5 Januari 2023, 19:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perubahan iklim merujuk perubahan jangka masa panjang terhadap iklim yang berlaku selama beberapa dekad, berabad-abad atau lebih lama disebabkan oleh peningkatan gas rumah hijau di atmosfera bumi yang semakin berleluasa dan impak daripada pembakaran bahan api fosil seperti arang batu, minyak dan gas asli.

Secara tidak langsung, situasi ini mengakibatkan kenaikan paras laut, perubahan pola ribut, perubahan arus laut, perubahan hujan, peleburan ais salji, haba yang melampau, kebakaran dan kemarau. Impak ini dijangkakan berterusan dan seterusnya akan mempengaruhi kesihatan manusia, infrastruktur, hutan, pertanian, bekalan air tawar, pantai dan sistem laut, malah kecukupan rantaian makanan turut terjejas.

Rentetan daripada perubahan iklim ini, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyahut cabaran dalam mengetuai penyelidikan berimpak tinggi berkaitan dengan perubahan iklim terhadap organisma akuatik. Penyelidikan ini bersesuaian dengan penubuhan Makmal Perubahan Iklim dan Adaptasi (CCA) yang lengkap dengan teknologi termaju seumpamanya di Malaysia serta memberikan ruang kepada penyelidik UMT untuk terus memberikan fokus kepada penyelidikan berimpak tinggi.

Selain itu, sebanyak 11 buah makmal berteknologi tinggi yang terdapat di dalam bangunan Institut Bioteknologi Marin (IMB) turut memfokuskan kepada bidang kajian bioteknologi. Menerusi makmal ini, penyelidik UMT menjalankan penyelidikan berkaitan dengan spesies akuatik di Malaysia, membuat langkah penyesuaian iklim, mempromosikan pembangunan hasil saintifik dan membina pangkalan data untuk manfaat negara.

Bangunan Institut Bioteknologi Marin yang menempatkan makmal CCA.

Makmal CCA yang diketuai oleh Dr. Mohamad Nor Azra Md Adib kini sedang giat menjalankan kajian tentang kesan perubahan iklim yang tertumpu kepada perubahan suhu persekitaran antara haiwan akuatik yang berasal dari Malaysia seperti udang galah dengan haiwan invasif, misalnya udang kara air tawar dan udang krai.

Penyelidikan ini turut tertumpu kepada kajian kesan perubahan suhu persekitaran terhadap haiwan ternakan yang bernilai tinggi, spesies perikanan dan akuakultur dunia, iaitu udang kara air masin (genus Panulirus). Induk bertelur dan juvenil udang kara adalah peringkat hidup udang kara yang dipilih untuk penyelidikan ini. Kesan perubahan iklim seperti suhu di lautan dijangkakan memberikan kesan kepada haiwan tersebut.

Dr. Mohamad Nor Azra memeriksa spesies udang kara air masin yang dikaji.

Kepakaran para penyelidik UMT dan kemampuan makmal CCA tidak dapat disangkal lagi apabila UMT dipertanggungjawabkan untuk mengetuai institut di Malaysia bagi berkolaborasi bersama-sama pakar di Department of Biology, University of Oxford dengan dana yang disumbangkan oleh Natural Environment Research Council. Kerjasama ini dibuat untuk melakukan penyelidikan antarabangsa yang tertumpu kepada tekanan perubahan iklim dan pencemaran daripada kumbahan terhadap organisma akuatik di pesisir pantai.

Projek seumpamanya adalah projek yang pertama di dunia dilaksanakan secara global. Projek ini melibatkan 20 buah negara yang terpilih dan mempunyai pesisir pantai seperti Peru, Kanada (University of Manitoba), Argentina, Scotland, King Edward Point, Greenland, Iceland (Sudurnes Science and Learning Center), Faroe Islands, United Kingdom (University of Oxford), Portugal, Croatia, India, Thailand, Vietnam, Brunei, Hong Kong dan Malaysia. Penyelidikan antarabangsa ini tertumpu kepada tekanan perubahan iklim terhadap organisma akuatik di pesisir pantai yang dikenali sebagai Project Hot Mess.

Project Hot Mess ini adalah untuk melihat kesan suhu persekitaran dan pencemaran kepada komuniti di kawasan air pasang surut  dengan menggunakan binaan plat khas yang telah diubah suai dan ditambah struktur epoksi tumbuhan bersama-sama data pengukur perubahan suhu. Hasil dapatan penyelidikan saintifik yang bernilai tinggi ini kemudiannya akan memberikan manfaat kepada masyarakat dan negara dalam menangani isu perubahan iklim yang semakin mengancam global.

Sementara itu, dengan adanya makmal CCA ini, UMT berhasrat untuk menerajui penyelidikan berkaitan dengan perubahan iklim di Malaysia hingga mencapai taraf Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HiCoE) pada masa akan datang dan seterusnya menjadikan UMT sebagai satu-satunya universiti di Malaysia yang akan mempunyai tiga buah HiCoE berfokus dan bercita-cita ke arah status universiti penyelidikan.

Makmal yang diasaskan oleh Naib Canselor UMT, YBrs. Profesor Dato` Dr. Mazlan Abd Ghaffar ini telah mendapat sokongan dana melalui Geran Penyelidikan Jangka Panjang berjumlah RM3.56 juta daripada Kementerian Pengajian Tinggi yang lebih memfokuskan ke arah penyelidikan adaptasi organisma akuatik terhadap perubahan iklim.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.