27 Mei 2023, 17:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kinabalu Geopark diiktiraf sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp) yang kedua di Malaysia selepas Langkawi Geopark berdasarkan keputusan oleh Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Paris pada 25 Mei 2023 bersama-sama 17 geopark yang lain.

Kinabalu Geopark berkeluasan 4750 kilometer persegi yang meliputi daerah Kota Belud, Kota Marudu dan sebahagian daerah Ranau mempunyai 46 geotapak, 12 biotapak dan lapan tapak budaya serta diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan pada 18 Mac 2020.

“Pengiktirafan ini ialah pencapaian negara yang amat bermakna, terutamanya kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memelihara kelestarian alam semula jadi dan pengurusan mampan kawasan UNESCO Global Geopark yang memiliki nilai kepentingan antarabangsa seiring dengan Agenda Pembangunan Negara dan Matlamat Pembangunan Lestari 2030 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yang Berhormat (YB) Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan.

Kinabalu Geopark diuruskan oleh Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah dengan kerjasama pemegang taruh yang lain serta telah menjalani penilaian oleh panel penilai rangkaian UNESCO Global Geopark pada 18 Julai 2022 hingga 21 Julai 2022.

Pengiktirafan Kinabalu Geopark sebagai UGGp telah mengangkat nama Malaysia sebaris dengan beberapa negara yang diberikan jolokan sebagai negara penyandang “Triple Crown” program UNESCO berikutan kejayaan tersebut telah melengkapkan ketiga-tiga program UNESCO di negeri Sabah, iaitu World Heritage Site, Man and the Biosphere dan UNESCO Global Geopark.

Tahniah diucapkan kepada Kerajaan Negeri Sabah melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Pejabat Daerah Ranau, Kota Belud dan Kota Marudu, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah di atas pengiktirafan tersebut.

YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan tersebut juga menyatakan bahawa kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri dapat memastikan kawasan geopark diurus dengan baik dan mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama di kawasan yang mempunyai kepentingan geologi bagi tujuan penyelidikan saintifik, pendidikan, penjanaan ekonomi penduduk setempat dan pembangunan mampan.

Sokongan yang berterusan akan diberikan kepada kerajaan negeri untuk mencalonkan geopark kebangsaan lain yang memenuhi kriteria Global Geopark di bawah UNESCO bagi mendapatkan pengiktirafan pada peringkat antarabangsa yang seterusnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.