22 Februari 2023, 11:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Fenomena laut terbelah berlaku lagi pada hari Selasa dan Rabu minggu ini di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi susulan fenomena air surut penuh. Kejadian tahunan ini dinamakan sebegitu kerana kewujudan beting pasir hingga menampakkan laut seolah-olah terbelah dua.

Fenomena laut terbelah ini membo­lehkan pengunjung pantai tersebut berjalan kaki merentasi beting pasir, seolah-olah seperti berjalan di atas lautan sejauh 600 meter hingga ke Pulau Penyu, Pulau Kelam Baya dan Pulau Cabang. Beting pasir yang terbentuk lebih kurang satu meter itu seolah-olah membentuk jambatan yang menghubungkan kawasan pantai menuju ke pulau tersebut.

Selain itu, pengunjung dapat menyaksikan pelbagai hidupan laut yang biasanya ha­nya ditemukan ketika melakukan selam skuba seperti ikan sebelah, cacing laut, ketam dan pena laut. Pengunjung juga dapat menyaksikan sendiri tapak sulaiman berkaki lapan yang biasanya turut terdampar di beting pasir tersebut.

Walau bagaimanapun, pengunjung hanya mempunyai masa selama sejam untuk berada di beting pasir tersebut sebelum air laut kembali pasang semula. Namun demikian, masa selama sejam itu sudah memadai untuk pengunjung mengabadikan kenangan dengan mengambil gambar di kawasan laut terbelah tersebut.

Fenomena unik yang hanya berlaku pada Februari ini menjadikan kawasan ini menjadi tumpuan ramai dari dalam dan luar pulau peranginan itu yang berpusu-pusu mengambil kesempatan untuk merasai suasana berjalan di tengah laut. Fenomena air surut penuh turut berlaku di beberapa kawasan pantai lain seperti di Pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor di Perak dan Pantai Mek Mas, Kuala Besar di Kelantan.

Bagi masyarakat setempat, mencari hidupan laut dan ikan kecil ketika air surut penuh menjadi sebahagian daripada aktiviti riadah yang menyeronokkan. Aktiviti ini biasanya dilakukan dengan menggunakan penyauk ikan sambil berjalan di sekitar kawasan air cetek ketika musim air laut surut besar di sepanjang pantai. Hasil yang boleh diperoleh termasuklah ikan nemo, landak laut dan anak udang kara untuk dijadikan hidupan peliharaan bagi penggemar ikan akuarium. Fenomena ini juga turut memberikan kesempatan kepada penduduk untuk mencari gamat di celah-celah batu karang.

Air surut penuh ialah kejadian air pasang surut yang boleh dikatakan antara kekuatan alam semula jadi yang paling unggul di planet bumi. Pasang surut ialah kejadian naik dan turun paras air di lautan yang bersilih ganti. Kejadian air pasang surut terbentuk akibat tindak balas lautan terhadap daya graviti yang dijana ketiga-tiga objek cakerawala, iaitu bumi, bulan dan matahari.

Kejadian pasang dan surut air dicetuskan oleh daya graviti bulan dan matahari yang bertindak ke atas perairan bumi. Kekuatan daya graviti itu akan berubah apabila kedudukan relatif bumi, matahari dan bulan berubah. Hal ini dapat dilihat dengan jelas semasa berlaku terbit dan terbenamnya matahari dan bulan, fasa bulan dan musim yang berubah sepanjang tahun. Perubahan ini bersifat kitaran, yakni berulang dari semasa ke semasa dan mempunyai kesan yang dapat diukur. Walaupun matahari turut mempengaruhi air pasang laut, namun bulan memainkan peranan yang lebih besar kerana jaraknya yang lebih dekat dengan bumi berbanding dengan matahari.

Aspek kekuatan dan arah tarikan graviti merupakan mekanisme yang menyebabkan titisan molekul air digerakkan dan menghasilkan fenomena ini. Walau bagaimanapun, hal ini turut bergantung pada lokasi sesuatu objek di permukaan bumi.

Air akan pasang dan surut sebanyak dua kali sehari dalam masa 24 jam, yakni membawa perubahan air pasang dan surut pada setiap 12 jam. Perubahan gelombang air ini juga boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu pasang surut perbani dan pasang surut anak.

Istilah pasang surut perbani atau air pasang besar berasal daripada konsep pasang surut dalam bahasa Inggeris yang bermaksud muncul ke hadapan. Pasang surut perbani berlaku sebanyak dua kali setiap bulan pada sepanjang tahun. Air pasang surut ini terjadi akibat berlakunya fasa bulan purnama dan fasa anak bulan.

Pada masa yang sama, bulan, bumi dan matahari berada pada garisan yang selari. Pada waktu fasa bulan purnama, bumi akan berada di antara bulan dengan bumi, manakala sewaktu anak bulan muncul, bulan akan berada di antara matahari dengan bumi. Pasang surut juga akan menjadi lebih kuat berbanding dengan kelazimannya kerana graviti matahari “ditambahkan” sedikit ke zon graviti bulan dan bumi yang menyebabkan pasang surut ini berlaku.

Pembentukan pasang surut anak pula berkait rapat dengan kedudukan bulan yang berada pada kedudukan 90 darjah dengan matahari. Pasang surut ini berlaku apabila bulan dan matahari berada pada kedudukan sudut tepat, maka graviti daripada bulan dan matahari akan bertentangan dan menyebabkan “bonjol” air laut menjadi lebih kuat. Air pasang akan menjadi lebih tinggi dan air surut akan menjadi lebih surut berbanding dengan keadaan biasa. Pasang surut anak akan berlaku selepas tujuh hari terjadinya pasang surut perbani.

Pasang surut yang berlaku di pesisiran pantai boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu pasang menyurut dan pasang banjir yang merujuk arus yang dibawa oleh pasang surut tersebut. Pasang menyurut berlaku apabila arus air yang mengalir bergerak menuju ke lautan, manakala pasang banjir merujuk arus air yang mengalir bergerak menuju ke daratan.

Air surut penuh yang berlaku di kawasan pantai ialah pasang menyurut. Ketika ini, pinggir air di kawasan pantai akan mengalir jauh ke tengah laut lalu menjadikan pantai lebih kecil. Bulan dan matahari melakukan tindakan graviti di bumi yang menjadikan jisim air ini bergerak secara kitaran.

Kadangkala, daya tarikan graviti bertindak bersama-sama inersia yang dihasilkan oleh gerakan putaran bumi dan air surut penuh berlaku dengan lebih ketara. Oleh sebab kedekatan bulan dengan bumi, tindakan yang dihasilkannya pada jisim air lebih besar daripada matahari.

Fenomena air pasang surut adalah antara konsep semula jadi yang masih sukar untuk difahami dengan sepenuhnya kerana kejadian ini bukan sahaja merangkumi aspek fizik, malah konsep matematik juga diambil kira untuk menjelaskan hubungan antara graviti bumi dengan bulan dan mekanisme yang berlaku di laut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.