26 Mei 2023, 16:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Serdang – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menemukan varieti baharu spesies periuk kera atau nama saintifiknya Napenthes rafflesiana daripada varieti Zabawiana yang disahkan sebagai varieti yang pertama di dunia.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata varieti terbaharu dalam dunia itu ditemukan dalam penyelidikan di Taman Negara Rompin, Pahang dan Setiu Wetlands, Terengganu pada Mei tahun lalu.

“Varieti terbaharu di Malaysia dan dunia itu yang mempunyai bentuk seakan-akan telinga serta berwarna hijau kekuningan hingga hijau kemerahan, manakala periuk atasnya mempunyai bentuk silinder lebih kecil yang dinamakan Zabawiana,” jelasnya dalam sidang media selepas majlis Pelancaran Sambutan Hari Biodiversiti Mardi 2023 baru-baru ini.

Menurut beliau, varieti terbaharu itu belum berdaftar atau diterbitkan dalam mana-mana dokumentasi, jurnal atau laporan dan telah ditentusahkan oleh pakar botani Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Latiff Mohamad.

Katanya lagi, varieti baharu itu mampu tumbuh subur di kawasan tanah rendah, tahan lasak dan mudah dibiakkan menggunakan keratan batang serta berpotensi dikomersialkan sebagai tanaman hiasan atau landskap yang menarik.

Beliau menjelaskan bahawa periuk kera merupakan tumbuhan unik yang mencernakan serangga selain terkenal dengan istilah tumbuhan karnivor kerana bahagian bawah struktur periuk tersebut terdapatnya takungan enzim dan mangsa yang tidak dapat melepaskan diri akan lemas.

Tambahnya, enzim yang terdapat di dalam periuk kera berkenaan adalah khusus untuk mencernakan makanan dan kemudiannya menyerap nutrien.

“Pihak MARDI akan menjalankan penyelidikan lanjut mengenai enzim yang terdapat di bahagian bawah struktur periuk itu bagi mengkaji kegunaan enzim tersebut untuk tujuan perubatan dan pertanian,” jelasnya lagi.

Sidang media berkaitan penemuan varieti baharu dalam spesis pokok kera ini turut disiarkan secara dalam talian melalui Facebook MARDI di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.