26 Mei 2023, 15:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 yang kini kembali menemukan para pencinta ilmu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Umum telah menganjurkan sesi bual bicara menerusi slot “Karya Sains dan Teknologi dalam Bahasa Melayu, Mudahnya” yang bertujuan memberikan panduan kepada khalayak bagi menjadikan karya sains dan teknologi dapat dimanfaatkan oleh masyarakat di seluruh dunia.

Sesi bual bicara yang berlangsung selama satu jam itu menampilkan Timbalan Ketua Pengarah (Program Teknikal), Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zain selaku pembicara, manakala Perancang Bahasa DBP, Puan Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh sebagai moderator.

Timbalan Ketua Pengarah (Program Teknikal), Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zain selaku pembicara sesi bual bicara menerusi slot “Karya Sains dan Teknologi dalam Bahasa Melayu, Mudahnya”.

 

Perancang Bahasa DBP, Puan Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh sebagai moderator sesi bual bicara menerusi slot “Karya Sains dan Teknologi dalam Bahasa Melayu, Mudahnya”.

“Karya sains dan teknologi itu dihasilkan daripada suatu fenomena yang bermula daripada pengamatan kejadian yang berlaku di sekeliling kita dan melibatkan ilmu sains,” kata YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zain ketika memulakan sesi bual bicara berkenaan.

Menurut beliau, penulisan dalam karya sains dan teknologi sudah semestinya mempunyai cabarannya, namun perkara yang paling penting ialah minat, kreativiti dan sejauh mana seseorang itu peka terhadap fenomena alam yang menjadi ilmu sains.

Dorongan untuk menulis itu adalah berdasarkan pengalaman yang sedia ada dan dijadikan cerita tanpa memikirkan sesuatu yang sangat kompleks serta menghubungkan proses kognitif itu, yakni proses memperoleh pengetahuan kognisi melalui maklumat yang diterima oleh persekitaran, pembelajaran dan pembudayaan untuk menghasilkan sesebuah karya sains dan teknologi yang baik.

Sekitar berlangsungnya sesi bual bicara menerusi slot “Karya Sains dan Teknologi dalam Bahasa Melayu, Mudahnya”.

Dalam sesi bual bicara tersebut juga, beliau turut berkongsikan karya fiksyen sains rujukan beliau, iaitu novel Pedang Aurora nukilan penulis sains fiksyen dan fantasi di Malaysia, yakni Ahmad Patriya Abdullah yang menarik perhatian dan memberikan idea kepada beliau untuk terus berkarya.

Menjawab persoalan cara bagi suatu karya fiksyen sains itu dapat digarap menjadi suatu karya yang realisitik dan bukan sekadar angan-angan, beliau menjelaskan bahawa karya fiksyen sains sebenarnya cuba untuk menghubungkan sains yang realistik dengan jangkaan sains pada masa hadapan dan penemuan baharu yang ditemukan oleh para saintis, misalnya.

Berdasarkan kenyataan tersebut, hal ini bermakna terdapat teori sains yang sebenar, namun tidak dapat dibuktikan kecuali pembuktian itu dilakukan menerusi bentuk penulisan.

Beliau meneruskan tirai perkongsiannya dengan menyatakan bahawa setiap karya sains dan teknologi yang dihasilkan biasanya akan ditulis dalam bentuk penceritaan dan sasaran pembacanya ialah masyarakat umum.

Perkara yang paling penting ketika berkarya ialah penulisan tersebut mencapai tujuan penulisan itu sendiri, menulis dengan gaya penulisan yang tidak terlalu kompleks, menggunakan bahasa dan istilah yang mudah agar pembaca boleh memahami kandungan keseluruhan penulisan tersebut.

Beliau juga menegaskan bahawa elemen sains dan teknologi tidak mengganggu estetika dalam karya jika penulis cakna dengan matlamat penceritaan yang ingin disampaikan kepada sasaran pembaca dan penggunaan bahasa serta istilah yang sesuai supaya tidak merosakkan nilai estetika dalam karya yang dihasilkan.

Seorang penulis yang baik perlu memiliki disiplin ilmu yang tersendiri, yakni merujuk sumber tertentu apabila mahu menghasilkan suatu karya yang faktanya tepat dan berkualiti.

Sebelum berakhirnya sesi bual bicara tersebut, beliau sempat berkongsikan beberapa panduan untuk berkarya dalam bidang sains dan teknologi dengan menggalakkan masyarakat menjadikan tabiat menulis itu sebagai satu budaya, memupuk minat menulis dalam diri dan berkarya secara santai bagi memudahkan suatu proses penulisan.

Beliau juga menyatakan bahawa penulis perlu mempunyai elemen sokongan seperti penulisan haruslah melalui suatu kaedah atau proses yang teratur bagi mengelakkan penulisan itu hanya sekadar curahan idea semata-mata tanpa ada penambahbaikan daripada pihak tertentu dan memastikan bahan rujukan yang digunakan mestilah mendapat persetujuan daripada penulis atau sumber asal bahan bagi mengelakkan timbulnya isu plagiat dan sebagainya.

Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah, YBrs. Puan Hajah Noriyani Yusoff (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Timbalan Ketua Pengarah (Program Teknikal), Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zain (kiri).

Turut hadir meraikan sesi bual bicara berkenaan ialah Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah, YBrs. Puan Hajah Noriyani Yusoff, para penyelidik daripada Agensi Nuklear Malaysia dan pengunjung PBAKL 2023.

Kredit gambar dan video (rujukan): Adib dan Nizam Adhaa, DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.