Oleh Firdaus Mul
1 Mei 2023, 22:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Strok haba bukanlah situasi yang boleh dipandang ringan. Walaupun kes ini merupakan kes terpencil di Malaysia, namun penyakit kepanasan yang teruk ini mampu mengundang kematian.

Hal ini turut dijelaskan secara terperinci oleh Pakar Perubatan Keluarga, Jabatan Perubatan Rawatan Utama, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr. Megat Mohamad Amirul Amzar dalam temu bual rancangan Selamat Pagi Malaysia, baru-baru ini.

Menurut beliau, cuaca yang terlalu panas akan menyebabkan badan manusia gagal untuk menyejukkan semula badan.

Kesannya, badan akan mengalami kekurangan air, kekeringan dan menyebabkan fungsi badan menjadi tidak normal. Apabila badan mencapai tahap strok haba, keadaan tersebut boleh mengakibatkan kematian.

Pakar Perubatan Keluarga, Jabatan Perubatan Rawatan Utama, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr. Megat Mohamad Amirul Amzar dalam temu bual rancangan Selamat Pagi Malaysia ini yang membincangkan topik ‘”Strok Haba”, baru-baru ini.

Beliau menerangkan bahawa antara gejala bagi strok haba ialah badan mengeluarkan peluh yang keterlaluan.

“Apabila badan mengeluarkan peluh yang sangat banyak, air dalam badan semakin berkurangan. Individu berkenaan akan mula rasa pening dan sakit kepala, kejang, dan selepas itu akan rasa haus yang teramat sangat. Tetapi bila individu berkenaan membiarkan diri terus berada dalam persekitaran yang panas, suhu badan akan naik mendadak,” jelasnya.

Apabila badan tidak lagi mampu berpeluh, protein dan enzim dalam badan tidak berfungsi dengan normal dan akhirnya seseorang itu akan muntah, rasa pening dan boleh menyebabkan pengsan dan tidak sedarkan diri.

“Yang paling berisiko tinggi ialah kanak-kanak kerana mereka tidak mempunyai regulasi peluh seperti orang dewasa dan kadangkala, mereka juga tidak menyedari bahawa kadang-kadang dirinya merasa tidak selesa, ” tegas beliau lagi.

Selain itu, antara golongan yang turut berisiko tinggi terkena strok haba termasuklah golongan yang berusia, ibu mengandung, ibu yang menyusukan anak, dan golongan mempunyai penyakit kronik, terutamanya mereka yang menghidap penyakit buah pinggang dan penyakit jantung.

Apabila berada di luar rumah, pancaran cahaya matahari dengan suhu persekitaran yang tinggi sambil melakukan aktiviti fizikal yang aktif akan menyebabkan badan menjadi aktif, berpeluh lebih banyak dan badan kekurangan air. Keadaan seumpama ini meningkatkan risiko untuk mendapat strok haba.

Antara langkah pencegahan yang disarankan oleh beliau adalah dengan memastikan diri tidak terdedah dengan persekitaran yang terlalu panas.

“Sekiranya tidak perlu, jangan melakukan aktiviti fizikal di luar. Jika perlu, pastikan memakai pakaian yang terang kerana warna tersebut tidak menyerap haba selain memakai pakaian yang longgar supaya mempunyai ruang untuk angin yang dapat menyejukkan badan,” nasihatnya lagi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.