25 Mei 2023, 22:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-Care), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Seminar Empowering Independency Among Older Adults in The Community di Zecon Hotel & Convention Centre, Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia, hari ini untuk memberikan pendedahan dan peningkatan ilmu mengenai pengurusan risiko dan pencegahan demensia dalam kalangan masyarakat.

Dengan tema “Pencegahan dan Pengurangan Risiko Demensia”, seminar ini disertai oleh 80 peserta secara hibrid, yakni secara fizikal dan dalam talian yang terdiri daripada kalangan penyelidik, ahli perubatan, ahli sains kesihatan, pelajar siswazah dan warga emas.

Sidang pleno yang pertama dalam seminar ini membincangkan cabaran dan strategi dalam mengurangkan risiko demensia di negara berpendapatan rendah dan sederhana yang sampaikan oleh Dr. Francesca Mangialasche dari Karolinska Institutet, Sweden.

Menurut beliau, pencegahan demensia harus memfokuskan kepada pencegahan individu berisiko tinggi (pelan individu) dan pencegahan kepada keseluruhan penduduk.

Sidang pleno yang kedua pula disampaikan oleh Penyelia Projek Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Serantau Asia-Pasifik dalam Pencegahan Demensia, Profesor Madya Dr. Ponnusamy Subramaniam dan Dr. Resshaya Roobini Murukesu tentang usaha APEC dalam mengurangi risiko demensia.

Mereka menerangkan tentang inisiatif yang dijalankan pihak APEC dengan menjalankan penyelidikan bersasar bagi mencegah dan mengurangkan risiko demensia selain membincangkan faktor yang berkaitan dengan demensia seperti cara hidup, makanan yang baik bagi perkembangan kognitif serta aktiviti sosial dan latihan kognitif.

Dr. Resshaya juga memberikan penekanan terhadap integrasi dalam memastikan kesejahteraan kognitif yang baik di samping merumuskan bahawa cara hidup yang sihat sejak muda adalah amat penting bagi pengurangan risiko demensia.

Sidang pleno seterusnya disambung oleh Profesor Dr. Karin Anstey dari University of New South Wales, Australia yang berkongsikan tentang bukti kukuh dan inisiatif global untuk mengurangkan risiko demensia.

Menurut beliau, intervensi terkini dalam pengurusan demensia adalah seperti model FINGER yang memfokuskan model multidomain, iaitu pemakanan, senaman, latihan kognitif, aktiviti sosial dan pemantauan risiko vaskular.

Sementara itu, Pengarah Dementia Research Centre, National University Hospital, Singapura, Profesor Madya Dr. Nagaendran Kandiah menyampaikan ceramah yang bertajuk penilaian dan pemeriksaan kemerosotan kognitif dalam usaha mengurangkan risiko demensia.

Beliau berkongsikan tentang instrumen saringan dan pengesanan awal kemorosatan kognitif yang telah dijalankan di Singapura melalui fasiliti kesihatan primer.

Yang menariknya, Singapura telah mula menjalankan saringan biopenanda bagi mengesan risiko demensia pada awal usia yang diharapkan dapat membantu dalam pengesanan dan pencegahan demensia.

Seminar ini turut menampilkan beberapa pakar bidang, iaitu Profesor Dr. Tan Mew Pin (Universiti Malaya), Profesor Madya Dr. Rahimah Ibrahim (Universiti Putra Malaysia), Profesor Dr. Suzana Shahar (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan Profesor Dr. Shaun Lee Wen Huey (Universiti Monash) yang telah berkongsikan hasil kajian Geran Penyelidikan Jangka Masa Panjang (LRGS) AGELESS Study (Cognitive Frailty).

Pakar bidang (dari kiri ) Dr. Francesca Mangialasche, Prof. Madya Dr. Ponnusamy Subramaniam, Profesor Dr. Kaarin Anstey, Profesor Madya Dr. Nagaendran Kandiah dan Profesor Dr. Suzana Sahar yang terlibat dalam Seminar Empowering Independency Among Older Adults in The Community di Zecon Hotel & Convention Centre, Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia, hari ini.

Seminar diakhiri dengan pembentangan peserta program di bawah tiga tema, iaitu Penyelidikan Translasi, Inovasi dan Kesihatan Digital dan Penemuan Baharu dalam Makmal.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.