13 Februari 2023, 12:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gempa bumi ialah pergerakan mengejut permukaaan bumi yang disebabkan oleh pergerakan batuan di sepanjang garis sesar atau atas persempadanan plat tektonik. Garis sesar ialah rekahan atau zon rekahan pada batuan atau permukaan bumi yang telah mengalami pergeseran akibat pergerakan antara dua blok yang mempunyai arah pergerakan yang berlainan.

Sesar boleh dibahagikan kepada tiga kelompok utama, iaitu sesar normal, sesar songsang dan sesar mendatar. Sesar normal terjadi apabila dinding tergantung (hanging wall) relatif bergerak ke bawah terhadap foot wall, manakala sesar songsang berlaku apabila dinding tergantung relatif bergerak naik terhadap foot wall. Sesar mendatar pula merujuk pergerakan antara dua blok pada arah yang berlainan secara mendatar.

Plat tektonik ialah segmen keras kerak bumi yang disokong oleh bahan leburan yang dikenali sebagai magma di bawahnya. Disebabkan ini, plat tektonik bebas untuk menggelongsor antara satu sama lain.

Pergerakan antara plat tektonik tidak berlaku secara perlahan-lahan, sebaliknya pergeseran antara tanah dengan batu yang membentuk sempadan plat tektonik ini menyebabkan pergeseran itu berlaku secara tersentak-sentak. Pergerakan inilah yang menyebabkan berlakunya gempa bumi dan mengakibatkan daratan dan dasar lautan secara perlahan-lahan dibawa ke arah kedudukan baharu.

Sempadan plat ditandakan melalui lingkaran gempa bumi dan rangkaian gunung berapi. Antara plat utama yang melitupi seluruh kerak sfera bumi termasuklah Plat Afrika, Plat Antartika, Plat Indo-Australia, Plat Eurasia (meliputi Asia dan Eropah), Plat Amerika Utara (meliputi Amerika Utara dan Siberia timur laut), Plat Amerika Selatan dan Plat Pasifik. Di samping aktiviti pergerakan batuan, gempa bumi juga boleh terjadi akibat aktiviti gunung berapi.

Terdapat beberapa kaedah untuk mengukur ciri tertentu bagi kejadian gempa bumi, iaitu magnitud dan intensiti. Magnitud ialah ukuran kekuatan gempa bumi secara relatif berdasarkan rekod pergerakan maksimum seismograf, iaitu alat untuk merakam dan mengukur kekuatan gempa bumi. Semakin besar saiz kekuatan gempa bumi, semakin besar kemusnahan yang dibawa.

Intensiti pula ialah nombor bagi menjelaskan kesan sesuatu gempa bumi di permukaan bumi terhadap manusia, struktur binaan atau bangunan dan alam sekitar. Nombor yang digunakan ialah angka roman.

Intensiti gempa bumi diukur berdasarkan Skala Modified Mercally Intensity (MMI). Skala MMI dibangunkan oleh ahli seismologi, Harry Wood dan Frank Neumann pada tahun 1931. Skala MMI dipengaruhi oleh faktor magnitud gempa bumi, faktor jarak dari pusat gempa dan keadaan geologi.

Skala MMI juga merujuk reaksi utama seperti manusia terjaga daripada tidur, pergerakan perabot, keretakan pada struktur dinding hinggalah kerosakan yang menyeluruh. Yang berikut ialah skala MMI bagi gempa bumi:

Intensiti I – Gegaran tidak dirasai kecuali dalam keadaan tertentu oleh beberapa orang.

Intensiti II – Gegaran dirasakan oleh beberapa orang sahaja yang berada dalam keadaan pegun, terutamanya di tingkat atas bangunan tinggi. Objek ringan yang bergantungan akan bergoyang atau berayun.

Intensiti III – Gegaran dirasai nyata di dalam rumah atau bangunan tetapi tidak disedari sebagai getaran gempa bumi. Getaran seolah-olah seperti sebuah trak ringan bergerak dan jangka masa getaran boleh dianggarkan.

Intensiti IV – Gegaran dirasakan oleh ramai orang pada waktu siang dan malam, gegaran boleh menyebabkan beberapa orang terbangun. Tingkap, pintu dan pinggan mangkuk bergetar. Dinding kayu dan rangka bangunan berbunyi. Getaran seolah-olah seperti sebuah trak berat menghentam dinding.

Intensiti V – Gegaran dirasakan oleh hampir kebanyakan penduduk. Orang yang tidur boleh terjaga. Objek yang tidak stabil berubah tempat. Pintu berayun, terbuka dan tertutup. Bidai, bingkai gambar dan pokok bergoyang.

Intensiti VI – Gegaran dirasakan oleh semua penduduk. Kebanyakan orang terkejut dan berlari keluar dari bangunan. Berjalan dalam keadaan yang tidak stabil. Perabot bergerak dan berubah tempat, siling dan dinding retak. Kerosakan ringan berlaku.

Intensiti VII – Semua orang keluar dari rumah. Kerosakan ringan pada rumah dan bangunan yang dibina dengan struktur yang baik tetapi pada bangunan dengan struktur yang kurang baik akan terjadinya keretakan. Gegaran dirasai oleh orang yang menaiki kenderaan.

