam aplikasi mudah alih yang tersedia pada tahun 2012. Visinya adalah dengan menapis kandungan yang relevan agar pengguna dapat mencapai maklumat dengan pantas melalui pengesyoran yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan.

Visi ini bagaimanapun tidak menarik minat kebanyakan pemodal teroka, kecuali Susquehanna International Group yang bersetuju untuk melabur dalam mengembangkan idea Zhang. Pada tahun itu juga, Zhang telah menubuhkan syarikat ByteDance dan memulakan operasinya di sebuah apartmen di Beijing.

Setelah mendapat suntikan dana daripada Susquehanna International Group, Zhang menerusi syarikatnya melancarkan aplikasi pengagregatan berita Toutiao pada Ogos 2012. Dalam tempoh dua tahun, aplikasi tersebut telah berjaya menarik lebih daripada 13 juta pengguna harian. Kejayaan ByteDance menarik perhatian Sequoia Capital yang pernah menolak idea Zhang, membuat pelaburan sebanyak USD100 juta dalam syarikat yang dimiliki Zhang pada tahun 2014.

Pada September 2015, ByteDance melancarkan aplikasi perkongsian video TikTok yang dikenali sebagai Douyin di China. Produk ini tidak perlu menunggu lama untuk mendapat sambutan dan mencipta fenomena di seluruh dunia dalam masa yang singkat. ByteDance membeli Musical.ly setahun kemudian dengan harga USD800 juta dan menyepadukannya ke dalam TikTok.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.