5 April 2023, 15:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Hebahan mengenai ikan tilapia tidak selamat untuk dimakan dan menyebabkan penyakit seperti kanser melalui WhatsApp berbentuk poster adalah palsu yang ditularkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab bagi mengundang kebimbangan kepada pengguna di negara ini.

Dakwaan yang menyatakan bahawa ikan tilapia merupakan ikan yang tidak bertulang dan tiada kulit ialah satu dakwaan yang tidak berasas kerana terdapat negara yang menggunakan kulit tilapia untuk membuat dompet, tali, beg duit dan kasut.

“Usah mudah terpengaruh dengan hebahan palsu seperti ini kerana hal ini boleh menjejaskan industri akuakultur negara,” kata Ketua Pengarah Perikanan, YBhg. Dato’ Adnan Hussain dalam satu kenyataan.

 Jumlah pengeluaran ikan tilapia bagi tahun 2021 adalah sebanyak 37 609 tan metrik yang menyumbang kepada pendapatan negara sebanyak RM380 juta. Berdasarkan data daripada Perangkaan Tahunan Perikanan Tahun 2021, pengeluaran akuakultur ikan tilapia adalah antara penyumbang sekuriti makanan yang tertinggi selain ikan keli dan ikan patin.

Ikan tilapia merupakan ikan yang diternak dengan pemberian makanan rumusan ikan menggunakan sumber protein daripada ikan dan tumbuhan seperti terubah suai genetik (GM) soya dan jagung yang digunakan dalam makanan rumusan ikan bagi mengurangkan penggunaan tepung ikan serta mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa Norway dan European Union.

Setakat ini, tiada laporan berkaitan dengan kesan negatif kepada manusia yang memakan ikan tilapia yang diberikan makanan GM soya atau jagung dilaporkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), CODEX dan Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (USFDA) selaku organisasi yang bertanggungjawab dalam memastikan sama ada ikan tilapia adalah selamat ataupun tidak selamat dimakan oleh pengguna.

Dakwaan bahawa tilapia mengandungi dioksina, iaitu sejenis bahan sampingan yang terbentuk melalui hasil proses kimia juga sebenarnya boleh terhasil daripada kejadian semula jadi seperti letusan gunung berapi dan kebakaran hutan.

Situasi ini akan mengakibatkan ikan ternakan di dalam air yang tercemar dengan bahan ini akan berkumpul di dalam isi ikan tersebut, sama ada ikan tilapia mahupun jenis ikan yang lain.

Oleh hal yang demikian, pemilihan sesuatu kawasan ternakan yang bebas daripada bahan kimia adalah penting untuk mengelakkan ikan daripada tercemar dengan unsur bahaya.

Jabatan Perikanan juga telah memantau sebanyak 200 ladang akuakultur yang mempunyai sijil Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dan kawalan penyakit bagi menjamin kualiti pengeluaran sumber akuakultur di negara ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.