28 Disember 2022, 21:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sistem janji temu melalui aplikasi MySejahtera yang sedia ada di semua fasiliti kesihatan primer akan diperluaskan sebagai langkah mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan dan akses pelanggan di fasiliti kesihatan tersebut.

Menurut Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berdasarkan kenyataan media hari ini, antara perkhidmatan yang akan dimasukkan dalam sistem janji temu tersebut termasuklah rawatan pesakit luar, inisiatif saringan kesihatan kebangsaan (NHSI), saringan kesihatan PeKa B40, pemeriksaan kesihatan prapekerjaan atau prapengajian, saringan praperkahwinan, khidmat berhenti merokok (KBM), perkhidmatan perancang keluarga dan prosedur untuk rawatan luka, penukaran tiub dan sebagainya.

Tambah beliau, sistem ini bertujuan untuk membantu fasiliti kesihatan primer dalam mengatur jadual perkhidmatan berdasarkan kapasiti masing-masing dan mengelakkan kesesakan di tempat pendaftaran dan menunggu.

Perkhidmatan ini telah dimulakan di 673 buah klinik kesihatan secara berfasa, yakni bermula dengan saringan NHSI, PeKa B40, KBM dan akan diperluaskan kepada perkhidmatan lain secara berperingkat.

Mengulas dengan lebih lanjut, beliau menyatakan bahawa pelanggan akan memperoleh pelbagai kelebihan apabila menggunakan sistem janji temu ini. Antaranya ialah pelanggan dapat merancang lawatan ke fasiliti kesihatan primer mengikut kesesuaian masa dan boleh mengubah tarikh janji temu dengan mudah tanpa perlu membuat panggilan ke talian fasiliti kesihatan.

Selain itu, fungsi peringatan automatik (automated reminder) yang terdapat dalam sistem janji temu ini juga membolehkan pelanggan menghadirkan diri ke fasiliti kesihatan mengikut masa dan tarikh yang telah ditempah. Orang ramai boleh terus ke fasiliti kesihatan tanpa perlu membuat janji temu untuk kes kecemasan, kes demam atau penyakit berjangkit.

Sistem janji temu dalam aplikasi MySejahtera bagi tahun 2023 telah mula sepenuhnya dan tempahan boleh dilakukan bermula pada hari ini.

Hal ini menunjukkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa komited dalam usaha ke arah pendigitalan sistem kesihatan agar sejajar dengan Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) 2021-2025 KKM di bawah Teras Strategik Dua, iaitu Pemantapan Teknologi Baharu.

“Dengan adanya pendigitalan sistem perkhidmatan kesihatan ini diharapkan dapat mempromosikan program kesihatan di bawah fasiliti kesihatan primer kepada masyarakat dengan lebih berkesan dan menjadikan sistem perkhidmatan penjagaan kesihatan di negara ini lebih efisien,” katanya lagi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.