Oleh Firdaus Mul
26 Januari 2023, 15:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Selain kesihatan fizikal, kesihatan mental juga seharusnya menjadi keutamaan bagi menjamin keberkesanan dan kelangsungan produktiviti kehidupan seharian seseorang. Penyakit kebimbangan ialah satu daripada penyakit mental yang boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja termasuklah kanak-kanak.

Menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, YBrs. Dr. Nursyuhaidah Mohd Kadri menerusi temu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia semalam, sistem badan manusia apabila berasa terancam ataupun berada dalam situasi tekanan secara semula jadi akan menyebabkan mekanisme pertahanan badan terus memberikan satu isyarat amaran kepada badan.

Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, YBrs. Dr. Nursyuhaidah Mohd Kadri ketika membincangkan topik penyakit kebimbangan.

Tindak balas yang berlaku kadangkala menjadi terlalu aktif. Penyakit kebimbangan ini adalah normal dalam suatu keadaan, misalnya ketika menduduki peperiksaan atau menghadiri temu duga. Seseorang yang berada dalam situasi ini akan berasa normal untuk merasai kebimbangan pada ketika itu. Namun begitu, jika selepas menghadiri temu duga atau menduduki peperiksaan tersebut, kebimbangan itu masih tidak hilang dan berterusan, keadaan ini adalah antara simptom penyakit kebimbangan.

Jelas beliau lagi, simptom lain berkenaan dengan penyakit kebimbangan juga boleh dilihat oleh orang lain melalui fizikalnya. Seseorang yang mengalami penyakit ini biasanya akan berdebar-debar, menggigil atau tangannya menjadi kebas serta mengganggu sistem penghadaman.

Oleh yang demikian, orang awam yang melihat simptom tersebut disarankan agar memberikan pertolongan cemas dengan segera. Beliau menyatakan bahawa terdapat tiga jenis pertolongan cemas awal yang boleh dipraktikkan, iaitu melihat, mendengar dan menghubungkan.

Pada masa yang sama, beliau turut berkongsikan dua faktor utama berlakunya penyakit kebimbangan, iaitu faktor persekitaran dan faktor biologi. Faktor persekitaran merujuk keadaan individu yang terlalu lama terdedah kepada tekanan, trauma dan penggunaan bahan terlarang seperti dadah dan rokok yang boleh meningkatkan risiko untuk menghidap penyakit kebimbangan.

Seterusnya, faktor biologi merujuk genetik atau individu yang menghidap penyakit kebimbangan ini mempunyai keturunan yang menghidap penyakit yang sama. Selain itu, personalitinya yang sangat pemalu, penakut atau selalu menginginkan kesempurnaan adalah antara punca yang boleh mengundang penyakit ini secara dalaman. Bahkan, terdapat juga masalah kesihatan yang boleh mencetuskan gejala kebimbangan seperti tiroid.

Dalam sesi temu bual itu juga, beliau berkongsikan perihal perkembangan keterbukaan masyarakat pada masa ini yang giat membincangkan hal berkaitan dengan kesedaran kesihatan mental.

“Melalui penilaian saya, perkembangan tersebut membawa kepada dua keadaan, iaitu mampu meningkatkan kesedaran umum berkenaan dengan kesihatan mental. Namun begitu, kejadian mereka-reka cerita tentang kesihatan mental untuk meraih publisiti seharusnya tidak berlaku. Hal ini dikatakan demikian kerana situasi ini boleh mengundang bahaya,” jelasnya.

Menurutnya lagi, apabila seseorang itu bukanlah pakar dalam bidang kesihatan mental tetapi mahu mendiagnosis diri sendiri sehingga melakukan rawatan berpandukan maklumat daripada Internet sahaja adalah tidak wajar. Tindakan yang seharusnya dilakukan jika mengalami simptom penyakit kebimbangan ini ialah berjumpa dengan pakar psikiatri untuk mendapatkan rawatan.

“Segala stigma negatif masyarakat terhadap individu yang menghidap penyakit mental, terutamanya penyakit kebimbangan ini diharapkan dapat dihilangkan dengan serta-merta. Selain mendapatkan rawatan daripada pakar psikiatri, penghidap penyakit ini juga memerlukan sokongan sosial daripada orang di sekelilingnya bagi membolehkan mereka pulih dengan segera,” jelasnya lagi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.