3 Mac 2023, 15:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Rencana ini disediakan bersempena dengan Hari Pendengaran Sedunia yang disambut pada 3 Mac 2023.

Kesihatan pendengaran merujuk keupayaan seseorang itu untuk mendengar dan memproses bunyi. Kesihatan pendengaran yang baik adalah penting untuk seseorang itu mempunyai komunikasi dan interaksi sosial yang berkesan di samping mempunyai kualiti hidup yang baik. Kehilangan pendengaran, tinitus (bunyi berdengung) dan masalah berkaitan pendengaran yang lain boleh memberikan kesan kepada keupayaan seseorang untuk berfungsi dan menikmati kehidupan.

Terdapat beberapa faktor yang boleh menjejaskan kesihatan pendengaran seperti kecenderungan genetik, pendedahan kepada bunyi yang kuat, penuaan, ubat-ubatan tertentu dan masalah perubatan seperti diabetes dan penyakit kardiovaskular. Untuk mengekalkan kesihatan pendengaran yang baik, seseorang itu perlu melindungi telinga daripada bunyi yang kuat, menjalani pemeriksaan pendengaran secara berkala dengan pegawai pemulihan pendengaran (pegawai audiologi) dan mendapatkan rawatan perubatan segera jika mengalami sebarang gejala berkaitan pendengaran.

Kesihatan pendengaran adalah penting untuk semua peringkat umur, termasuklah remaja. Pendengaran yang baik adalah penting untuk remaja kerana hal tersebut membolehkan mereka berkomunikasi dengan berkesan yang mnjadi keperluan untuk mereka bersosial dengan rakan sebaya dan membina hubungan. Pendengaran yang baik juga perlu untuk mereka berjaya dalam akademik, pembangunan kemahiran hidup yang berguna dan pengekalan kesihatan mental yang baik kerana masalah pendengaran boleh menyebabkan mereka mudah berasa terasing.

Remaja berada dalam fasa penerokaan, yakni mereka sedang mencari identiti sendiri dan pengalaman baharu. Sesetengah remaja mungkin terlibat dalam tingkah laku berisiko akibat tekanan daripada rakan sebaya ataupun keinginan mereka untuk meneroka pengalaman baharu walaupun tindakan tersebut mungkin berbahaya atau menyalahi undang-undang. Satu daripada cara mereka boleh melakukan ini adalah dengan mendengar muzik yang kuat atau melibatkan diri dalam aktiviti yang melibatkan bunyi yang kuat seperti parti atau konsert.

Terdapat beberapa faktor remaja tertarik kepada bunyi yang kuat. Pertama, bunyi yang kuat boleh menarik dan merangsang minat remaja yang mencari pengalaman baharu dan menarik. Selain itu, bunyi yang kuat seperti muzik khususnya, boleh menjadi cara yang berkesan bagi remaja meluahkan perasaan mereka sebagai cara untuk berhubung dengan rakan dan menyampaikan emosi. Muzik yang kuat juga boleh membantu menghalang gangguan bunyi daripada persekitaran dan mewujudkan rasa privasi. Hal ini boleh membantu remaja berasa tenang dan memainkan peranan yang penting bagi kesihatan mental mereka.

Bunyi yang keterlaluan dan berterusan seperti muzik di konsert merisikokan seseorang itu untuk mengalami masalah pendengaran.

Peranti pendengaran peribadi seperti fon kepala dan fon telinga boleh memberikan kesan negatif kepada pendengaran. Peratusan penggunaan peranti ini dalam kalangan remaja semakin tinggi semasa dan selepas pandemik COVID-19. Lebih-lebih lagi dengan meningkatnya penggunaan peranti seperti iPod, iPad atau komputer riba bagi tujuan akademik dan juga sosial. Pendedahan berpanjangan kepada muzik atau bunyi yang kuat melalui peranti ini boleh menyebabkan kerosakan pendengaran, termasuklah kehilangan pendengaran dan tinitus.

Penggunaan fon kepala yang terlalu lama boleh merosakkan deria pendengaran.

Telinga manusia berupaya mengawal dan melindungi organnya daripada bunyi yang kuat sehingga tahap tertentu sahaja. Pendedahan kepada bunyi yang tinggi untuk jangka masa panjang boleh merosakkan sel rambut halus di telinga dalam. Hal ini merisikokan seseorang itu untuk mendapat kehilangan pendengaran kekal.

Kajian menunjukkan bahawa remaja yang kerap menggunakan peranti pendengaran peribadi pada kekuatan bunyi yang tinggi berisiko untuk mengalami kehilangan pendengaran, tinitus dan masalah berkaitan pendengaran yang lain akibat bunyi bising.

Tambahan pula, remaja yang kerap menggunakan alat pendengaran peribadi juga mungkin mengalami keletihan pendengaran (hearing fatigue) yang merujuk telinga menjadi letih dan kurang sensitif terhadap bunyi. Keadaan tersebut juga menjadikan seseorang itu sukar untuk mendengar bunyi yang lebih lembut. Hal ini boleh menyebabkan keperluan untuk meningkatkan kekuatan bunyi yang lebih tinggi lalu mewujudkan satu kitaran yang meningkatkan risiko kerosakan pada organ pendengaran.

Untuk melindungi pendengaran, remaja harus digalakkan untuk mengikuti amalan mendengar yang selamat seperti mengekalkan kekuatan bunyi pada tahap sederhana, berhenti rehat daripada menggunakan peranti secara berkala dan menggunakan fon kepala yang mempunyai pembatalan hingar (noise-cancelling). Tindakan ini akan mengurangkan keperluan untuk mendengar pada kekuatan bunyi yang tinggi.

Ibu bapa dan penjaga juga berperanan penting untuk mendidik remaja tentang risiko pendedahan berpanjangan kepada bunyi yang kuat dan memantau tabiat mendengar mereka. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan untuk mengekalkan kekuatan bunyi di bawah 60 peratus daripada paras maksimum dan mengambil rehat yang kerap untuk membolehkan telinga berehat.

Secara keseluruhannya, remaja harus mengetahui risiko kepada kesihatan pendengaran mereka dan mengambil langkah yang sewajarnya untuk melindungi telinga mereka apabila perlu seperti memakai penyumbat telinga atau menjaga jarak yang selamat daripada pembesar suara. Tindakan berjaga-jada ini boleh membantu mereka mengekalkan pendengaran yang baik sehingga dewasa. Mereka juga perlu cakna bahawa jika mereka mengalami sebarang gejala berkaitan pendengaran, mereka perlu memaklumkan kepada ibu bapa untuk mendapatkan penilaian pendengaran awal dan intervensi awal jika diperlukan.

Dr. Nik Adilah Nik Othman, Pensyarah Perubatan dan Perunding Pakar Otorinolaringologi – Pakar Bedah Kepala dan Leher, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.