13 April 2023, 21:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Guru pelatih Pendidikan Khas Masalah Penglihatan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Klinik Optometri UKM di Jalan Raja Muda Abd Aziz, Kuala Lumpur bagi mendapatkan pendedahan tentang rehabilitasi untuk orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Sejajar dengan Dasar Inklusif OKU yang diperjuangkan oleh Malaysia, usaha dan kerjasama daripada semua profesion dalam memperkasakan golongan OKU termasuklah golongan yang menghadapi masalah penglihatan perlu dilakukan secara berterusan.

“Golongan kanak-kanak OKU penglihatan hanya berjumpa dengan optometris dalam sesi rehabilitasi yang berdurasi selama satu jam hingga dua jam sahaja, namun guru Pendidikan Khas akan berjumpa dengan mereka sepanjang tempoh persekolahan, maka adalah wajar untuk kita memberikan pendedahan asas mengenai optometri kepada guru berkenaan agar mereka lebih prihatin akan keperluan pelajar dan dapat memberikan sokongan semasa di dalam kelas” ujar Pegawai Optometri, UKM, Puan Siti Hanisah ketika sesi lawatan berkenaan.

Pegawai Optometri, UKM, Puan Siti Hanisah menerangkan komplikasi bahagian anterior mata dan tanda amaran yang memerlukan rujukan segera.

Lawatan tersebut memberikan pendedahan kepada guru pelatih tentang instrumen optometri yang digunakan untuk pemeriksaan kesihatan mata komprehensif, memahami prosedur pentaksiran penglihatan kanak-kanak serta diperkenalkan dengan beberapa jenis alat bantu penglihatan terhad yang digunakan untuk mengoptimumkan penglihatan.

Salah seorang guru pelatih Pendidikan Khas Masalah Penglihatan, Fakulti Pendidikan, UKM (kanan) sedang menguji teleskop monokular, iaitu alat bantu penglihatan terhad untuk kegunaan jauh.

Salah seorang guru pelatih yang menyertai lawatan ini, Puan Siti Nur Zulaikha Zaki berkata, “Melalui lawatan ini, kami dapat menimba ilmu pengetahuan dalam mengenal pasti tanda awal para pelajar OKU penglihatan yang perlu dirujuk untuk melakukan pemeriksaan lanjut.”

Guru pelatih Pendidikan Khas Masalah Penglihatan, Fakulti Pendidikan, UKM sedang menguji kanta pembesar berpemegang dengan bimbingan Pegawai Optometri, UKM, Puan Siti Hanisah.

Sebanyak enam orang pelajar tahun dua diiringi oleh seorang pengiring merangkap pensyarah Pendidikan Khas daripada Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, UKM, YBrs. Dr. Mohd Norazmi Nordin turut menyertai lawatan ini.

Pensyarah Pendidikan Khas daripada Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, UKM, YBrs. Dr. Mohd Norazmi Nordin menyampaikan cenderamata kepada Ketua Program Optometri dan Sains Penglihatan, UKM, YBrs. Dr. Zainora Mohammed.

Dalam memacu agenda pendidikan perlu dilaksanakan secara berterusan yang merangkumi semua golongan termasuklah golongan OKU, guru Pendidikan Khas memainkan peranan dan tanggungjawab utama dalam membentuk pelajar OKU agar mereka mampu berdikari dan memberikan sumbangan kepada negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.