Intensiti VIII – Kerosakan pada bangunan yang mempunyai struktur yang kuat. Keretakan pada bangunan yang mempunyai struktur kurang baik. Dinding panel terkeluar daripada struktur rangka. Serombong dan monumen roboh. Air perigi atau kolam menjadi keruh. Orang yang menaiki kenderaan terganggu.

Intensiti IX – Kerosakan pada bangunan yang mempunyai struktur kuat. Rangka rumah menjadi tidak lurus dan banyak yang retak. Bangunan dan rumah berganjak dari lokasinya. Paip bawah tanah pecah.

Intensiti X – Kerosakan pada bangunan yang berstruktur kayu. Rangka bangunan dan rumah musnah. Terjadi rekahan di dalam tanah. Rel di landasan rosak. Tanah runtuh di kawasan yang curam dan berdekatan sungai.

Lingkaran Asia Pasifik ialah zon gempa bumi dunia. Hampir 90 peratus kejadian gempa bumi dunia berlaku di zon Lingkaran Api Pasifik. Tiada saintis mahupun agensi dalam dan luar negara dapat meramalkan kejadian gempa bumi. Gempa bumi juga tidak boleh dihalang atau dihenti.

Malaysia juga tidak terkecuali daripada ancaman gempa bumi. Malaysia telah merekodkan beberapa kejadian gempa bumi tempatan dan turut diancam gegaran akibat gempa bumi serantau. Gempa bumi kuat dengan magnitud 6.0 pernah berlaku di Ranau, Sabah pada 5 Jun 2015.

Selain itu, kedudukan Malaysia yang terletak berhampiran dengan dua sempadan pertembungan kepingan yang aktif keseismikannya, iaitu sempadan pertembungan antara Kepingan Indo-Australian dengan Kepingan Eurasian di sebelah barat dan sempadan pertembungan antara Kepingan Eurasian dengan Kepingan Laut Filipina di sebelah timur menyebabkan gegaran gempa bumi bermagnitud besar yang berpusat di sempadan pertembungan kepingan tersebut turut dirasai gegarannya di Malaysia.

Gegaran gempa bumi yang dirasai di pantai barat Semenanjung Malaysia adalah berpunca daripada gempa bumi bermagnitud besar yang berpusat di Sumatera dan Laut Andaman. Semenanjung Malaysia seperti di Bukit Tinggi, Jerantut, Temenggor, Kuala Pilah dan Malaysia Timur juga turut mengalami gempa bumi tempatan. Gempa bumi tempatan ini disebabkan wujudnya gelinciran atau garis sesar aktif di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Beberapa potensi garis sesar aktif yang telah dikenal pasti dilihat mempunyai hubungan dengan sesetengah kewujudan gempa bumi tempatan ini. Selain ancaman gempa bumi tempatan, Malaysia Timur juga terdedah kepada ancaman gegaran akibat gempa bumi yang berlaku di Filipina Selatan dan Sulawesi Utara.

Ancaman terbesar gempa bumi ialah kesan gegaran terhadap ketahanan struktur binaan buatan manusia. Runtuhan dan kerosakan struktur ini boleh menyebabkan kecederaan dan kematian. Mengimbau kembali impak gempa bumi yang berlaku di Ranau, Sabah lapan tahun lalu, 18 orang telah terkorban dengan kesemuanya direkodkan berlaku di Gunung Kinabalu.

Gegaran yang direkodkan berlaku sekitar 30 saat itu turut menyebabkan beberapa infrastruktur termasuklah 23 buah sekolah di enam buah daerah mengalami kerosakan. Rumah penginapan yang berhampiran dengan puncak gunung Kinabalu dan Masjid Besar Ranau antara yang mengalami kerosakan teruk. Gangguan bekalan air turut berlaku di Kundasang dan Ranau apabila beberapa batang paip dilaporkan pecah dan beberapa buah loji tadahan air turut mengalami kerosakan dan kebocoran pada tangki simpanan air.

Begitu jugalah situasi gempa bumi yang berlaku di wilayah Kahramanmaras, di selatan Turkiye, pada Isnin, 6 Januari lalu yang dianggap sebagai gempa bumi paling kuat sejak 1939. Lebih enam ribu struktur binaan runtuh dan berpuluh-puluh ribu orang telah terkorban setakat ini. Hingga kini, dilaporkan lebih 13 juta orang turut terjejas akibat gempa bumi yang berlaku.

Beberapa negara di rantau itu seperti Syria dan Lubnan dilaporkan turut merasai gegaran yang kuat dalam tempoh kurang 10 jam selepas gempa bumi itu berlaku. Sebagai rekod, gempa bumi yang paling kuat dicatatkan dalam sejarah adalah pada magnitud 9.5 yang pernah menggegarkan Chile pada tahun 1960. Empat tahun kemudian, gempa bumi dengan magnitud 9.1 pula melanda negeri Alaska, Amerika Syarikat. Tohoku di Jepun juga digegarkan dengan gempa bumi berukuran 9 skala Richter pada tahun 2011.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.