11 Jun 2023, 15:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sakit bahu merupakan masalah yang biasa dialami oleh pengguna kerusi roda yang mengalami kecederaan saraf tunjang. Kesakitan bahu yang dialami akan membataskan aktiviti harian seperti menguruskan diri, bekerja, bersukan dan mempengaruhi kualiti kehidupan.

Penyebab utama kesakitan bahu bagi pengguna kerusi roda ialah kekerapan melakukan galas berat (weight bearing) seperti memindahkan badan, tekan tubi kerusi roda dan mengayuh kerusi roda. Aktiviti ini memberikan kesan kepada bahu, terutamanya jika pengguna kerusi roda tersebut mempunyai berat badan berlebihan.

Oleh sebab itu, tindakan sewajarnya penting dilakukan bagi mencegah dan mengatasi masalah kesakitan bahu ini. Antara petua dan kaedah pengurusan kesakitan bahu yang wajar dilakukan oleh mereka yang mengalaminya termasuklah:

  1. Mendapatkan khidmat perubatan

Pengguna kerusi roda yang mengalami kesakitan bahu harus mendapatkan khidmat nasihat, penilaian dan rawatan daripada pakar pemulihan atau pegawai perubatan agar bahu tersebut dapat diuruskan sewajarnya. Hal ini termasuklah mendapatkan ubat-ubatan antiradang, penilaian, nasihat dan kaunseling.

Perkhidmatan ini boleh diperoleh di hospital awam dan swasta, hospital universiti, klinik kesihatan awam dan swasta, pusat pemulihan atau agensi kesihatan yang lain.

  1. Merujuk kepada ahli fisioterapi

Rujukan kepada ahli fisioterapi penting untuk memulihkan ketidakseimbangan postur dan otot bagi mengurangkan kesakitan bahu. Ahli fisioterapi akan mengaturkan program spesifik melalui senaman terapeutik, senaman regangan dan kekuatan, modaliti suhu dan elektrik, modifikasi aktiviti dan kaunseling.

Di samping itu, ahli fisioterapi juga akan membuat penilaian secara berkala terhadap bahu tersebut. Ahli fisioterapi juga akan meningkatkan intensiti, kekerapan dan jenis senaman kepada pesakit.

Pengguna kerusi roda juga haruslah patuh kepada program yang telah diatur oleh ahli fisioterapi bagi mendapatkan kesan yang optimum dalam menguruskan kesakitan bahu tersebut. Perkhidmatan ini boleh didapati di pusat fisioterapi awam dan swasta atau secara terus daripada ahli fisioterapi yang bertauliah.

  1. Teknik pemindahan badan yang efisien.

Teknik memindahkan badan yang efisien dapat mengurangkan tekanan pada bahu dan lengan semasa memindahkan badan daripada satu tempat ke satu tempat yang lain seperti katil, lantai, sofa, kerusi dan kereta. Teknik ini memerlukan program dan latihan yang komprehensif, kerap dan fokus bersama-sama dengan ahli fisioterapi.

Di samping itu, bahu dengan otot yang kuat dan anjal juga dapat menjadikan pemindahan badan lebih efisien dan mengurangkan sakit pada bahu.

  1. Hindari aktiviti di luar kemampuan.

Hindari aktiviti yang memerlukan kekuatan bahu berlebihan seperti memikul beban yang melebihi kemampuan dan menggunakan teknik kayuhan kerusi roda yang tidak efisien.

Ada dalam kalangan pengguna kerusi roda yang begitu aktif dan kerap menyertai sukan memanah dan marathon bagi mengekalkan gaya hidup aktif. Terdapat juga pengguna kerusi roda yang bekerja dan melakukan rutin harian melebihi kemampuan tanpa rehat yang mencukupi.

Tindakan ini akan memberikan tekanan berpanjangan dan menyebabkan kecederaan lewah guna kepada bahu. Oleh hal yang demikian, pengguna kerusi roda harus mengetahui kemampuan diri dan rehat secukupnya agar bahu dapat pulih dengan optimum.

  1. Memastikan kerusi roda dalam keadaan yang baik.

Pastikan juga kerusi roda berada dalam keadaan baik. Tayar kerusi roda haruslah mempunyai angin yang mencukupi. Pastikan juga tiada bendasing di celahan tayar agar kerusi roda tidak menjadi berat dan memberikan bebanan kepada bahu ketika mengayuh.

Pengguna kerusi roda juga digalakkan untuk memakai sarung tangan yang kesat dan sesuai bagi menambah luas permukaan sentuhan pada rim tayar kerusi roda. Usaha ini akan mengurangkan bebanan pada otot bahu.

Kekuatan dan momentum daripada badan juga boleh digunakan ketika mengayuh kerusi roda bagi mengurangkan tekanan kepada bahu. Sila dapatkan nasihat dan latihan kemahiran kerusi roda daripada ahli fisioterapi bertauliah dan rakan pengguna kerusi roda daripada persatuan kecederaan saraf tunjang atau badan bukan kerajaan di Malaysia.

Semoga perkongsian ini dapat memberikan sedikit pandangan dan idea untuk menguruskan kesakitan bahu sewajarnya. Perlu diingatkan agar kesakitan bahu perlu diuruskan dan dirawat lebih awal bagi mengelakkan kesan sampingan yang berpanjangan. Hal ini penting agar kesihatan dan kesejahteraan hidup pengguna kerusi roda yang disebabkan oleh kecederaan saraf tunjang sentiasa berada dalam keadaan yang optimum.

 

Dr. Noor Hafifi Noorhisham, Pensyarah, Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas (iCaRehab), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.