18 Januari 2023, 18:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia berharap agar Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA) terus memberikan sokongan terhadap pertubuhan serantau seperti Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan penubuhan pusat sokongan serantau dipertimbangkan bagi membolehkan sokongan dan kerjasama setempat dalam mempercepatkan usaha peralihan tenaga oleh negara di setiap rantau melalui pembinaan kapasiti dan sokongan teknikal.

Demikian menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Nik Nazmi Nik Ahmad ketika mengetuai delegasi Malaysia menghadiri Perhimpunan IRENA Sesi ke-13 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu baru-baru ini.

IRENA ialah agensi antara kerajaan yang memudahkan kerjasama dan menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, manakala Perhimpunan IRENA ialah badan pembuat keputusan tertinggi yang dianggotai oleh wakil dari negara anggota. Ahli IRENA terdiri daripada 168 buah negara termasuklah Malaysia yang menjadi ahlinya pada Disember 2010 selepas mendepositkan instrumen ratifikasi.

Dalam ucapannya juga, YB Nik Nazmi Nik Ahmad merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada IRENA kerana menjalankan kajian yang membangunkan Laporan Tinjauan Peralihan Tenaga Malaysia 2050 (METO) untuk menilai semula Perancangan Senario Tenaga Jangka Panjang sedia ada negara. Tujuannya adalah untuk mencapai sasaran tenaga pada masa hadapan yang lebih bercita-cita tinggi. Laporan METO ini dimaklumkan akan dilancarkan pada suku pertama tahun 2023.

Perhimpunan IRENA dihadiri oleh lebih 1700 perwakilan dari 140 negara anggota yang dipengerusikan oleh India sebagai Presiden Perhimpunan. Keutamaan perbincangan dalam perhimpunan ini adalah membincangkan tindakan kolektif yang mesti diambil oleh negara untuk mempercepatkan proses peralihan tenaga dengan segera dan berada pada landasan dengan matlamat Perjanjian Paris 1.5 Darjah Celsius sambil menjamin peralihan tenaga yang saksama dan inklusif.

Pada masa yang sama, beliau turut berkesempatan bertemu dengan rakan sejawatnya, Menteri Tenaga dan Infrastruktur Emeriah Arab Bersatu, TYT Suhail Mohamed Al Mazrouei dan Menteri Energi dan Sumber Daya Mineral Indonesia, TYT Arifin Tasrif semasa di sana.

Dalam pertemuan tersebut, beliau membincangkan kemungkinan kerjasama dua hala yang boleh diteruskan antara kedua-dua negara serta bertukar-tukar maklumat tentang pelbagai isu berkaitan dengan tenaga termasuklah langkah yang paling berdaya maju dalam peralihan sistem tenaga negara masing-masing.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.