19 Mei 2023, 11:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini sehinggakan terdapat kawasan yang merekodkan suhu maksimum harian setinggi 37 darjah Celcius seperti yang melanda kebanyakan negeri di wilayah utara dan pedalaman wilayah timur Semenanjung Malaysia semakin mendatangkan ketidakselesaan dan menyebabkan kemudaratan kesihatan kepada masyarakat.

Pemanasan permukaan bumi akibat sinaran matahari yang terik dan taburan hujan yang kurang akibat tempias gelombang haba yang melanda kawasan Asia Tengah telah memberikan risiko dehidrasi, kekejangan otot, kelesuan haba dan strok haba kepada rakyat Malaysia. Situasi ini terus menjadi isu yang hangat diperbincangkan pada masa ini yang turut menyebabkan amaran daripada saintis bahawa tahun 2023 boleh mencatatkan rekod haba baharu di seluruh dunia.

Menurut Pakar Klimatologi dan Felo Akademi Sains Malaysia (ASM), Dr. Fredolin Tajudin Tangang yang menjelaskan situasi ini dalam laporan yang dikeluarkan oleh Berita Harian baru-baru ini, keadaan ini berlaku akibat rantau benua maritim yang merangkumi Malaysia dan Indonesia didominasi dengan keadaan tekanan tinggi atmosfera berskala besar yang boleh dicirikan dengan keadaan perolakan terhalang dan ketiadaan banyak litupan awan.

Kekurangan litupan awan meningkatkan pancaran matahari ke permukaan bumi, sekali gus meningkatkan suhu. Kekurangan taburan hujan juga mengurangkan kesan penyejukan daripada penyejatan, selain angin yang lemah dan arah yang tidak menentu semasa musim peralihan monsun turut menyebabkan angkutan haba ke kawasan lain kurang dominan dan menjadikan keadaan panas berlanjutan.

Walau bagaimanapun, menurut ramalan Pusat Ramalan Iklim di Amerika Syarikat, pusat tekanan tinggi yang mencirikan perolakan terhalang ini sedang bergerak ke timur dalam beberapa hari lagi dan digantikan dengan pusat tekanan rendah yang akan menggalakkan perolakan meningkat. Keadaan ini berpotensi meningkatkan taburan hujan dan ribut petir.

Sementara itu, dijangkakan keadaan cuaca apabila memasuki Jun akan menjadi lebih kering dan panas disebabkan oleh kehadiran monsun barat daya. Lebih membimbangkan, El Nino kuat diramalkan berlaku.

Pusat ramalan iklim APEC Climate Center di Busan, Korea Selatan meramalkan kebarangkalian El Nino akan berlaku bermula Jun adalah melebihi 90 peratus. Seperti fenomena El Nino yang dialami sebelum ini, keadaan di Malaysia dan Indonesia akan menjadi lebih kering dan panas bermula Jun hingga Oktober. Di utara Semenanjung, Sarawak dan Sabah juga biasanya akan didominasi keadaan kering dan panas di penghujung fenomena El Nino, iaitu pada Januari hingga April 2024.

Berdasarkan rekod setakat tahun 2015, El Nino pernah melanda negara sebanyak 12 kali dan kejadian yang paling teruk ialah pada tahun 1997 hingga tahun 1998 apabila catatan suhu tertinggi, iaitu 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998. Oleh hal yang demikian, El Nino bukan lagi asing bagi masyarakat negara ini.

El Nino berasal daripada perkataan bahasa Sepanyol yang bermaksud anak lelaki dan istilah berkenaan digunakan buat pertama kali oleh nelayan di Peru sekitar tahun 1800. Secara mudahnya, El Nino membabitkan perubahan tekanan atmosfera dan suhu lautan, terutamanya di Lautan Pasifik.

Ketika El Nino berlaku, suhu permukaan laut meningkat di bahagian timur Lautan Pasifik, iaitu di perairan Columbia, Ecuador dan Peru yang disebabkan oleh kemasukan arus panas dari bahagian tengah dan barat Lautan Pasifik. Keadaan tersebut akan menyebabkan tiada perbezaan suhu air laut ketara antara timur dengan barat Khatulistiwa di Lautan Pasifik.

Fenomena ini jelas dilihat antara Disember hingga Februari, iaitu ketika musim sejuk di Hemisfera Utara. El Nino akan membawa jumlah hujan yang sangat tinggi di kawasan tertentu seperti di benua Amerika, Asia Timur dan Asia Selatan yang lazimnya akan menyebabkan banjir.

Sementara itu, kawasan seperti selatan benua Afrika, utara Australia, Indonesia dan Malaysia akan mengalami kemarau disebabkan cuaca panas dan kering yang melampau. Cuaca kering dan panas berpanjangan biasanya disusuli dengan  kebakaran hutan di kawasan tanah gambut yang sukar dipadamkan dan menyebabkan jerebu. Kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan juga berpotensi menyebabkan jerebu rentas sempadan sekiranya El Nino berlaku seperti diramalkan pada Jun ini.

