Oleh Firdaus Mul
28 Mac 2023, 16:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Peranti perubatan yang tidak berdaftar berisiko mendatangkan bahaya kepada pengguna berikutan kualiti dan keselamatannya tidak terjamin.

Apabila peranti perubatan telah berdaftar, hal ini bermakna peranti tersebut telah dinilai keselamatannya oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA).

“Jika pengguna menggunakan peranti perubatan yang murah dan tidak berdaftar, peranti berkenaan berkemungkinan memberikan bacaan yang tidak tepat dan menyebabkan kekeliruan kepada pengguna,” kata Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia, YBrs. Dr. Muralitharan Paramasua dalam sesi temu bual menerusi rancangan Jendela Fikir anjuran Bernama Radio, semalam.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia, YBrs. Dr. Muralitharan Paramasua ketika bersiaran dalam sesi temu bual menerusi rancangan Jendela Fikir anjuran Bernama Radio, semalam.

Jelas beliau, pengguna yang menggunakan peranti perubatan seperti alat ujian COVID-19 yang tidak berdaftar dan tidak menepati piawaian berisiko mendapat keputusan bacaan yang tidak tepat dan menyebabkan pengguna keliru, sama ada dirinya positif ataupun negatif COVID-19.

Berdasarkan Akta 737, semua peranti perubatan, syarikat yang menghasilkan, mengedarkan atau menjual peranti perubatan serta iklan yang digunakan untuk mengiklankan peranti perubatan perlu berdaftar dengan MDA.

“Pengguna yang melanggar mana-mana seksyen dalam Akta 737 dan didapati melakukan kesalahan, mereka boleh didenda hingga RM300 000 atau penjara selama tiga tahun ataupun kedua-duanya sekali,” ujar beliau lagi.

Orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada ketika membeli atau menggunakan peranti perubatan dengan memastikan setiap peranti perubatan yang ingin dibeli memiliki nombor kelulusan daripada MDA.

Pengguna boleh melakukan semakan peranti perubatan di laman sesawang MDA dan sebarang aduan yang berkaitan boleh dikemukakan dalam Sistem Pengurusan Maklum Balas MDA (FEMES) ataupun membuat panggilan telefon kepada MDA menerusi talian 03-8230 0300.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.