7 Mac 2023, 13:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Suatu program penyelidikan untuk menilai tahap keupayaan memahami dan menghasilkan pertuturan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam kalangan warga emas berbangsa Melayu telah diadakan di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Cawangan Wangsa Maju yang terletak di PPR Gombak Setia, semalam.

Program penyelidikan tersebut telah dilaksanakan oleh sekumpulan penyelidik dari Makmal Afasia@Universiti Kebangsaan Malaysia yang diketuai oleh Dr. Fatimah Hani Hassan.

Sebanyak 15 orang ahli PAWE Wangsa Maju yang memiliki keupayaan bertutur dalam dwibahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris telah terpilih untuk menjalani penyelidikan tersebut.

Sesi taklimat program penyelidikan pertuturan di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Cawangan Wangsa Maju.

Menurut Pengerusi PAWE Wangsa Maju, Encik Abdullah bin Talip, beliau menggalakkan pelibatan golongan warga emas dalam aktiviti yang merangsangkan minda dan kesihatan.

Kami sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelbagai pihak, termasuklah badan kerajaan dan bukan kerajaan yang mempunyai usaha ke arah kesejahteraan golongan warga emas.

Golongan warga emas mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami masalah neurologi seperti strok dan demensia. Individu dengan gangguan neurologi sering mengalami keadaan kurang atau hilang keupayaan berbahasa yang mengganggu fungsi komunikasi mereka dengan orang lain. Gangguan ini dikenali sebagai afasia.

Memandangkan masyarakat Malaysia rata-ratanya mempunyai keupayaan menggunakan lebih daripada satu bahasa, penyelidikan yang berfokuskan keupayaan dwibahasa adalah penting untuk dijalankan di negara ini.

Pembantu penyelidik menjalankan penilaian bahasa.

Usaha penyelidikan ini merupakan langkah awal bagi memahami fungsi otak dalam memproses input dan output dwibahasa dalam kalangan individu yang tidak mempunyai sebarang gejala neurologi.

Pemberian sagu hati kepada peserta program.

Kefahaman terhadap sistem pemprosesan dwibahasa membantu terapi pertuturan dan bahasa melakukan penilaian dan membentuk rawatan yang berkesan untuk individu yang mengalami afasia dan hidup dalam masyarakat pelbagai bahasa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.