2 Jun 2023, 22:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kenyir Geopark diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan yang kesembilan di bawah Program Pembangunan Geopark oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

Melalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh NRECC hari ini, pengiktirafan ini telah dilakukan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan Bilangan 1 Tahun 2023 yang diadakan pada 30 Mei 2023.

Taman geologi ini mengandungi sebanyak 15 geotapak yang bertaraf antarabangsa, kebangsaan dan tempatan, 10 biotapak, 11 tapak budaya dan satu tapak geoarkeologi.

Antara nilai utama Kenyir Geopark termasuklah ciri utama morfologi karst Bukit Bewah yang wujud di atas tasik yang berwarna kehijauan yang memberikan nilai estetika yang tinggi kepada kawasan ini selain kewujudan pelbagai jenis fosil marin, terutama Shikamaia sp. (kerang gergasi) berusia 250 juta tahun di dinding batu kapur ini yang memberikan nilai tambah kepada Bukit Bewah.

Penemuan kerangka manusia prasejarah yang berusia 16 ribu tahun menjadikan Bukit Bewah sebagai geotapak bertaraf antarabangsa di samping penemuan fosil kesan tapak kaki dinosaur dan fosil tumbuhan di Gunung Gagau.

Selain itu, penemuan beberapa spesies flora dan fauna endemik seperti Thismia terengganuensis (flora), Kenyirus sodhii (siput) dan penemuan artifak arkeologi seperti Batu Bersurat Terengganu menjadi komponen sumber asli penting dalam penubuhan geopark.

Pengiktirafan ini ialah pengiktirafan Geopark Kebangsaan yang kesembilan selepas Lembah Kinta dan Lenggong Geopark di Perak; Jerai Geopark di Kedah; Kinabalu Geopark di Sabah; Labuan Geopark di Wilayah Persekutuan Labuan, dan Sarawak Delta Geopark di Sarawak, Gombak- Hulu Langat Geopark di Lembah Klang serta Stong Geopark di Kelantan.

Kenyir Geopark dengan keluasan 2449 kilometer per segi meliputi sebahagian daerah Hulu Terengganu yang dibentuk oleh pelbagai jenis batuan, mineral, struktur, landskap dan fitur geologi unik hasil daripada proses geologi yang berlaku kira-kira 360 juta tahun yang lalu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.