Ketika El Nino melanda negara pada tahun 1997 hingga tahun 1998, cuaca yang kering dan panas melampau telah menyebabkan hampir 10 juta hektar hutan di Sumatera dan Kalimantan terbakar. Jerebu rentas sempadan ketika itu yang turut dianggap terburuk pernah berlaku dalam sejarah negara dan telah menyebabkan hampir seluruh negara seolah-olah diselubungi asap.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sesetengah kawasan pernah mencapai paras sangat berbahaya sehinggakan negara diisytihar darurat. Dalam tempoh antara Ogos hingga Oktober 1997, jerebu menyebabkan kerugian sebanyak RM802 juta kepada Malaysia. Jerebu yang menyebabkan pencemaran udara ini juga boleh mengundang penyakit berkaitan dengan pernafasan seperti asma, radang paru-paru, sakit tekak, sakit mata, batuk dan selesema.

Selain itu, keadaan cuaca yang lebih panas dan kering ketika El Nino menyebabkan vektor nyamuk dapat hidup dan matang dengan lebih cepat serta memendekkan tempoh pengeraman virus. Hal ini turut menjadikan nyamuk lebih aktif dan meningkatkan frekuensinya untuk menggigit mangsa selain penyebaran virus denggi menjadi lebih luas. Keadaan ini dikatakan menyumbang kepada peningkatan kes demam denggi sebanyak 50 peratus.

Kemarau akibat El Nino pula memaksa masyarakat menakung air bagi menampung bekalan air harian, sekali gus meningkatkan lagi tempat pembiakan nyamuk aedes. Selain denggi, penyakit lain seperti taun, untut dan malaria boleh merebak disebabkan oleh peningkatan suhu.

Musim panas dan kering turut menyebabkan penyusutan air ketara di kawasan tadahan air seperti empangan, tasik dan kolam akibat kadar sejatan yang tinggi dan tiada hujan. Pengalaman ketika El Nino melanda pada tahun 1997 hingga tahun 1998 cukup memeritkan, terutamanya bagi penduduk di Lembah Klang apabila kira-kira 1.8 juta orang terpaksa berdepan dengan catuan air selama enam bulan.

Pada tahun 1998, sebanyak 4.2 juta pengguna di Lembah Klang terpaksa berkongsi sejumlah 2553 juta liter sehari. Apabila El Nino melanda, kegiatan harian manusia terjejas teruk dan hal ini secara tidak langsung turut memberikan kesan terhadap ekonomi.

Pada masa tersebut juga, negara di Asia Tenggara dilaporkan mengalami kerugian melebihi RM34 bilion. Dari segi pertanian, kemarau yang melanda akibat El Nino turut menjejaskan pengeluaran padi, buah-buahan serta sayur-sayuran yang banyak bergantung pada air.

Bukan itu sahaja, industri kelapa sawit di rantau ini yang juga sebagai pengeluar terbesar di dunia boleh terjejas hingga 15 peratus pengeluarannya sekiranya berlaku El Nino berpanjangan. El Nino turut berpotensi menjejaskan ekosistem marin dengan memusnahkan plankton selaku makanan utama kepada hidupan laut, sekali gus menjejaskan industri perikanan dan sumber protein utama negara.

Oleh hal yang demikian, pihak berkuasa dan orang ramai disarankan melakukan persediaan awal bagi menghadapi fenomena tersebut dan mengambil langkah sewajarnya untuk meminimumkan impak El Nino kali ini. Orang ramai perlu bersedia dari sudut mental dan fizikal bagi menghadapi sebarang kemungkinan seperti krisis air yang menyebabkan langkah seperti catuan air di sesetengah kawasan mungkin terpaksa dilakukan.

Sebagai kesimpulannya, masyarakat tidak boleh mengambil ringan tentang risiko cuaca panas. Strok haba hingga mengakibatkan kematian jarang-jarang berlaku di Malaysia, namun dalam keadaan cuaca panas, masyarakat perlu lebih berhati-hati, terutamanya golongan berisiko.

Bagi individu yang tidak biasa dengan cuaca panas, mereka berisiko lebih tinggi untuk terkesan dengan perubahan cuaca kerana badan akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan suhu yang mendadak.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), antara tahun 1998 hingga tahun 2017, sebanyak 166 ribu orang dilaporkan meninggal dunia akibat suhu ekstrem, termasuklah lebih 70 ribu orang meninggal dunia ketika gelombang panas di Eropah.

Di Malaysia pula, hingga 13 Mei 2023, Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan sebanyak 14 kes berkaitan dengan cuaca panas pada tahun ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.