24 Mac 2023, 14:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Saringan awal penyakit tibi perlu dipergiatkan sebagai satu daripada inisiatif untuk meningkatkan kadar pengesanan kes tibi, terutamanya bagi golongan yang berisiko tinggi dijangkiti penyakit ini seperti kontak rapat kepada kes tibi, pesakit human immunodeficiency virus (HIV), pesakit buah pinggang kronik, pesakit pulmonari obstruktif kronik dan perokok aktif.

Jumlah kes tibi yang dilaporkan di Malaysia pada tahun lalu adalah sebanyak 25 391 kes dengan peningkatan sebanyak 3664 kes (17 peratus) berbanding dengan 21 727 kes pada tahun 2021.

Bersempena dengan Sambutan Hari Tibi Sedunia, Menteri Kesihatan Malaysia, YB Dr. Zaliha Mustafa berkata, “Sambutan ini dilaksanakan adalah untuk meningkatkan kesedaran, komitmen serta sokongan pelbagai pihak terhadap usaha kawalan dan pencegahan penyakit tibi yang dilakukan di seluruh negara.”

Sambutan Hari Tibi Sedunia yang bertemakan Yes! We Can End TB! ini memberikan inspirasi dan harapan kepada negara dalam usaha menamatkan epidemik tibi melalui pelibatan kepimpinan peringkat tertinggi menjelang tahun 2035 bagi meningkatkan pelaburan dan menggembleng seluruh usaha, tenaga, kepakaran dan inovasi.

Jumlah kematian tibi di negara ini pada tahun 2022 adalah sebanyak 2572 kematian berbanding dengan 2288 kematian pada tahun 2021, iaitu berlaku peningkatan kadar kematian sebanyak 284.

Kementerian Kesihatan Malaysia menyarankan agar semua pesakit sentiasa mematuhi jadual rawatan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang komplikasi yang boleh menyebabkan morbiditi dan mortaliti serta sokongan daripada ahli keluarga, majikan, rakan sekerja dan masyarakat sangat penting bagi memastikan pesakit tidak berhenti dalam mendapatkan rawatan.

Pesakit yang enggan atau berhenti daripada meneruskan rawatan boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Bagi mencapai hasrat negara dalam menamatkan penyakit tibi menjelang tahun 2035, stigma negatif terhadap pesakit tibi dan salah faham berkaitan dengan penyakit ini perlu dihentikan serta komitmen yang tinggi daripada anggota kesihatan di samping kerjasama yang erat dari semua agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan amat diperlukan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.