Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangAlor Star – Makmal MCMC-UUM MakerSpace, Pusat Pengajian Pengkomputeran, Universiti Utara Malaysia (UUM) terlibat dengan pembangunan aplikasi Internet benda (IoT) di Sekolah Kebangsaan Telaga Mas, Pokok Sena, Kedah baru-baru ini.
Felow Makmal MCMC-UUM MakerSpace, Suwannit Chareen Chit Sop Chit berkata, “Dalam projek ini, kami membangunkan aplikasi penyiraman sayur-sayuran yang dikawal dengan menggunakan telefon bimbit. Pembangunan projek ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan kesedaran berkaitan dengan teknologi IoT kepada warga SK Telaga Mas, khususnya guru dan pelajar tahap dua di sekolah tersebut.”
“Kini, warga SK Telaga Mas tidak perlu datang ke sekolah untuk menyiram sayur-sayuran seperti cili, bendi dan terung secara fizikal tetapi dapat mengawal penyiraman terus dari rumah melalui sambungan Internet,” ujarnya lagi.
Sistem penyiraman yang diperkenalkan ini menggunakan takungan air hujan yang dikumpulkan dari bangunan surau yang berhampiran dan air penyaman udara sekali gus menjimatkan penggunaan air di sekolah berkenaan.
Selain itu, pihak makmal MCMC-UUM MakerSpace turut menyediakan bekas untuk menghasilkan baja kompos yang boleh digunakan untuk membaja sayur-sayuran yang ditanam. Melalui sistem ini, sampah organik di sekolah dapat dikitar semula. Kelestarian ini bukan hanya meliputi penjagaan alam sekitar, malah merangkumi aspek pendidikan, sains dan keusahawanan.
Sementara itu, Guru Besar SK Telaga Mas, Puan Farahida Omar menyatakan bahawa program yang diperkenalkan ini bukan sahaja dapat memupuk inovasi dalam kalangan guru dan pelajar, malah konsep pertanian pintar dapat diajarkan kepada mereka.
Bekas tanaman yang digunakan terdiri daripada bahan yang dikitar semula seperti botol sabun pencuci, manakala sisa makanan dan tumbuh-tumbuhan dijadikan sebagai kompos.
Pada masa yang sama, pelajar tahun akhir program Sarjana Teknologi Maklumat, Sangetha Sandram yang menyertai program ini berpendapat bahawa program seumpama ini sangat bermakna bukan sahaja kepada dirinya, malah dapat membantu komuniti pelajar di negeri Kedah khususnya agar melibatkan diri dengan aktiviti luar selain penumpuan utama diberikan dalam bidang akademik.