Oleh Firdaus Mul
28 Januari 2023, 15:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tulang dan sendi adalah komponen penting yang terdapat di dalam badan manusia yang memainkan peranan dalam pergerakan. Tanpa tulang dan sendi, adalah mustahil untuk manusia bergerak. Oleh sebab itulah, penjagaan kesihatan tulang dan sendi amat dititkberatkan, terutamanya pada usia muda agar apabila seseorang itu memasuki fasa berusia, tulang dan sendi masih mampu berfungsi seperti biasa dan hal tersebut memudahkan seseorang itu menjalani aktiviti sehariannya.

Menyentuh perihal kesihatan tulang dan sendi, baru-baru ini rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menampilkan Pakar Perunding Ortopedik di UiTM Private Specialist Centre, Dr. Khairul Nizam Rozali untuk berkongsikan perihal penyakit berkaitan dengan tulang dan sendi yang bertajuk “Osteoporosis dan Osteoarthritis: Pelanduk Dua Tak Serupa”.

Beliau memulakan perkongsiannya dengan menyatakan perkembangan pengetahuan masyarakat di Malaysia tentang istilah perubatan yang saban hari berkembang. Walau bagaimanapun, beliau mendapati bahawa terdapat individu yang belajar dan memahami sesuatu istilah perubatan melalui perkembangan teknologi melalui carian secara dalam talian ataupun media sosial dan tidak merujuk doktor yang betul.

Hal ini mengundang kepada pemahaman perubatan yang salah dalam kalangan pesakit. Misalnya, perbezaan antara istilah osteoporosis dan osteoarthritis. Hal ini benar-benar berlaku dalam kalangan masyarakat, sebagaimana yang saya hadapi sewaktu bertemu dengan pesakit di klinik saya,

Beliau melanjutkan perkongsiannya dengan menyentuh takrifan sebenar osteoporisis dan osteoarthritis. Menurutnya, walaupun bunyi sebutannya lebih kurang sama, namun kedua-dua penyakit berkenaan adalah berlainan.

Dr. Khairul Nizam Rozali menerangkan perbezaan antara osteoporosis dengan osteoarthritis.

Osteoporosis ialah perkataan yang berasal daripada Greek. Osteo merujuk tulang, manakala porosis ialah laluan atau rongga di dalam tulang. Tulang yang normal seharusnya mempunyai kepadatan tertentu yang ditentukan oleh dua faktor utama, iaitu keporosan dan kekuatan tulang.

Keratan rentas tulang yang membezakan antara tulang yang normal dengan tulang osteoporosis.

Beliau juga menerangkan bahawa antara langkah awal untuk mendiagnosis penyakit osteoporosis termasuklah dengan ujian sinar-X. Walau bagaimanapun, kaedah tersebut bukanlah cara yang tepat untuk mendiagnosis penyakit osteroposis kerana bersifat kualitatif.

“Oleh sebab itulah, diwujudkan ujian densitometri (kepadatan tulang). Ujiannya sama seperti sinar-X, namun radiasinya lebih rendah, mudah, tidak memerlukan proses mencucuk jarum ke dalam kulit dan pesakit berasa lebih selesa,” jelasnya lagi.

Osteoarthritis juga berasal perkataan daripada Greek, yakni osteo masih merujuk tulang, manakala arthritis berasal daripada perkataan árthron yang bermaksud sendi. Namun demikian, apabila keadan tersebut menjadi penyakit, perkataan tersebut ditambahkan dengan frasa “–itis”.

Tambah beliau lagi, terdapat tiga faktor utama yang menjadi risiko bagi penyakit osteoarthritis, iaitu umur (faktor yang tidak boleh diubah), obesiti dan pekerjaan.

Dalam rancangan ini juga, beliau menegaskan bahawa beliau tidak menolak dan menafikan rawatan tradisional untuk merawat kedua-dua penyakit berkenaan. Menurutnya, masyarakat juga perlu sedar, terutamanya rawatan bagi penyakit seperti osteoarthritis, perubatan moden adalah lebih terperinci dan sistematik berbanding dengan sesetengah rawatan lain seperti rawatan tradisional.

Beliau menyatakan harapan agar mereka yang menghidap penyakit tulang dan sendi seperti osteoporosis dan osteoarthritis untuk segera berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan. Bagi individu yang berhasrat untuk mencegah penyakit osteoarthritis, mereka boleh bermula dengan mengawal kekerapan penggunaan dan pergerakan kaki.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa jumlah pengambilan kalsium sebagai langkah pencegahan bagi kedua-dua penyakit berkenaan perlulah tepat. Hal ini dikatakan demikian kerana pengambilan kalsium secara tidak terkawal dan berlebihan akan mengakibatkan penyakit batu karang.

“Kehidupan perlu diteruskan. Saya tidak boleh kata disebabkan takut menghidap osteoarthritis, maka seseorang itu tidak mahu melakukan pergerakan menggunakan kaki. Saya bermaksud seseorang itu masih boleh menggunakan kaki seperti biasa, namun kadar kekerapan penggunaannya perlu berhati-hati. Prinsipnya sama seperti menggunakan pen, semakin banyak pen digunakan, semakin banyak dakwat akan berkurangan,” ujarnya menutup perbualan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.