13 Jun 2023, 15:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Durian yang dikenali sebagai raja buah merupakan satu daripada buah-buahan bermusim yang sangat terkenal di Malaysia. Dengan nama saintifik Durio zibethinus, buah ini mempunyai pelbagai spesies dan terdapat jenis durian tertentu yang dijual dengan harga yang sangat mahal. Namun demikian, lambakan buah durian ketika ini menjadikan harga buah ini menurun.

Lambakan hasil menyebabkan berlaku penurunan harga durian.

Selain bau yang sangat kuat, buah durian juga mempunyai rasa yang unik. Durian banyak ditanam di pelbagai negara di Asia Tenggara. Durian memerlukan keadaan cuaca panas dan lembap beserta taburan hujan untuk pertumbuhan yang baik.

Pokok durian boleh mencapai ketinggian hingga 40 meter. Buah durian pula boleh mencapai berat hingga lapan kilogram. Tempoh hayat simpan durian adalah pendek, iaitu antara tiga hari hingga lima hari. Oleh sebab itu, durian selalunya akan dimakan segera setelah kulit luarnya dikupas.

Kandungan Nutrien Durian

Selain terkenal dengan rasa yang lemak, manis dan sedikit pahit, durian juga merupakan buah yang mempunyai kandungan tenaga yang tinggi.

Secara umumnya, buah durian mempunyai kandungan tenaga yang tinggi bagi setiap 100 gram, iaitu 153 kalori (kkal) jika dibandingkan dengan buah-buah lain seperti epal (56 kkal), tembikai (28 kkal) dan rambutan (59 kkal). Kandungan tenaga yang tinggi ini disumbangkan oleh lemak dan karbohidrat.

Oleh itu, saranan pengambilan buah durian ialah sebanyak dua ulas untuk setiap hidangan. Kajian lepas melaporkan kandungan gula total dalam beberapa jenis durian daripada Malaysia adalah antara 8.83 gram hingga 16.9 gram bagi setiap 100 gram durian mentah. Durian juga kaya dengan pelbagai jenis vitamin dan mineral yang diperlukan oleh badan.

Jadual 1 Kandungan nutrien daripada Malaysian Food Composition Database (MyFCD) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

Kegunaan Durian

Durian selalunya dimakan secara mentah dan dihidangkan bersama-sama beras pulut yang ditanak. Di sesetengah negeri, hidangan ini dimakan dengan santan yang ditambahkan garam beserta gula untuk menaikkan rasa lemak manis durian.

Selain itu, durian turut diproses kepada beberapa bentuk makanan, termasuklah tempoyak yang menggunakan isi durian yang diperam dengan garam selama dua hari pada suhu bilik. Kandungan tenaga tempoyak adalah lebih rendah berbanding dengan durian mentah.

Tempoyak boleh tahan dalam tempoh lebih lama sekiranya disimpan di dalam peti sejuk. Bahan ini sering digunakan dalam masakan bersama-sama ikan, ikan bilis, dan udang. Tempoyak turut dimasak dengan gabungan pelbagai jenis ulam dan pucuk tumbuhan seperti pucuk ubi, daun kunyit, daun kaduk, serai, petai dan pucuk labu. Menu unik ini dikenali sebagai tempoyak pucuk kayu.

Selain isi buah, biji durian turut diproses kepada produk lain. Biji durian yang dibakar atau direbus boleh digunakan untuk membuat tepung dan kerepek durian. Kepelbagaian produk ini memberikan nilai tambah kepada durian. Seterusnya, daun dan pucuk durian turut dimasak untuk dimakan sebagai hidangan sayur-sayuran.

Satu daripada cara hidangan durian yang dimakan dengan pulut, santan dan gula.

Komponen Bioaktif Durian

Aroma dan rasa durian yang unik disumbangkan oleh sebatian meruap seperti aldehid, sulfur, keton dan alkohol. Kajian mendapati bahawa terdapat 39 sebatian meruap dalam pelbagai jenis durian di Malaysia.

Apabila perbandingan dibuat, didapati durian Malaysia mempunyai 97 peratus kandungan sulfur yang lebih tinggi berbanding dengan durian daripada Indonesia. Etanol merupakan jenis alkohol utama di dalam durian daripada Malaysia.

Durian juga kaya dengan pelbagai jenis polifenol, iaitu metabolit sekunder yang dihasilkan oleh tumbuhan. Hal ini termasuklah flavonoid, asid fenolik dan tanin. Durian juga mengandungi karotenoid dan asid askorbik.

Durian dan Kesihatan

Terdapat banyak kajian telah menilai kesan durian terhadap beberapa parameter yang berkaitan dengan kesihatan. Pertama, kesan durian terhadap glukosa darah.

Secara semula jadi, dua jenis karbohidrat di dalam durian ialah glukosa dan fruktosa yang boleh meningkatkan aras glukosa darah. Kajian indeks glisemik (GI) dalam manusia mendapati durian mempunyai nilai GI yang lebih rendah berbanding dengan buah nenas, betik dan tembikai. Serat di dalam durian akan memperlahankan penghadaman dan seterusnya memperlahankan pertukaran karbohidrat kepada glukosa.

Kedua, kajian haiwan mendapati pemberian durian kepada tikus menurunkan total kolesterol plasma dan lipoprotein ketumpatan rendah secara ketara.

Ketiga, durian didapati dapat membantu dalam penghadaman. Kandungan serat di dalam durian merangsang pergerakan peristalsis dan perembesan jus pencernaan yang memudahkan proses penghadaman. Serat tidak larut di dalam durian juga menyebabkan penurunan kekerapan insiden cirit-birit.

Pelbagai jenis durian dengan variasi saiz, gred dan rasa.

Keempat, durian mempunyai aktiviti antiproliferatif kerana kandungan polifenol dan flavonoid yang dikaitkkan dengan aktiviti antioksidan. Sebatian ini dapat menurunkan aras spesies oksigen reaktif di dalam badan manusia. Kesan antiproliferatif dapat mengurangkan penghasilan sel malignan penyebab kanser.

Kelima, durian mempunyai kesan probiotik. Isi durian yang diperam atau tempoyak mengandungi bakteria asid laktik. Kajian eksperimen melaporkan bakteria daripada tempoyak ini mampu bertahan pada keadaan ekstrim dan memberikan kesan positif kepada mikrobiom di dalam saluran gastrousus.

Walaupun durian hanya didapati pada musim tertentu, namun pengguna harus bijak dan berwaspada dalam menikmati buah ini. Pengambilan berlebihan buah durian boleh menyebabkan kesan buruk, terutamanya dalam kalangan wanita mengandung, pesakit diabetes dan individu obes.

Wanita yang didiagnos dengan diabetes gestasi seharusnya mengelak daripada mengambil durian kerana kandungan gulanya yang tinggi. Secara umumnya, individu dengan penyakit kronik dan mengambil ubat-ubatan boleh memakan durian dengan pendekatan sekadar merasa dan tidak makan bersungguh-sungguh untuk mengelakkan kesan buruk terhadap kesihatan diri.

Durian yang dijual secara longgok di dalam bakul.

Pengambilan durian juga boleh menyebabkan peningkatan suhu badan. Oleh itu, mereka yang menikmati durian digalakkan untuk minum air kosong secukupnya bagi menghadapi kesan ini dan membantu mengawal glukosa darah.

Nikmatilah buah tempatan ini dengan bijak, moga kita beroleh manfaat, bukan mudarat.

 

Dr. Hanis Mastura Yahya, Pensyarah Kanan, Program Sains Pemakanan, Pusat Penuaan Sihat Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.